Kerjaya Sebagai Ejen Hartanah (Bhg. 1)

Nampaknya agak lama untuk saya menyambung posting sebelum ini. Alhamdulillah hari ini saya bercuti dan berkesempatan untuk mengambil masa menulis mengenai topik ini iaitu peluang kerjaya sebagai ejen hartanah yang saya pasti ramai menantikannya. Ramai yang sudah mengetahuinya dan ramai juga yang mula menceburinya… tetapi terdapat bberapa perkara yang perlu diketahui sebelum anda menceburi bidang ini dengan berjaya..

Ejen hartanah di Malaysia sebenarnya lebih fokus ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur/Lembah Klang, Pulau Pinang dan juga Johor Bahru. Walau bagaimanapun, majoritinya lebih tertumpu kepada Lembah Klang kerana di sinilah terdapat banyak peluang dan hartanah yang selalu bertukarmilik dan pemilik lebih faham akan peranan ejen hartanah. Oleh itu jika anda berada di kawasan ini, peluang anda untuk bermula dan berjaya sebagai ejen hartanah lebih cerah (tempat lain pun boleh… tetapi mungkin mengambil masa lebih panjang atau pulangan tidak seperti di Lembah Klang).

Sebelum bermula sebagai ejen hartanah, satu perkara yang anda harus tentukan adalah sama ada anda bercadang untuk melakukannya sebagai sepenuh masa ataupun sebagai ‘freelance’ (sambil melakukan kerja lain). Maaf… saya tidak mengunakan perkataan ‘part-time’ kerana anda TIDAK akan berjaya jika anda menganggap kerjaya ini boleh dilakukan secara ‘part-time’. Walaupun secara ‘freelance’, kerjaya ini juga menuntut anda memberikan komitmen dan perancangan yang teratur. Saya telah menemui ramai ejen hartanah yang hanya bertahan selama 3 – 6 bulan sahaja kerana mereka menganggap kerja ini boleh dilakukan secara ‘part-time’ dan seterusnya melakukannya sambil lewa (nak buat..buat, bila malas.. tak buat)… dan seterusnya berhenti melakukan kerana menganggap tiada pulangan. Oleh itu adalah penting anda menetapkan sama ada anda mahu melakukan secara ‘full time’ ataupun freelance.  Bagi anda yang mempunyai kerjaya lain bolehlah bermula secara perlahan dengan freelance pada hujung minggu, manakala bagi anda yang tidak bekerja seperti pesara atau surirumah dan sebagainya bolehlah mula belajar dengan menjadi ejen fulltime.

Tidak kira yang mana pilihan anda, setiap kerjaya memerlukan pengetahuan mengenai apa yang anda lakukan.  Begitu juga dengan kerjaya sebagai ejen hartanah.. anda seharusnya mengetahui beberapa perkara asas sebelum bermula dan seterusnya menambah pengetahuan anda secara berterusan melalui setiap pengalaman yang anda lalui. Perkara-perkara asas ini biasanya akan ditunjukajar oleh syarikat yang anda sertai dan pelbagai latihan akan turut diberikan untuk memahirkan diri anda.

Rileks… jangan risau. Semuanya akan ditunjukajar peringkat demi peringkat apabila anda bermula.  Sebelum pergi lebih jauh lagi, saya ingin menyatakan kepada anda mengapa kerjaya ini adalah menarik dan antara yang boleh anda pertimbangkan.  Pertama, kerjaya ejen hartanah memberikan anda fleksibiliti masa bekerja.  Anda tidak menemui klien anda setiap masa kerana majoritinya adalah melalui temujanji ( sama ada penjual ataupun pembeli). Oleh itu anda boleh merancang masa anda dan menetapkannya mengikut masa yang sesuai.  Dan sudah pasti, anda juga harus bersedia untuk mempunyai temujanji pada hujung minggu (terutama jika anda melakukan hartanah kediaman).

Kedua, kerjaya ejen hartanah boleh memberikan pulangan yang lumayan.  Berdasarkan pengalaman saya serta ramai rakan-rakan lain di dalam kerjaya ini, seorang ejen hartanah BIASA yang baru bermula boleh memperolehi pendapatan purata tahunan antara  RM40,000 – RM60,000.  Jika anda mula mempunyai kes-kes/hartanah high-end seperti bungalow atau komersil, pendapatan ini akan meningkat dan ada sesetengahnya sehingga RM80,000 -RM100,000 setahun atau lebih. Ini bermakna purata pendapatan bulanan adalah diantara RM6,500 – RM8,000. Memang lumayan bagi anda yang baru bermula atau tidak mempunyai latarbelakang akademik untuk mempunyai jawatan yang menjanjikan pendapatan seperti ini.  Sesetengah ejen hartanah juga mempunyai pendapatan melebihi RM100,000 setahun dan anda juga boleh mencapainya setelah mempunyai pengalaman yang banyak dan rangkaian klien yang ramai.

