
JOHOR BAHRU 23 Mac – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) merancang untuk memberi kemudahan pembiayaan penuh bagi pembeli rumah kos rendah dan mampu milik menerusi Yayasan Sultan Ibrahim.
Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak berkata, kemudahan pembiayaan tersebut yang pertama kali diadakan akan diperluaskan ke negeri lain dalam usaha menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negara ini.
Katanya, menerusi skim tersebut, bank akan memperuntukkan kemudahan pembiayaan sehingga RM500 juta pada kadar yang kompetitif dan menarik bagi golongan berpendapatan rendah dan pembeli rumah pertama yang berkelayakan.
“Kemudahan pembiayaan sehingga RM500 juta itu membabitkan pembangunan 6,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik di Johor yang bernilai kurang daripada RM100,000.
“Menerusi kerjasama strategik bersama Yayasan Sultan Ibrahim, penjawat awam dan swasta yang layak di negeri ini boleh membuat tempahan rumah kos rendah dan mampu milik dengan pembayaran deposit serendah RM1,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran model Menara Bank Rakyat Johor, di sini hari ini.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Turut berangkat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi Bank Rakyat, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.
Mustafha berkata, pembinaan Menara Bank Rakyat Johor di Jalan Trus-Jalan Gereja, di sini menelan kos RM460 juta dan dijangka siap pada Mac 2019.
Katanya, blok bangunan pejabat 37 tingkat itu mempunyai keluasan 51,096 meter persegi dijangka mampu menarik pelabur asing untuk menjalankan perniagaan terutamanya pelabur dari China dan Singapura.