Malaysia seperti kebanyakan negara di seluruh dunia kini berdepan ketidaktentuan terhadap kejatuhan harga komoditi di samping sektor pembuatan yang mengalami kemerosotan turut mengakibatkan ketidakseimbangan kepada penyata aliran tunai dan kunci kira-kira yang mula memberi nilai spekulatif.
Sebagai contoh, syarikat minyak dan gas (O&G) gergasi seperti Petronas yang mempunyai pekerja paling ramai di negara ini iaitu 50,949 kakitangan setakat Disember 2014 memerlukan syarikat itu berbelanja sehingga RM9.59 bilion dengan kadar purata RM188,148 untuk setiap pekerja perlu melakukan sesuatu untuk menjadikannya kekal relevan.

Lantaran situasi berkenaan, pemaju mula mengorak langkah bangkit semula dan bersedia meningkatkan pertumbuhan industri tempatan dengan pelbagai projek baharu walaupun jualan menunjukkan trend perlahan di samping syarat pemberian pinjaman yang semakin ketat dikenakan institusi perbankan.
Bagaimanapun, perkara berkenaan dijangka memberi peluang pertumbuhan baharu untuk mencapai peningkatan sekiranya pemaju bersedia membangunkan projek holistik dan bersepadu berdasarkan trend generasi muda.
Berdasarkan statistik, generasi muda berumur bawah 40 tahun membentuk 70 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk di negara ini manakala enam peratus penduduk merangkumi mereka yang berumur 65 tahun dan ke atas.
Kaedah lama dalam sektor pembinaan dengan reka bentuk bangunan, susun atur dalaman dan tawaran diskaun bagi kelab pelabur hartanah serta diskaun yang tidak relevan adalah perkara lama yang perlu diberikan pembaharuan sekiranya inginkan peningkatan dalam sektor hartanah tempatan.
Pemaju hartanah pada waktu mencabar ketika ini perlu melakukan sesuatu seperti menilai kembali kelas aset kediaman ataupun melihat kepada perkembangan holistik yang memberi kesan kepada gaya hidup dan pekerjaan.
Sebagai contoh, kita melihat pembangunan holistik seperti i-City merangkumi kawasan seluas 72 ekar yang menyaksikan 500 deposit tempahan daripada 300 unit rumah kediaman sedia ada.
Selain itu, pasukan pemasaran saya sendiri, Asianland Realty Sdn Bhd menyaksikan orang ramai berbaris selama 12 jam sebelum pelancaran VIP dilakukan pada hari berikutnya membuktikan pembangunan bersepadu mampu menarik minat golongan muda ataupun dikenali sebagai Gen Y.
Keadaan ini memperlihatkan trend ditunjukkan pemaju yang menggabungkan matriks gaya hidup dengan kemudahan seperti sambungan kepada kemudahan Aliran Transit Massa (MRT) ataupun penghubung kepada pelbagai kemudahan.

Baru-baru ini, saya bersemuka dengan pemaju berkenaan hartanah yang terletak di Johor Bahru seluas lapan ekar di kawasan perdana dan mahukan ia dibangunkan secara premium, namun pada fikiran saya sendiri, ia berupaya menjadi projek yang gagal.
Bagaimanapun, masih ada harapan walaupun wujud ekonomi dalam ketidaktentuan dan dijangka berterusan sehingga pertengahan 2018.
Pemaju perlu mengubah pendekatan bersesuaian dengan generasi muda sebagai langkah baharu untuk meningkatkan strategi modal dan menerima pakai kehendak pelanggan untuk terus kekal berdaya tahan dalam pasaran.
Penulis adalah Pengarah Starfish Training Sdn Bhd – Warrick Singh