Bangunkan rumah mampu milik

0
166

KUALA LUMPUR 3 Julai – Kerajaan digesa membeli tanah-tanah strategik di sekitar bandar raya Kuala Lumpur untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan mampu milik kepada golongan berpendapatan sederhana.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan juga perlu mewartakan tanah-tanah yang sedia dimiliki untuk pembangunan rumah mampu milik berharga antara RM150,000 dan RM250,000 seunit.

“Bukan semua 1.6 juta penduduk Kuala Lumpur mampu untuk membeli rumah yang berharga antara RM500,000 hingga lebih RM1 juta.

“Kerajaan perlu merancang tanah-tanah di Kuala Lumpur untuk pembangunan rumah mampu milik kerana kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi tempat tinggal orang kaya sahaja,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Menurut Johari, kerajaan perlu campur tangan dalam perkara itu kerana pemaju swasta lebih berminat untuk membangunkan perumahan mewah bagi mendapatkan keuntungan lebih.

Katanya, rumah mampu milik adalah keperluan yang amat mendesak bagi mengelakkan golongan berpendapatan bawah RM3,000 hanya layak tinggal di pinggir bandar atau kawasan luar dari Kuala Lumpur.

“Statistik terkini menunjukkan terdapat 118,000 permohonan untuk rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedangkan rumah yang dapat ditawarkan hanya 3,200 unit,” katanya.

Jelasnya, dengan sebanyak 60 peratus penduduk Kuala Lumpur tidak memiliki rumah, pembinaan rumah mampu milik perlu diutamakan berbanding pembangunan rumah elit atau kawasan komersial.

“Saya juga mencadangkan kawasan-kawasan setinggan atau rumah pangsa awam yang telah uzur dibangunkan kembali untuk perumahan kos sederhana rendah atau sederhana,” katanya.

Sumber: Utusan Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here