
Bagi golongan pertengahan yang sebelum ini mengeluh kerana tidak layak untuk memohon di bawah Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang dilancarkan pada bulan Mac lepas, berita baik untuk anda semua kerana kerajaan bakal melancarkan skim rumah mampu milik untuk mereka yang berpendapatan isirumah kurang dari RM6,000.
Skim Perumahan Mampu Milik ini adalah lanjutan kepada SRP selepas kerajaan menerima maklumbalas terdapat ramai dikalangan golongan pertengahan yang tidak layak untuk memohon dibawah SRP kerana pendapatan melebihi RM3,000. Oleh itu melalui Skim ini, mereka yang berpendapatan diantara RM3,000 tetapi kurang dari RM6,000 bakal memohon untuk pembelian rumah di bawah skim ini … dengan syarat:-
1) Pendapatan isirumah (suami & isteri) kurang dari Rm6,000
2) Tidak memiliki rumah – hanya untuk pembelian pertama.
3) Harga rumah diantara RM220,000 – RM300,000.
Pada pendapat saya ini adalah lebih rasional untuk majoriti mereka yang tinggal di bandar besar berbanding Skim Rumah Pertamaku sebelum ini kerana kebanyakan mereka yang berkerja di dalam kategori ini mempunyai pendapatan melebihi RM3,000 tetapi tidak layak di bawah SRP.
Kerajaan juga akan membina lebih banyak rumah seperti ini di kawasan pinggir bandar dan saya menjangkakan kawasan pertama yang bakal dibangunkan dengan kediaman jenis ini adalah tanah milik KWSP di Sungai Buloh. Kawasan tersebut juga bakal dihubungkan dengan sistem pengangkutan MRT pada masa akan datang yang lebih efisien. Antara ciri-ciri rumah di bawah kategori ini adalah bersaiz 850kp-1,000kp, mempunyai 3 bilik dan harga siling RM300,000 (lebih rendah di bandar-bandar kecil).
Untuk mereka yang ingin membeli rumah di bawah skim ini, nantikan pengumuman lanjut yang akan dimaklumkan seterusnya nanti oleh kerajaan.