Apa khabar semua?.. Saya berharap anda semua sihat-sihat hendaknya.. Nampaknya sudah lama betul saya tidak memblog di sini kerana mengalami sedikit masalah kesihatan.. seminggu lebih saya keluar masuk hospital untuk test darah kerana disyaki jangkitan virus denggi.. tetapi Alhamdulillah.. sekarang semuanya kembali kepada normal… saya sendiri sebenarnya tak tahu apa sebenarnya yang membuatkan diri saya jadi begitu teruk pada minggu tersebut.. demam melebihi 39 darjah Celcius setiap hari.. batuk yang teruk dan selsema.. Alhamdulillah saya disahkan tidak mengalami jangkitan Denggi, Selsema burung etc… hmmm…
Kepada anda yang menempah ebook-ebook Tipshartanah pada akhir bulan Mei dan awal bulan ini juga saya memohon berbanyak-banyak kemaafan kerana berlaku sedikit kelewatan dan masalah kepada sesetengah anda… Maaf yek.. Saya harap semoga perkara sebegini dapat dielakkan di masa hadapan..Sepanjang tempoh berkenaan juga banyak isu-isu yang sebenarnya ingin saya bangkitkan tetapi saya fikir yang paling menarik perhatian semua pihak adalah banjir kilat pada 10 Jun lepas… tarikh yang sama… melanda KL di kawasan yang sama pada tahun 2003. Bagi anda yang membaca akhbar-akhbar, mendengar berita dan melihat gambar-gambar mengenai banjir tersebut pastinya terkejut dengan kesannya. Tempat letak kereta Dataran Merdeka sekali lagi dipenuhi air, terowong-terowong dipenuhi air, basement dinaiki air dan banyak kereta-kereta tersadai kerana enjin dimasuki air… huhhhh… kasihan kepada mereka yang mengalaminya.. baru-baru ini apabila saya bersembang dengan seorang klien saya yang merupakan seorang mekanik, beliau memberitahu bahawa sebuah kereta Mercedes telah dikenakan caj sehingga RM90,000 untuk baikpulih akibat tersadai dalam banjir….. fuyyyohhh…. boleh beli kereta Chevrolet baru tu!! Macam tak caya je saya tapi memandangkan harga kereta tersebut sendiri lebih kurang setengah juta, saya fikir tidak mustahil kerana sistem elektroniknya pun memang banyak… so kenalah saya fikirkan tentang ini jika nak pakai kereta semahal tu nanti…. hehehe…Oklah..nampaknya banyak sebenarnya kalau nak cerite tentang banjir yang melanda ni.. termasuklah terowong SMART yang dikatakan masih belum bersedia untuk digunakan.. tetapi apa yang ingin saya bincangkan di sini sebenarnya adalah kesan banjir terhadap hartanah anda… apakah kesannya terhadap permintaan hartanah di kawasan yang dilanda banjir dan juga kesannya terhadap nilai hartanah anda.
Bagi anda yang tinggal di kawasan Shah Alam, anda pasti masih ingat bagaimana satu kawasan di sana dilanda banjir teruk suatu ketika dahulu.. pelbagai komplen dan luahan ketidakpuasan hati pemilik dan penduduk di kawasan berkenaan terhadap kerajaan negeri, JPS, MBSA dan segala-galanya yang boleh dipersalahkan.. tetapi sebenarnya saya fikir jika kita fikirkan sejenak tentang banjir yang berlaku ini sebenarnya diri kita sendiri juga mempunyai sumbangan terhadap apa yang berlaku. Kembali kepada kesan banjir terhadap hartanah, ia sebenarnya memberikan kesan yang amat-amat negatif terutamanya jika ianya kerap berlaku dan merupakan banjir besar yang mana melibatkan kerugian harta benda. Nilai-nilai hartanah di kawasan berkenaan akan mengalami impak yang amat besar dengan kebanyakannya mengalami penurunan harga dan kesukaran untuk mendapat permintaan untuk dijual. Tambahan lagi apabila ianya diwar-warkan secara meluas sehingga satu negara tahu.. melalui berita yang mana hanya akan menambahkan lagi kesan negatifnya terhadap kawasan yang dilanda banjir tersebut.
Persoalan di sini adakah banjir memberikan kesan langsung terhadap nilai atau harga hartanah di kawasan yang dilanda banjir berkenaan?
Sebenarnya tidak! Kesan banjir terhadap nilai dan harga hartanah sebenarnya adalah berlaku secara tidak langsung dan boleh mengambil masa yang lama untuk pulih dan kembali kepada asal walaupun masalah banjir tersebut telah diatasi.
