PHB Mahu Tingkat Aset Hartanah Komersial Perdana Di Seluruh Negara

0
336
C_PC0012583
Najib berucap ketika pelancaran tambahan unit PHB di Kuala Lumpur semalam

 

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) yang juga pengurus Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), bercadang untuk memiliki lebih banyak aset hartanah komersial perdana serta membangunkan projek hartanah bernilai tinggi di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata ia seiring usaha PHB untuk menambah saiz dana AHB dari semasa ke semasa selain membolehkan masyarakat Bumiputera menyertai segmen pelaburan hartanah.

“Tujuan AHB diwujudkan adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat Bumiputera untuk turut serta melabur serta mengambil bahagian dalam pemilikan hartanah komersil perdana yang menguntungkan di Malaysia menerusi pegangan unit dalam AHB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran 1.5 bilion unit tambahan AHB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, Khamis.

Menurut Kamalul Arifin, unit tambahan AHB itu adalah hasil perolehan dan pembangunan lima aset terbaharunya iaitu Menara 1 Sentrum, Blok B Gleneagles Kuala Lumpur dan pusat beli-belah Nu Sentral (KL Sentral) di ibu negara, The Shore Shopping Gallery (Melaka) dan One Precinct (Pulau Pinang).

Ini menjadikan saiz keseluruhan dana AHB meningkat kepada 3.5 bilion unit selepas penambahan dua kali sebanyak 500 juta pada 2012 dan 2013.

Nilai keseluruhan aset PHB setakat ini berjumlah lebih kurang RM7.6 bilion.

Sementara itu, pengurus pelaburan AHB iaitu Maybank Asset Management Sdn Bhd, menjangkakan unit tambahan itu habis dilanggani dalam masa enam bulan berdasarkan sambutan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisyam Abu Bakar berkata, keadaan pasaran semasa turut menjadikan AHB sebagai instrumen pleaburan menarik dengan pulangan yang berdaya saing.

AHB yang dilancarkan pada 29 November 2010, adalah unit amanah patuh Syariah dengan saiz permulaan sebanyak 1 bilion unit.

Pada 5 April lalu, PHB telah mengumumkan pengagihan pendapatan interim bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac, 2016, sebanyak 3.3 sen seunit yang akan dibayar kepada pelabur pada 15 April ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here