Setelah menetapkan pilihan anda untuk bagaimana melakukan kerjaya ini, seterusnya adalah memilih syarikat agensi hartanah yang boleh anda sertai.  Adalah sebaiknya untuk anda memilih syarikat yang terletak berhampiran rumah anda sebagai permulaan. Ini adalah kerana untuk memudahkan anda hanya fokus kepada kawasan tempat tinggal anda dan sekitarnya sebagai permulaan untuk kerjaya anda. Mengapa?  Ini adalah kerana dengan memilih kawasan yang sama dengan tempat tinggal anda atau berhampiran, anda akan mempunyai lebih banyak maklumat mengenainya dengan cepat dan membolehkan anda bermula dengan lebih cepat dan mempunyai maklumat yang mantap apabila membuat presentasi kepada klien anda.  Apa yang perlu anda lakukan seterusnya adalah membuat sedikit kajian atau semakan terhadap harga-harga bagi semua jenis hartanah di kawasan tersebut mengikut kategori dan lokasi serta harga sewaan di kawasan berkenaan.  Anda tidak perlu lagi mempelajari jalan-jalan di kawasan berkenaan dan apa yang terdapat di kawasan tersebut kerana anda sudahpun mengetahuinya.

Untuk senarai syarikat ejen hartanah, anda boleh lawati link berikut:

http://www.iproperty.com.my/property/realtors.asp

Langkah berikutnya akan saya sambung dalam posting berikutnya (Bhg. 2)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


14 Comments

  1. Assalamualaikum,
    Saya nak dapatkan maklumat Syarikat Ejen Hartanah (untuk kawasan Terengganu dan Pahang).Dah semak dalam link tu tapi tak jumpa ikut abjad negeri. Kalau boleh MELAYU/MUSLIM yang aktif dan professional.
    Tq.

    ReplyReply
  2. En A Razak,
    Cuba hubungi Nasir Sabaruddin & Associates (Kuantan/Temerloh). Firma ini adalah antara firma konsultan hartanah dan ejen milik bumiputra yang aktif di pantai timur terutamanya di Pahang.

    Caw Temerloh : Tel: 09-2964871
    Caw Kuantan : Tel: 09-5137852
    Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada mereka mengenai cawangan di Kelantan.

    ReplyReply
  3. assalamualaikum

    saudara,

    saya masih tercari2 langkah2 yang patut diambil untuk menjadi ajen hartanah berlesen. buat masa ini saya masih bekerja dan jika saya berhenti kerja nanti, saya tertekad untuk menceburi bidang hartanah di kawasan kl & selangor. bidang ini adalaha bidang yg saya paling minat dan ada pengetahuan sedikit-sebanyak.

    saya mungkin akan bermula secara freelance. tapi kalau tak berlesen masalah juga. apa recommend saudara?

    ReplyReply
  4. Salam affendy,

    Saya syorkan sebaiknya saudara mula mempelajari dari sekarang dengan melakukan secara freelance tanpa perlu berhenti kerja. Mungkin selepas beberapa bulan atau tahun selepas saudara berpuashati dengan pendapatan atau mempunyai pengalaman yang cukup, saudara boleh terus membuat keputusan melakukan secara fulltime. Bidang ini biasanya memerlukan minimum antara 3 – 6 bulan untuk saudara membina senarai listing hartanah sendiri serta clientbase yang ramai. Kedua-dua ini adalah berkaitan dan banyak membantu kebanyakan agen di mana selepas tempoh tersebut mereka tidak perlu terlalu mencari client kerana kebanyakannya akan menelefon terus atau berdasarkan kepada referral dari klien yang telah anda berikan perkhidmatan.

    Untuk bermula, anda tidak perlu mempunyai lesen.  Apa yang perlu anda lakukan adalah berkerja dengan syarikat agen hartanah berdaftar sebagai Perunding Hartanah (Real Estate Negotiator). Jangan sesekali melakukan sendiri atau menggunakan nama syarikat yang tidak mempunyai lesen agen hartanah.

    Saya akan sentuh mengenai perkara ini dengan lebih lanjut dalam posting akan datang..

