Memandangkan The Star Property Fair hanya bermula pada pukul 1 petang nanti, saya masih mempunyai masa pagi ni untuk menghantar sedikit posting sementara masih di hotel. Sejak hari Jumaat lepas lagi ingin saya memberikan sedikit review dan komen mengenai bajet 2009 tetapi masa kurang mengizinkan. Ada beberapa perkara yang berkait dengan isu hartanah yang boleh kita bincangkan di sini dan antaranya memang berkait terus dengan anda yang ingin membeli rumah.
Seperti yang saya nyatakan terdahulu, antara perkara yang paling menarik untuk anda yang merancang untuk membeli rumah adalah pengecualian 50% duti setem ke atas Dokumen Perjanjian Pinjaman. Ini adalah tambahan ke atas potongan yang sama ke atas duti setem dokumen Perjanjian Jual Beli yang telah diberikan terdahulu pada Bajet 2008 yang lepas. Walau bagaimanapun ini hanya untuk pembelian rumah bernilai RM250,000 ke bawah sahaja. Dan kedua-duanya akan menjimatkan anda sehingga RM2,000 – memang berbaloi!.
Antara perkara lain yang menarik adalah sambungan sistem rel sedia ada yang pastinya memberikan berita gembira kepada anda yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan. Ianya melibatkan sambungan 15km kepada laluan rel LRT Ampang-Sri Petaling sehingga Putra Heights, melalui OUG, Kinrara dan Puchong kepada laluan PUTRA-LRT dari Kelana Jaya melalui Glenmarie, Subang Jaya dan USJ. Selain itu laluan baru komuter dari Cheras ke Kota Damansara sepanjang 42km juga dijangka akan meningkatkan lagi nilai hartanah yang terlibat di kawasan berkenaan.
Selain daripada pemaju yang pastinya gembira dengan perancangan berkenaan yang melibatkan projek mereka, penduduk-penduduk di kawasan berkenaan juga akan turut sama menikmati faedah yang telah sekian lama mereka nantikan terutamanya kawasan-kawasan yang padat dan sesak seperti Subang Jaya dan Puchong.
Dijangkakan lebih banyak apartment-apartment akan dibina berhampiran dengan laluan baru berkenaan dan mungkin sesuai bagi anda yang merancang untuk membeli hartanah untuk masa hadapan sama ada untuk mendiami sendiri ataupun sebagai pelaburan.. Walau bagaimanapun, sedia maklum sesetengah kawasan berkenaan yang terlibat seperti Puchong sudahpun mempunyai lebihan penawaran hartanah yang boleh dibeli sekarang pada harga yang rendah dan ini mungkin juga salah satu perkara yang anda boleh pertimbangkan untuk pembelian anda.
Bersambung…

