Rumah mampu milik atas tanah wakaf

0
310

Tidak ramai yang menyedari sistem wakaf mempunyai kelestarian dalam memperkasakan ekonomi orang Islam di negara ini.

Wakaf adalah sumber ekonomi terpendam umat Islam yang perlu dieksploitasi dengan sebaiknya kerana jika diuruskan dengan betul, ia mampu mewujudkan limpahan ekonomi yang memanfaatkan semua pihak.

Malaysia, sistem wakaf belum dieksploitasikan sepenuhnya kerana masih ramai melihat wakaf dari skop yang sempit, sekali gus menjadikan pembangunan tanah wakaf di negara ini hanya tertumpu kepada pembangunan masjid, surau dan tanah kubur.

Jika tanah wakaf dibangunkan dengan lebih progresif dan menyeluruh, ia mampu meningkatkan pegangan hartanah milik orang Islam di negara ini.

Menyedari potensi yang bakal diwujudkan itu serta memastikan amal jariah serta pahala pewakaf berpanjangan hingga ke akhirat, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menjalin kerjasama strategik dengan pemaju hartanah Bumiputera, Nada Sepakat Corporation (Malaysia) Sdn Bhd bagi membangunkan tanah wakaf untuk projek hartanah.

Kerjasama strategik itu adalah yang pertama di negara ini membabitkan pembangunan tanah wakaf secara komersial tanpa mengabaikan hukum syarak.

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Abu Bakar Yang, berkata pihaknya menjalin pakatan strategik dengan Nada Sepakat pada Mac lalu bagi membangunkan projek hartanah mampu milik di tanah wakaf yang terletak di Jalan Kebun, Shah Alam, berhampiran perbandaran Kota Kemuning.
Tanah wakaf itu, katanya, diwakafkan oleh Abdul Rahman Ali untuk manfaat Surau Al-Falah Telok Pulai seluas 2.3 hektar di Jalan Kebun.

“Kami menggunakan konsep ijarah atau pajakan bagi pembangunan tanah wakaf ini yang mana ia tetap kekal sebagai hartanah milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan hanya manfaatnya dipindahkan.

“Nada Sepakat akan menanggung kos pembangunan dan bertanggungjawab untuk aktiviti pemasaran projek ini,” katanya kepada BH ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai projek hartanah itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Nada Sepakat, Kamsol Said, berkata projek hartanah itu membabitkan kos pembangunan kasar RM40 juta dan ia dijangka siap menjelang 2016.

Beliau berkata, projek itu membabitkan pembangunan 60 unit rumah semi-D satu setengah tingkat dan semi-D dua tingkat penuh dengan keluasan 1,500 kaki persegi ke atas bagi setiap unit.

Katanya, unit rumah itu akan dijual pada harga di bawah RM500,000 dan ia hanya boleh dibeli oleh orang Islam mengikut peraturan yang ditetapkan MAIS.

“Nada Sepakat menggunakan dana dalaman untuk membangunkan projek ini sementara Bank Islam adalah penyedia kewangan akhir untuk pembelian rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nada Sepakat, Datuk Nasaruddin Abdul Ghani, berkata syarikatnya yakin projek berkenaan akan mendapat sambutan hangat memandangkan harganya yang menarik serta terletak di kawasan strategik.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here