    ReplyReply
  5. Assalammualaikum

    Saudara ingin saya bertanya ada tak prunding di Sabah khususnya di Sandakan saya ingin jadi agen nak cubalah

    ReplyReply
  6. Assalamualakum & Salam Sejahtera,

    Saya ingin mendapatkan cara-cara bagaimana menjadi agent hartanah?Apakah langkah-langkah awal untuk menjadi agen hartanah?Adakah bayaran dikenakan untuk menjadi agen hartanah?
    Boleh tidak kiranya tuan dapat memberi maklumat tentang firma-firma hartanah di kawasan Ampang?

    Diharap agar pihak tuan dapat memberikan tunjuk ajar.

    Sekian,terima kasih

    ReplyReply
  7. Muslih

    Salam.

    saya ingin bertanya. Bukankah ejen harta tanah perlu berdaftar? baru boleh menjadi ejen harta tanah. tidak pon dia dilantik sebagai negotiator oleh ejen harta tanah berdaftar baru boleh mengamalkan profesion ini.

    namun saya lihat sekarang begitu banyak ejen haram yg mengamalkan profesion ini.

    Tidak ada sebarang tindakan? ini adalah kerana kita memikirkan pencabulan atau pencemaran jika ejen haram ini membuat sesuatu yg tidak beretika seperti membawa lari duit klien. berbohong dan sebagainya.

    jika dia berdaftar dia sudah dilatih sebelum mendapat lesen tersebut.

    Maka ingatlah kepada pembeli-pembeli supaya bijak memilih ejen.

    ejen haram juga makan dua pihak. bermaksud komisen dua2 pihak diambil. pihak penjual dan pembeli. ini melanggar kod etika sebagai ejen harta tanah.

    ReplyReply
  8. Salam Muslih,
    Komen anda memang benar.. Untuk membuka firma Agensi hartanah anda perlulah mempunyai lesen dan berdaftar dengan Lembaga Penilai Pentaksir & Ejen Hartanah (www.lppeh.gov.my). Walau bagaimanapun, anda tidak memerlukan lesen tersebut jika anda bekerja sebagai negotiator di bawah syarikat agensi hartanah.

    Tidak nafikan juga terdapat banyak ejen haram yang beroperasi dan melakukan profesion ini dan kebanyakannya didapati pernah bekerja sebagai negotiator sebelumnya dengan firma agensi hartanah.

    Sememangnya banyak kes telah dilaporkan mengenai penipuan oleh agenhartanah ini dan agak mustahil untuk LPPEH atau MIEA memantau setiap pergerakan bekas ejen hartanah ini.

    Oleh itu, semuanya adalah berbalik kepada orang awam atau bakal pembeli untuk memeriksa kesahihan seseorang ejen hartanah atau firma tersebut.

    Anda boleh mengenalinya dengan beberapa cara dan salah satunya adalah melalui lesen syarikat. Elakkan daripada membeli daripada mereka yang meletakkan poster/papan tanda haram dan bersepah kerana kebanyakan mereka adalah ejen haram. Salah satu syarat, mereka juga dikehendaki hanya meletakkan hanya papan iklan “Untuk Dijual”/”For Sale” yang mempunyai nama dan nombor pendaftaran agensi syarikat.

    Maklumat lanjut boleh didapati di dalam ebook “Panduan Membeli Rumah”.

    Sekian

    ReplyReply
  9. saya berhasrat untuk menceburi kerjaya hartanah ini sebagai ejen.Bolehkah saya dapat senarai syarikat hartanah milik bumiputra dikawasan lembah klang.

    terimakasih atas pertolongan sdr.

    ReplyReply
  10. Terima kasih di atas pengetaahuan yang diberikan. semoga murah rezeki anda.

    ReplyReply
  11. saya berhasrat untuk menceburi kerjaya hartanah ini sebagai ejen.Bolehkah saya dapat senarai syarikat hartanah di terengganu.

    ReplyReply
  12. area melaka ada agensi yang aktif tak?

    ReplyReply
  13. seriaustin

    saya berminat menjadi ejen hartanah..boleh x saya dapat senarai syarikat bumiputera di johor bahru..

    ReplyReply
  14. Salam Saudara.
    Sila maklumkan saya agensi hartanah di kawasan damansara. Saya sangat berminat untuk joint kerjaya sgb freelance dahulu. Saya lihat prospek kerjaya ini sangat baik.

    ReplyReply

Trackbacks/Pingbacks

  1. TipsHartanah Blog » Blog Archive » Kerjaya Sebagai Ejen Hartanah (Bhg. 2) - [...] Kerjaya Sebagai Ejen Hartanah (Bhg. 1) [...]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>