3,600 rumah kos rendah siap 2018

7 lokasi utama di Iskandar Malaysia dikenal pasti JCorp

Johor Corporation Bhd (JCorp) menerusi anak syarikatnya, Johor Land Bhd merancang menyiapkan lebih 3,600 unit rumah kos rendah dan mampu milik menjelang 2018.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata jumlah rumah yang dimajukan menerusi pelan pembangunan lima tahun syarikat berkenaan akan meningkat kepada 8,000 unit rumah menjelang 2020.

Projek yang diunjurkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM1.2 bilion itu adalah di tujuh lokasi utama wilayah pembangunan Iskandar Malaysia.

Katanya, antara lokasi yang dirancang dalam tempoh lima tahun ini termasuk sebanyak 304 unit rumah di Tampoi, Bandar Dato Onn (1,150), Bandar Tiram Fasa 1 (634), Bandar Tiram Fasa 3 (450), Bandar Baru Majidee (400), Kempas (360) dan Larkin (340).

“Pelbagai kemudahan juga disediakan di semua kawasan perumahan itu termasuk lot kedai, tadika, surau dan masjid, taman permainan dan bilik komuniti sejajar dengan pertambahan penduduk serta memenuhi keperluan masyarakat.

Bantu golongan berpendapatan rendah

“Pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik ini adalah komitmen JCorp dalam usaha membantu serta menyokong aspirasi kerajaan negeri membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki hartanah terutama di sekitar Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memeterai memorandum perjanjian (MoA) pembangunan perumahan kos rendah dan mampu milik antara JCorp dengan kerajaan negeri Johor, di sini semalam.

Majlis itu disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Obet Tawil.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, rumah mampu milik yang dibangunkan JCorp itu akan dijual antara RM42,000 hingga RM150,000.

“Kerajaan negeri juga akan membina sejumlah 28,000 unit rumah mampu milik yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun dengan kos pemilikan rumah tidak melebihi RM150,000.

“Kita juga mengambil beberapa langkah pro-aktif dan inisiatif penting bagi menangani isu perumahan, selain akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang gagal menyiapkan projek rumah mampu milik,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>