Semalam saya agak terkejut dengan satu berita di TV3 mengenai permohonan REHDA yang mahukan kerajaan mengkaji semula harga rumah kos rendah daripada harga sekarang RM42,000 kepada RM60,000 dan RM75,000. Mereka mahukan harga rumah kos rendah di seluruh negara pada harga minimum RM60,000 kecuali di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang pada harga RM75,000.
Sememangnya perkara ini telah lama digembar-gemburkan terutamanya mengenai isu kenaikan kos bahan binaan. Tetapi umum serta kerajaan haruslah mengambil kira bahawa sesetengah pemaju yang dikenakan syarat untuk membina rumah jenis ini adalah hanya sebahagian daripada syarat kelulusan projek pembangunan mereka pada kuota tertentu seperti 10% atau 30%. Ini bermakna kerajaan telah mengambil kira keuntungan yang mereka boleh perolehi melalui pembangunan rumah-rumah atau hartanah jenis lain di dalam projek yang sama yang biasanya memberikan keuntungan yang tinggi kepada pemaju. Jika mereka hanya mengambilkira isu pembinaan rumah kos rendah sahaja, ini merupakan suatu perkara yang hanya akan menguntungkan satu pihak sahaja iaitu pemaju melainkan pembangunan projek berkenaan adalah semata-mata pembangunan projek rumah kos rendah.
Walau bagaimanapun, sesuatu pembinaan projek yang khusus untuk rumah kos rendah adalah biasanya merupakan projek kerajaan di bawah SPNB ataupun usahasama (JV) kerajaan dengan pemaju yang mana kerajaan akan tetap memastikan pemaju memperolehi keuntungan.
Ole itu saya tidak fikir buat masa sekarang kerajaan harus mempertimbangkan permintaan REHDA untuk kenaikan harga rumah kos rendah yang boleh dikatakan mendadak tersebut. Memandangkan semua barang sedang meningkat dan kadar inflasi semakin tinggi, menaikkan keperluan asas seperti ini hanya memburukkan lagi keadaan.
Selain itu saya berpendapat kerajaan juga harus mempertimbangkan pembangunan semula BANYAK rumah kos rendah yang terbengkalai atau berada di dalam status Non-Performing Loan (NPL). Saya mendapati terlalu banyak rumah jenis ini yang didapati terbiar begitu sahaja dan ada diantaranya dilelong pada harga serendah RM5,000. Oleh itu, jika masih terdapat beribu-ribu rumah seperti ini yang boleh diperolehi dengan harga yang rendah mengapa perlu mempertimbangkan pembinaan baru pada harga RM75,000? Siapa sebenarnya yang ingin mengaut keuntungan di sini? Pengurusan unit-unit sedia ada perlulah dipantau dan diuruskan dengan sistematik dan berkesan.
saya sungguh tidak setuju sekiranya harga rumah kos rendah dinaikkan dari RM60ribu ke RM75ribu. Ini kerana bakal pembeli rumah yang berpendapatan rendah tidak berpeluang untuk memiliki rumah sendiri sekiranya hal ini terus terjadi. saya berharap agar pihak kerajaan & pihak berwajib mempertimbangkan semula kenaikkan harga rumah tersebut.