Seragam dalam satu entiti

0
372

Kuala Lumpur: Perumahan adalah satu perkara yang sering diperkatakan kebanyakan individu di negara ini dan ia menjadi isu yang masih tidak menemui jalan penyelesaiannya meskipun pelbagai langkah dan dasar diperkenalkan oleh kerajaan.

Sejak kebelakangan ini, kita lihat kerajaan begitu komited dalam menyelesaikan isu perumahan ini terutama bagi segmen mampu milik memandangkan harga rumah mencatatkan peningkatan sehingga ia tidak mampu dibeli kebanyakan rakyat di negara ini.

Penubuhan pelbagai agensi perumahan Persekutuan serta negeri dilihat antara langkah utama kerajaan dalam memastikan penyampaian dan pelaksanaan pembinaan rumah mampu milik mampu direalisasikan.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai keberkesanan pelbagai agensi terbabit sehingga ada pihak beranggapan semua agensi itu perlu diselaraskan bawah satu badan induk bertujuan menyeragamkan segala aspek dalam pelaksanaan rumah mampu milik.

Mengulas perkara ini, Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata, tidak timbul isu ketidakberkesanan ekoran kewujudan pelbagai agensi perumahan di peringkat Persekutuan dan negeri pada masa ini.

rumah_mampu_milik

“Pada pendapat saya, kepelbagaian agensi dalam pembinaan rumah mampu milik ini boleh menyelesaikan keperluan bagi rakyat di negara ini secara berkesan meskipun tidak semestinya semua projek berjalan lancar di setiap negeri.

“Bagaimanapun, kadar kejayaan akan tentu menjadi lebih tinggi berbanding menyeragamkan kepada satu agensi di mana ia memerlukan banyak penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan terutama aspek tanah yang membabitkan tanah kerajaan negeri,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, agensi perumahan Persekutuan boleh menyeragamkan pelaksanaan projek rumah mampu milik dengan kerajaan negeri bagi memastikan isu dapat diselesaikan secara berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Sebagai contoh, jika sesetengah kerajaan negeri berupaya menawarkan skim sangat fleksibel untuk golongan berpendapatan rendah dan memiliki hartanah masing-masing maka pihak kerajaan perlu menggalakkannya,” katanya.

Dalam masa sama, setiap negeri dilihat memiliki pandangan dan takrif berbeza mengenai rumah mampu milik dan tindakan menggabungkan projek rumah mampu milik kerajaan Persekutuan dan negeri di bawah pengurusan sama adalah kurang bijak.

Menurutnya, kerajaan negeri lebih arif mengenai perkara yang terbaik dan adalah amat penting untuk memenuhi keperluan dan kemahuan rakyat masing-masing daripada aspek harga, lokasi, keperluan, spesifikasi dan lain-lain.

“Pembinaan rumah mampu milik adalah perancangan untuk jangka panjang dan ia bukan berkaitan perlumbaan membina sebanyak mungkin unit rumah bagi menunjukkan kejayaan masing-masing,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here