Isu Kenaikan Cukai Pintu DBKL

Sejak lebih seminggu yang lepas saya mengikuti perkembangan isu kenaikan cukai pintu atau cukai taksiran DBKL dengan penuh minat tetapi tidak mempunyai masa untuk membuat ulasan mengenainya.  Komen daripada Menteri Wilayah Persekutuan yang menyatakan cukai pintu sememangnya perlu dinaikkan disebabkan nilai hartanah yang semakin meningkat juga tidak membantu menyelesaikan permasalahan malah lebih mengundang lebih banyak komen-komen balas berbentuk negatif.

Selain itu pelbagai komen juga dilontarkan oleh pemilik-pemilik hartanah di Kuala Lumpur, antaranya yang menarik adalah kenaikan sehingga 300%, rumah sama saiz tetapi kadar nilaian berbeza dan rumah untuk kediaman sendiri bukan untuk disewa… yang saya fikir memerlukan sedikit penjelasan supaya kita sama-sama faham tentang isu cukai pintu ini.

Jadi Apakah Sebenarnya CUKAI PINTU.. atau Cukai Taksiran.. atau Kadaran?

Tidak kira pilihan nama yang mana yang anda suka ianya membawa kepada definisi Cukai yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke atas semua pegangan (harta tanah) yang terletak di dalam kawasan PBT bagi membolehkan pihak tersebut menyediakan perkhidmatan kepada semua pemilik dan penduduk pegangan berkenaan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Oleh itu semua PBT berhak mengenakan cukai ini dalam usaha untuk mengumpul pendapatan bagi menjalankan kerja-kerja yang berkaitan dalam penyediaan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Rasanya ni semua boleh faham… nak tak nak.. mesti kena bayar… nak baca informasi lanjut di laman web DBKL memang sangat terhad.  Oleh itu saya luangkan sedikit masa untuk pembaca Tips Hartanah memahami serba sedikit tentang Cukai Taksiran..

Persoalan seterusnya adalah… Apakah ASAS kepada penentuan Cukai Pintu/Taksiran?

Di Malaysia, pengiraan dan penentuan cukai ini adalah berdasarkan kepad NILAI TAHUNAN kecuali untuk negeri Johor di mana Nilai Tambah digunakan sebagai menggantikan Nilai Tahunan.  Dalam kes DBKL kita akan membincangkan NILAI TAHUNAN yang mana ianya bermaksud:

Anggaran Kasar Sewa Tahunan yang munasabah dijangka akan diperolehi dari setahun ke setahun daripada pegangan yang berkenaan jika disewakan, dengan tuan tanah membayar belanja bagi pembaikan, insurans, penyenggaraan atau pemeliharaan dan segala kadar can cukai awam.

Suka saya ulangi di sini… ianya adalah berdasarkan Nilai Tahunan iaitu Anggaran Kasar SEWA Tahunan dan bukannya Nilai Pasaran hartanah yang kecoh diperdebatkan dalam isu ini… dan juga perlu diingat PEMILIK bertanggungjawab untuk menanggung hampir semua kos berkaitan harta berkenaan.. oleh itu jika anda menerima sewa bersih maka kos-kos berkaitan perlu ditambah semula untuk menjadikan sewa kasar.

Untuk lebih mudah difahami, Nilai Tahunan = Sewa Kasar Sebulan x 12

Seterusnya… adalah Kadar Cukai yang dikenakan oleh DBKL.

Berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, PBT boleh mengenakan kadar seperti berikut:

  • Kadar yang disatukan atau kadar tahunan di bawah Seksyen 127
  • Kadar Perparitan di bawah Seksyen 132

Kadar yang dikenakan ini adalah berdasarkan peratus yang tertentu daripada Nilai Tahunan atau Nilai Tambah dan peratus ini boleh diubah oleh PBT yang berkenaan dari setahun ke setahun dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri dan tertakluk kepada kadar maksimum seperti berikut:-

Kadar-Cukai-Pintu

Memandangkan Akta Kerajaan Tempatan memperuntukkan penggunaan kadar yang berbeza berdasarkan lokasi atau kegunaan harta tanah maka PBT bertanggungjawab menentukan Nilai Tahunan dan kadar cukai masing-masing dan ini biasanya berdasarkan belanjawan PBT berkenaan serta kos-kos yang perlu ditanggung, dalam kes ini adalah DBKL dan kadar yang dikenakan adalah 6%.

Berapa kerap semakan sewa perlu dilakukan?  Biasanya ia dilakukan dalam tempoh 5 tahun sekali dan di dalam kes DBKL, apa yang saya faham kali terakhir kenaikan/semakan dilakukan adalah 21 tahun yang lalu dan saya fikir sememangnya ia perlu disemaksemula untuk penentuan Nilai Tahunan semasa yang lebih relevan.  Tetapi persoalannya perlukan DBKL menaikkannya secara mendadak berbanding Nilai Tahunan 21 tahun dahulu.  Dalam kes ini saya fikir Datuk Bandar perlu menetapkan suatu kadar kenaikan yang dirasakan sesuai dan tidak mendadak dan boleh membebankan pemilik.

Seterusnya… isu berkaitan kenaikan beratus-ratus peratus dari kadar cukai semasa..  Sebenarnya apa yang berlaku adalah salah faham oleh sesetengah pemilik harta kerana notis yang diterima oleh mereka pada masa ini sebenarnya adalah makluman tentang NILAI TAHUNAN dan bukannya kadar cukai yang akan dikenakan keatas mereka.   Ini adalah apa yang saya faham seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Bandar 2 hari yang lepas dan notis tersebut bukanlah menyatakan nilai kadaran yang perlu dibayar oleh pemilik.

Walau bagaimanapun, pemilik yang tidak berpuashati bolehlah membuat bantahan secara bertulis kepada DBKL sebelum 17 Disember 2013 untuk didengar.  Apa yang boleh dilakukan oleh pemilik adalah dengan membuat perbandingan sewa di kawasan berkenaan dan melihat sama ada ianya adalah sepertimana Nilai Tahunan yang termaktub di dalam notis kepada mereka.  Kebiasaannya kadar sewa yang diambil oleh PBT adalah pada kadar sewa yang rendah atau biasanya di sekitar 80% dari Kadar Sewa Tahunan Kasar yang sebenar untuk mengelakkan banyak bantahan diterima jika kadar sewa tinggi digunakan..

Berkenaan isu saiz rumah serupa tetapi Nilai Tahunan berbeza pula saya fikir semua pembaca sudah pun jelas jika memahami apa yang telah saya nyatakan di atas.  Maksudnya.. walaupun saiz rumah yang sama tetapi satu rumah mempunyai kelebihan tambahan seperti sambungan serta ubahsuai dan dalam keadaan yang baik ia biasanya akan dapat disewakan dengan kadar yang lebih tinggi dan disinilah ianya menyebabkan mengapa Nilai Tahunan rumah berkenaan adalah lebih tinggi berbanding rumah lain yang langsung tidak mempunyai ‘improvement’.

Semoga sedikit penjelasan ini dapat memberikan pencerahan kepada mereka yang kurang jelas tentang Cukai pintu sebelum ini.  Memandangkan isu ini masih berlanjutan, Tips Hartanah mungkin akan menambahbaik entri ini supaya update terkini dapat disampaikan kepada semua…

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>