RM2 juta melalui TP1M bagi penyelenggaraan 15 projek perumahan

0
283

NUSAJAYA 11 Dis. – Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) memperuntukkan sejumlah RM2 juta melalui Tabung Penyelengaraan 1Malaysia (TP1M) bagi kerja-kerja penyelenggaraan 15 projek perumahan di negeri ini bagi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, kos keseluruhan projek itu ialah sebanyak RM2,086,451.80 dengan RM1,746,391.62 ditampung TP1M dan baki RM340,060.18 ditanggung persatuan penduduk dan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu melibatkan tiga pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dengan dua projek, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dengan 12 projek dan satu projek di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

“Kerja-kerja penyelenggaraan ini melibatkan kerja-kerja mengecat sahaja dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2013 manakala projek di kawasan seliaan MBJB akan dimulakan pada awal tahun depan,” katanya sebagai menjawab soalan Datuk Abdul Aziz Sapian (BN-Nusajaya) dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Ahmad Zahri berkata, TP1M merupakan inisiatif KWPKB yang dilancarkan pada 31 Januari 2010 bagi membaik pulih dan menyelenggara perumahan bertingkat kos rendah swasta berharga RM42,000 ke bawah dan sederhana rendah swasta berharga RM42,001 hingga RM80,000 di bandar-bandar utama seluruh negara.

Beliau berkata, peruntukan yang diberikan adalah mengikut geran sepadan 90:10 bagi rumah bertingkat kos rendah swasta iaitu 90 peratus dibiayai melalui TP1M dan 10 peratus ditanggung persatuan penduduk atau JMB.

Bagi kategori rumah bertingkat kos sederhana, beliau berkata, peruntukan yang diberikan adalah dengan nisbah 70:30.

“Kerajaan mengambil pendekatan ini bagi membantu persatuan penduduk atau badan pengurusan kos rendah dan sederhana rendah yang gagal menyelenggara harta bersama dalam kawasan kediaman mereka akibat kekurangan dana.

“Masalah ini dapat kita lihat keadaan rumah pangsa yang uzur dengan cat yang luntur, pelbagai kerosakan seperti tangga, lif, sistem sanitari dan bumbung yang sekali gus menjejaskan kualiti kehidupan penduduk,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here