Jumlah Dedahan Institusi Kewangan Kepada Pasaran Hartanah Pada 2015 Berjumlah RM733.4 Billion

0
203
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Jumlah dedahan institusi kewangan Malaysia kepada pasaran hartanah dalam negeri pada 2015 berjumlah RM733.4 bilion, 25.7 peratus daripada jumlah aset sistem kewangan.

Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2015 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarkan hari ini menyatakan, kira-kira 90 peratus dedahan adalah berkaitan dengan pembiayaan akhir untuk pembelian harta kediaman dan harta bukan kediaman.

“Pertumbuhan pembiayaan bank untuk pembelian harta kediaman kekal kukuh, dan berkembang 11.7 peratus dengan pertumbuhan yang lebih sederhana sejajar dengan pertumbuhan lebih perlahan dalam pasaran perumahan,” katanya.

Bagi sektor hartanah kediaman, BNM berkata agregat harga rumah terus mencatat pertumbuhan lebih sederhana sejak suku kedua 2014, mencerminkan pelarasan dalam permintaan pelabur terhadap perumahan dan keupayaan untuk meminjam berdasarkan penilaian kemampuan membayar balik pinjaman.

Kesemua ini merupakan kesan yang dikehendaki daripada langkah awalan kehematan makro dan fiskal yang dilaksanakan sejak tahun 2010 yang bertujuan mengurangkan kemungkinan risiko terhadap kestabilan kewangan berikutan pertumbuhan harga rumah yang kukuh.

Ini, katanya, akan menjadikan kemampuan memiliki rumah bertambah baik, khususnya bagi pembeli rumah pertama.

Pertumbuhan purata harga rumah yang diukur oleh Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM), turun daripada 9.6 peratus dalam tempoh 2010-2014 kepada kira-kira 8.0 peratus yang dicatat selama lima suku tahunan berturut-turut sejak suku kedua 2014.

“Indeks pada paras ini masih melebihi pertumbuhan purata harga rumah jangka panjang pada 5.5 peratus dalam tempoh tahun 1990-2009,” katanya.

Dedahan institusi kewangan kepada pasaran harta bukan kediaman pula mencakupi kira-kira 27 peratus daripada jumlah dedahan kepada pasaran harta tanah keseluruhan dan merupakan kurang 7.0 peratus daripada jumlah aset sistem kewangan.

Meskipun bahagiannya tidak begitu besar, BNM berkata perkembangan dalam pasaran harta bukan kediaman mempunyai implikasi penting terhadap kestabilan kewangan.

“Ini disebabkan oleh kemungkinan kesan limpahannya menular ke seluruh ekonomi dan kesalinghubungannya yang kukuh dengan perkembangan harta kediaman yang mencakupi bahagian yang besar daripada pemberian pinjaman bank kepada isi rumah,” katanya.

Menurut BNM, perkembangan dalam segmen rumah kedai lazimnya mencerminkan pasaran perumahan, memandangkan rumah kedai dianggap oleh pelabur sebagai pelaburan alternatif kepada harta kediaman.

“Meskipun aktiviti dalam segmen ini lebih perlahan, kadar sewa, khususnya di Lembah Klang, secara relatif kekal stabil. Pada sembilan bulan pertama 2015, jumlah unit dan nilai transaksi rumah kedai masing-masing menurun 9.3 dan 5.3 peratus,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here