Saya tertarik dengan isu baru-baru ini mengenai REHDA meminta kerajaan menyemak semula harga rumah kos rendah daripada RM42,000 kepada RM60,000. Walaupun kerajaan akhirnya menolak permintaan mereka, di sini dapat dilihat bahawa REHDA sememangnya langsung tidak memikirkan kepentingan di pihak pembeli ataupun rakyat tetapi hanya memikirkan kepentingan kepada pemaju semata-mata.Walaupun kita sedia maklum bahawa REHDA sememangnya mewakili pemaju-pemaju hartanah di Malaysia, haruslah diingatkan bahawa setiap tindakan dan permintaan mereka mestilah mengambilkira hak dan kepentingan rakyat dan pembeli di dalam masa yang sama.
REHDA memang sentiasa membuat permintaan kepada kerajaan yang kebiasaannya hanya memberikan kelebihan kepada pemaju dan kesannya adalah kepada pembeli rumah. Kejadian harga besi yang meningkat sebelum ini juga telah menyebabkan harga rumah meningkat dan memberi kesan kepada pengguna. Jika dilihat kepada pengeluar besi dan simen (lebih kurang 6 pengeluar) di Malaysia, ia sememangnya mencukupi untuk pembangunan hartanah di Malaysia yang tidak berapa besar tetapi apa yang berlaku sebelum ini adalah pengeluar-pengeluar ini lebih berminat untuk mengeksport besi ke China yang amat memerlukannya untuk persediaan Sukan Olimpik mereka dengan pembinaan pelbagai infrastruktur dan pembangunan dengan harga yang lebih tinggi. Permintaan besi pada masa ini telah kembali kepada kadar biasa dan begitu juga seharusnya harga besi. Oleh itu untuk menyatakan bahawa harga rumah mestilah turut naik disebabkan kekurangan besi dan harganya yang meningkat adalah tidak munasabah.
Kerajaan seharusnya mengkaji dengan lebih teliti dan mendalam terhadap setiap permintaan seperti ini kerana ia biasanya hanya memberikan kelebihan kepada pemaju dan sebaliknya kepada rakyat. Pada masa pemaju-pemaju membuat keuntungan yang tinggi dan berjuta-juta ringgit, tiada siapa yang mempersoalkan dan mereka hanya berdiam diri menikmati keuntungan tersebut. Tetapi mengapa hanya apabila satu masalah timbul mereka terus meminta untuk harga-harga rumah dinaikkan dan menyatakan bahawa mereka mengalami kerugian.. Ini sememangnya adalah sesuatu yang tidak adil dan patut diperhatikam.
Walau apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada kerajaan kerana tidak lagi menurut kehendak REHDA dalam menunaikan permintaan mereka untuk menaikkan rumah kos rendah kepada RM60,000. Walaupun kuota untuk rumah kos rendah boleh dipertimbangkan, namun sebarang keputusan haruslah tidak membebankan pembeli.
Sekian..
Sudah agak lama tidak menjenguk blog ini..
Kerajaan telah membuat keputusan.. Semoga pemaju-pemaju akur dengan keputusan..