Lebih banyak rumah mampu milik – TPM

0
176

NANNING, China 22 Sept. – Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembinaan lebih banyak rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah dalam projek pembinaan awam dan swasta bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masalah pemilikan rumah di kalangan golongan berkenaan sudah dikenal pasti sejak beberapa tahun lepas dan selepas pembentangan Bajet 2013 pembinaan rumah kategori berkenaan akan lebih pantas dijalankan.

“Pembinaan rumah RM300,000 ke bawah akan jadi tumpuan sebab kita sudah kaji kategori pendapatan untuk sekian banyak, kos yang dijual oleh pemaju sekian banyak, mana yang mampu mereka beli.

“Ini akan jadi sasaran utama projek perumahan awam dan projek swasta. Mungkin swasta akan digalakkan bina rumah sebegini. Apa insentifnya, apa cara mereka nak bantu, itu mereka boleh bincang dengan kementerian (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan),” katanya kepada pemberita Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja tiga harinya di sini.

Menurut beliau, harga rumah yang ada sekarang jauh lebih tinggi dan pegawai kerajaan yang baru mula bekerja pun tidak mampu membelinya, justeru pembinaan rumah mampu milik termasuk oleh syarikat milik kerajaan (GLC) berharga RM300,000 ke bawah akan menjadi agenda penting kerajaan untuk membantu rakyat memilikinya.

“Sekarang pun sudah ada GLC mulakan pembinaan rumah seperti PR1MA (Program Perumahan 1Malaysia) dan Sime Darby, tetapi yang penting adalah rumah mampu milik.

“Strategi mesti diselaraskan dengan kemampuan rakyat dan cara untuk bantu selesaikan masalah mereka adalah bina rumah ikut kategori,” jelasnya.

Muhyiddin yakin sekali pun pemaju tidak mendapat untung besar daripada pembinaan rumah kategori mampu milik, namun, mereka tetap mendapat laba daripada jumlah pembeli yang ramai.

Beliau tidak menolak kemungkinan masalah yang mungkin dihadapi dalam pembinaan rumah berkenaan adalah mendapatkan tanah yang sesuai dan isu lain yang perlu kementerian, kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri mencari jalan menyelesaikannya.

“Rumah berkenaan boleh dibina dengan beberapa syarat, soal pokok adalah tanah. Perkara yang perlu diambil kira bukan sahaja soal rumah, tetapi juga soal perkhidmatan sokongan seperti pengangkutan awam untuk membantu pembeli rumah,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here