Ini sebenarnya adalah berkaitan dengan permintaan yang akan turun secara mendadak terhadap hartanah di kawasan berkenaan yang telah dikenali kerana masalah banjir terutamanya jika diberikan publisiti meluas melalui berita. Bakal-bakal pembeli akan cuba mengelak untuk membeli di kawasan banjir berkenaan dan akan mencari kawasan sekitarnnya sebagai alternatif jika mereka masih mahukan hartanah di kawasan yang berkenaan. Ini seterusnyamenjadikan pemilik akan mengalami kesukaran untuk menjual pada harga yang mereka harapkan (tentunya harga yang lebih tinggi dari harga pembelian mereka berbanding masa dahulu). Apabila ini berlaku, akan ada pemilik-pemilik yang mempunyai kemampuan yang lebih untuk membeli di tempat lain untuk menjual rumah mereka pada harga yang rendah kerana bagi mereka yang penting adalah dapat menjual hartanah berkenaan. Jika ini berlaku dengan kerap dan mewujudkan transaksi yang banyak di bawah harga sebenar, nilai-nilai hartanah di kawasan ini akan mengikuti harga-harga rendah berkenaan dan seterusnya nilai-nilai hartanah akan menjadi rendah dan pasaran hartanah di kawasan ini merudum.
Berapa lama kesan ini akan mengambil masa?
Tempoh kesan akibat banjir terhadap hartanah ini sebenarnya adalah subjektif. Ini bergantung kepada skala banjir dan kawasan perumahan/penempatan tersebut dan publisiti yang diberikan terhadap kesan banjir tersebut. Apabila saya menyatakan mengenai publisiti, ia sebenarnya adalah hampir sama dengan kes kematian atau berlaku bunuh diri di kawasan apartment/condominium. Jika kes tersebut dapat dilindungi daripada diketahui umum dan tidak diberi liputan berita, maka ianya mungkin tidak memberi kesan yang besar terhadap hartanah berkenaan kerana ianya hanya diketahui oleh sebilangan mereka yang tinggal di kawasan berkenaan sahaja. Tetapi sekiranya ia diberikan liputan meluas dan pelbagai cerita-cerita direka maka kesan yang lebih besar akan berlaku terhadap hartanah berkenaan kerana orang ramai akan mengelak daripada membeli di kawasan berkenaan.
Sebenarnya inilah yang sepatutnya dielakkan daripada berlaku. Penduduk atau pemilik di sesuatu kawasan sebenarnya adalah disyorkan untuk tidak memberikan liputan terhadap sesuatu yang negatif yang berlaku di kawasan mereka. Adalah sebaiknya mereka melakukan perbincangan secara tertutup dengan pihak bertanggungjawab seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan sebagainya daripada memanggil wartawan-wartawan merakamkan dan menyaksikan mereka bertegang urat dengan PBT dan pihak berkuasa lain hanya untuk menyatakan perkara yang negatif mengenai kawasan mereka. Ini hanya akan mengundang kesan yang lebih teruk terhadap hartanah mereka dan akhirnya mereka yang terpaksa menanggung akibatnya. Mungkin ada diantara anda yang tidak bersetuju dengan saya kerana mungkin ada yang berpendapat PBT ini hanya bertindak apabila di bawa masuk TV, tetapi bagi saya jika semua perbincangan yang dilakukan tidak mendapat hasil maka barulah liputan tersebut dibuat hanya sebagai penyelesaian terakhir.
Akhir kata, bagi anda yang hartanah dilanda banjir… saya berharap anda bersabar dengan apa yang berlaku disamping mengambil langkah yang proaktif dan tidak merugikan diri anda sendiri. Semoga masalah banjir terutamanya di kawasan KL ini akan dapat diselesaikan apabila terowong SMART dibuka kelak dan lebih banyak kolam tebatan banjir dibina sepertimana yang telah diumumkan baru-baru ini.
Bagi anda yang tidak mengalami masalah ini, bersyukurlah dengan apa yang anda ada…. dan bagi setiap orang yang membaca posting ini… ingatlah… setiap apa yang berlaku sebenarnya kitalah sebahagian daripada puncanya…. seperti banjir… jika setiap daripada kita mengambil tanggungjawab tidak membuangkan sedikit sampah pun ke dalam longkang atau sungai maka kita sbenarnya telah melakukan suatu perkara positif dalam membina negara yang lebih maju dan mempunyai rakyat yang berkesedaran sivik yang tinggi. Janganlah kita biarkan negara ini menjadi negara dengan kemudahan kelas pertama tetapi mentaliti rakyat kelas ketiga sepertimana yang diperkatakan sekarang ini..
Semoga yang terbaik untuk anda semua….
Bagi anda yang mempunyai pendapat dan ingin berkongsi mengenai topik banjir dan hartanah ini, silalah berkongsi di sini….
