Pengeluaran bulanan dari Akaun KWSP

0
396

Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini pada Belanjawan 2008, pencarum KWSP dibenarkan untuk mengeluarkan wang simpanan dalam Akaun II mereka untuk tujuan pengurangan baki pinjaman perumahan bermula 1 Januari 208.

Pinjaman ini bertujuan meringankan bebanan bulanan di mana pencarum dibenarkan mengeluarkan wang mereka dengan syarat-syarat tertentu.

Pihak KWSP telah memperjelaskan syarat-syarat tersebut yang mana anda boleh baca seperti di bawah:

(Sumber: Laman web KWSP – www.kwsp.gov.my)

———————————————————————————————————-

KWSP Perjelas Syarat Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan syarat-syarat terperinci pengeluaran untuk membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan seperti yang telah dimaklumkan dalam kenyataan media pada 7 September lalu.

Mulai 1 Januari 2008 ahli yang mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM600 dalam Akaun 2 boleh membuat pengeluaran untuk membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan mereka.

Jumlah minimum pengeluaran bulanan ialah RM100 bagi tempoh minimum tidak kurang daripada enam bulan manakala jumlah maksimum pengeluaran bulanan tidak melebihi jumlah ansuran bulanan pinjaman perumahan.

Jumlah simpanan dalam Akaun 2 yang diperuntukkan untuk pengeluaran ini tidak boleh dikeluarkan untuk pengeluaran-pengeluaran lain.

Selain itu, ahli juga mesti belum mencapai umur 55 tahun dan tidak mempunyai tunggakan ansuran pinjaman perumahan.

Pengeluaran ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2008 pada 7 September lalu membenarkan ahli mengeluarkan simpanan daripada Akaun 2 dan bayaran dibuat terus ke dalam akaun peribadi bank mereka secara bulanan.

Buat masa ini ahli dibenarkan mengeluarkan simpanan daripada Akaun 2 untuk membina atau membeli rumah dan menyelesaikan baki pinjaman perumahan.

Syarat-syarat pengeluaran bulanan ini adalah seperti berikut:

  • Ahli mesti pembeli atau pembina dan peminjam serta pemilik ke atas rumah kediaman atau rumah kedai dengan unit kediaman.
  • Ahli masih mempunyai baki pinjaman perumahan daripada institusi pemberi pinjaman yang dibenarkan.
  • Rumah tersebut telah dicagarkan kepada pemberi pinjaman dan pinjaman telah dikeluarkan sepenuhnya (full disbursement) oleh pemberi pinjaman.
  • Ahli boleh membuat pengeluaran bagi mana-mana rumah tertakluk kepada sebuah rumah untuk setiap ahli dan tidak terhad kepada rumah yang pernah dibuat pengeluaran lain sebelum ini. Bagaimanapun, pengeluaran untuk kali kedua dan seterusnya hanya dibenarkan untuk rumah yang sama.
  • Pembiayaan semula (refinance) yang tidak berkaitan dengan pinjaman perumahan adalah tidak dibenarkan bagi pengeluaran ini.

Bagi ahli yang pertama kali membuat pengeluaran ini perlu mengisi Borang KWSP 9P (AHL) dan mengemukakan dokumen sokongan yang disahkan iaitu salinan Kad Pengenalan, salinan buku/penyata akaun bank yang masih aktif, surat pengesahan baki pinjaman perumahan, Surat Perjanjian Jualbeli/Bina Rumah, surat kelulusan pinjaman perumahan dan Borang Gadaian dan Suratan Hakmilik atau Suratan Ikatan Serahhak.

Manakala bagi pengeluaran seterusnya sekiranya ahli masih mempunyai baki pinjaman, ahli hanya perlu mengisi borang pengeluaran dan mengemukakannya berserta salinan Kad Pengenalan, salinan buku/penyata akaun bank yang masih aktif dan surat pengesahan baki pinjaman perumahan terkini.

KWSP akan membatalkan pengeluaran bayaran bulanan ini dan ahli akan hilang kelayakan memohon pengeluaran tersebut di masa depan sekiranya didapati:

  • Ahli mempunyai hutang tertunggak (non-performing loan) dengan pemberi pinjaman.
  • Pinjaman telah dibatalkan/diselesaikan.
  • Rumah telah dijual/dilelong/telah dipindahmilik kepada pihak lain.
  • Ahli disabitkan menipu dengan mengemukakan dokumen/butiran palsu untuk pengeluaran ini.

Maklumat lanjut mengenai pengeluaran berkenaan boleh diperoleh di laman web KWSP di bawah Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here