PETALING JAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji kemungkinan menubuhkan bank tanah bagi mengekalkan momentum usaha membina rumah mampu milik untuk rakyat.
Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata memandangkan harga tanah akan meningkat dalam masa 10 tahun akan datang, kementerian itu perlu membeli tanah di kawasan strategik di pusat bandar raya dan bandar mulai sekarang sebagai pelaburan untuk melaksanakan projek rumah kos rendah dan mampu milik pada masa akan datang.
“Oleh kerana tidak terdapat dasar bagi kerajaan membeli tanah untuk kegunaan pada masa akan datang, kami harap Kementerian Kewangan (MOF) akan bersetuju dengan perkara ini dan menyediakan dana untuk kami berbuat demikian,” kata Abdul Rahman ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan 2014 bertemakan ‘Mengubah Landskap, Mendepani Tahun-tahun Mencabar’ anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman berkata kerajaan menerima banyak sambutan berhubung inisiatifnya untuk membina rumah mampu milik di bawah program MyHome (Skim Rumah Mampu Milik).
“Sehingga 1 Ogos 2014, 52,893 pemohon telah mendaftarkan diri dan 51 pemaju memohon 55 projek bagi membina 12,038 unit rumah. Setakat ini, 10 projek melibatkan 4,886 unit rumah diluluskan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, kementerian itu telah menyerahkan 72,076 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), 12,101 unit sedang dibina dan 18,453 unit di peringkat perancangan.
“Sehingga Jun 2014, kami meluluskan pembinaan 67,636 rumah oleh pemaju swasta…kami perlu mempercepatkan usaha ini untuk mencapai sasaran pembinaan satu juta unit rumah,” katanya.
Mengenai kesan daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015, Abdul Rahman berkata kementerian itu kini bekerjasama rapat dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan MOF untuk menangani isu itu dan berharap GST tidak akan memberi kesan langsung atau hanya mempunyai kesan minimum terhadap hartanah kediaman.
Pada sidang akhbar kemudian, Abdul Rahman berkata seseorang individu atau sesebuah syarikat yang ingin membeli lebih daripada empat unit rumah, tidak lagi perlu memohon kebenaran kerajaan, tetapi perlu mendaftarkan diri dengan kementerian itu.
“Kerajaan tidak boleh berkata ‘tidak’ kepada pembeli, tapi kami perlu tahu siapakah pembelinya,” kata beliau.
– BERNAMA