Pengubahsuaian Bajet 2016: Pembeli Rumah Pertama Untuk Rumah Berharga RM300K

0
626

Kerajaan telah mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 dan tidak banyak perubahan pada apa yang diumumkan pada pembentangan lepas yang berkaitan dengan isu perumahan.

Walau bagaimanapun, 2 pengubahsuaian utama yang diumumkan adalah:-

  • Berkuat kuasa serta merta, Kerajaan akan menetapkan kesemua penjualan rumah baharu berharga sehingga RM300,000, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.
  • Bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga RM35,000, Kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat, bermula 1 Mac 2016, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4 peratus, dengan dana berjumlah 400 juta ringgit. Inisiatif ini akan memanfaatkan sejumlah lebih daripada 10 ribu pemilik rumah.

Selain itu Kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan oleh JPN, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta sektor swasta di mana lebih 100 ribu unit rumah akan ditawarkan dalam program ini.

Walaupun tidak banyak yang diumumkan dalam pembentangan tersebut, namun 2 pengubahsuaian di atasnya bolehlah dikatakan sebagai satu langkah yang baik oleh kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah dalam usaha untuk memiliki rumah sendiri.

ppr
Gambar Hiasan: Projek Perumahan Rakyat (PPR)

Secara amnya saya berpendapat langkah memberi pembiayaan pada kadar 4% untuk Projek Perumahan Rakyat  sangat dialu-alukan kerana sewajarnya golongan ini mendapat bantuan yang secukupnya dalam mendapatkan pembiayaan untuk membeli rumah kerana kebanyakan permohonan pinjaman yang ditolak adalah pada golongan kategori ini disebabkan kadar komitmen yang tinggi berbanding pendapatan.  Pembiayaan ini merupakan penambahan yang baik untuk program sedia ada seperti Skim Rumah Pertamaku mahupun Skim Jaminan Kredit Perumahan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil tanpa pendapatan tetap.

Bagi perlaksanaan penjualan rumah baharu berharga sehingga RM300,000 untuk pembeli rumah pertama pula, ianya dilihat sebagai satu lagi langkah yang baik dalam mengawal spekulasi dan masalah penawaran terhad akibat penjualan terbuka untuk dibeli oleh sesiapa sahaja sebelum ini.  Dengan adanya langkah kawalan seperti ini, pembeli rumah kedua dan seterusnya atau ‘pelabur’ akan terhalang daripada membuat pembelian untuk rumah pada kategori harga berkenaan.

Namun begitu, saya melihat akan kemungkinan yang bakal berlaku akibat daripada langkah ini jika tidak diperhalusi.  Antaranya:-

  • Apa yang akan terjadi kepada pemilik rumah sedia ada (contohnya rumah kos rendah), yang ingin menaiktaraf ke rumah yang lebih besar tetapi hanya mampu membeli pada harga sekitar bawah RM300,000?  Adakah mereka juga akan dinafikan untuk membeli rumah pada harga begini hanya kerana mereka sudah memilik rumah?  Adakah mereka perlu melupuskan terlebih dahulu rumah sedia ada? Atau kerajaan akan meletakkan syarat tambahan yang berbeza untuk mengatasi masalah ini?
  • Mungkinkah pemaju akan lebih cenderung untuk membina rumah berharga melebihi RM300,000 dalam usaha mendapatkan prospek pembeli yang lebih ramai?  Ini seterusnya akan menyebabkan kenaikan harga tidak langsung dan mewujudkan masalah lain yang lebih serius terutamanya di kawasan bandar-bandar kecil.  Senario ini hampir sama dengan isu kenaikan harga lantai atau harga minimum pembelian oleh warga asing daripada RM500,000 kepada RM1juta yang melihatkan kecenderungan pemaju untuk membina rumah-rumah yang lebih mahal.

Walau bagaimanapun, masih terlalu awal untuk dibuat sebarang andaian.  Walaupun langkah-langkah yang diumumkan berniat baik dalam membantu golongan sasar, namun kerajaan perlu memperhalusi kesan daripada langkah yang akan dilaksanakan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here