Lanjutan kepada cadangan Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan tempoh hari berkenaan pemberian lesen peminjam wang kepada pemaju telah menimbulkan reaksi negatif dari pelbagai pihak yang berpendapat jika ianya dilaksanakan akan terdapat lebih banyak kesan negatif dari positif. Di dalam pengumuman yang dilakukan tersebut sebenarnya terdapat isu-isu lain yang berkaitan yang mana saya ingin memberikan pendapat saya sendiri atas apa yang di cadangkan oleh tuan Menteri tersebut.
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mempertimbangkan cadangan supaya pemaju perumahan diberi lesen pinjaman wang untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman bank.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, “langkah itu dapat membantu pembeli menyelesaikan masalah tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli rumah dan juga sekali gus memperluaskan perniagaan pemaju.”
Kenyataan beliau yang menyatakan langkah tersebut akan dapat “membantu pembeli menyelesaikan masalah tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli rumah” dilihat sebagai satu niat yang murni tetapi jelas sekali cadangan ini seolah-olah dilakukan tanpa mengambilkira pelbagai perkara yang boleh memberi kesan sebaliknya. Namun begitu kenyataan “sekaligus (membantu) memperluaskan perniagaan pemaju” dilihat sebagai suatu yang agak bertentangan kerana seolah-olah pemaju sekarang lebih mendapat keutamaan dari kerajaan untuk menyelesaikan ‘masalah’ perniagaan mereka dan menjana keuntungan berbanding masalah rakyat yang memerlukan rumah mampu milik.
“Pemaju sukar untuk menjual rumah sekiranya pembeli menghadapi masalah kewangan dan akhirnya projek perumahan akan terbengkalai…”
Adakah isu pemaju tidak dapat menjual projek perumahan mereka lebih utama dari menjadikan rumah lebih mampu milik? Adakah pemaju hanya membina rumah-rumah yang tidak mampu dibeli oleh pembeli sahaja? Jika itulah jawapannya sudah tentu projek mereka susah untuk terjual kerana pemaju hanya lebih mementingkan pembinaan rumah mahal yang majoritinya tidak mampu dibeli oleh golongan majoriti berpendapatan sederhana. Pada masa ini pemaju lebih cenderung untuk tidak membina rumah mampu milik dengan alasan tidak menguntungkan. Selain itu harga rumah baharu dilihat jauh terlalu tinggi dari nilai pasaran rumah sebanding sedia ada yang kadangkala sukar untuk dilakukan justifikasi penilaian. Namun disebabkan pembelian rumah baharu tidak memerlukan penilaian rasmi dari penilai untuk tujuan pembiayaan maka ianya telah menyumbang kepada “kebebasan” pemaju meletakkan harga rumah yang pada pendapat mereka “berpatutan”.
Kerajaan seharusnya ingat bahawa perumahan merupakan suatu keperluan asas dan menjadikan harga rumah sebagai mampu milik perlulah sentiasa menjadi keutamaan. Masalah pemaju yang membina rumah kos tinggi dan mahal yang akhirnya tidak dapat dijual bukanlah sesuatu yang menjadi keutamaan kerajaan untuk diuruskan. Jika pemaju tidak dapat menjual rumah mereka pada harga yang mahal, mereka harus melakukan pelarasan pada komponen projek dan juga harga jualan bukan sebaliknya di mana pembeli dipaksa untuk membeli pada harga “mark-up” sesuatu rumah yang dilihat mahal dan kononnya diberikan rebet harga kemudiannya. Atau yang lebih teruk lagi sebagaimana cuba dilaksanakan oleh KPKT – memberikan kebenaran kepada pemaju untuk memberikan pinjaman pada kadar faedah yang tinggi (12%-18%) semata-mata untuk menjual projek mereka.
Jelasnya lagi, pemaju yang berminat boleh memohon lesen pinjaman wang bermula hari ini dengan cara membuat permohonan di kementeriannya di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Pindaan 2011).
“Setelah permohonan dibuat kita akan membuat penilaian dengan melantik jawatankuasa sebelum meluluskan permohonan. Lesen ini hanya dikeluarkan untuk satu projek dan apabila projek perumahan telah siap lesen akan dibatalkan. Sekiranya pemaju membuat projek baharu mereka perlu membuat permohonan baharu.”
Berdasarkan kenyataan di atas, perkara ini sebenarnya bukan lagi suatu cadangan tetapi telahpun mula dilaksanakan oleh KPKT dan akan mula menerima sebarang permohonan dari pemaju untuk dipertimbangkan. Saya tidak pasti sama ada KPKT telah menjalankan kajian terperinci mengenai perlaksanaan perkara ini dan jika ianya sudah dilaksanakan, siapakan responden dalam kajian tersebut? Adakah semuanya pemaju atau terdapat juga pihak-pihak lain yang mewakili pembeli?.
Diharapkan KPKT menunda perancangan mereka dalam memberikan lesen peminjam wang kepada pemaju dan lakukan terlebih dahulu kajian terperinci mengenainya. Sebaiknya.. lakukan lebih kajian mendalam mengenai bagaimana untuk menjadikan harga rumah lebih terkawal dan mampu milik dan bukan memikirkan bagaimana untuk menolong pemaju menjual rumah mereka.
Hello,
Ini adalah untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa Encik Kresimir previc, pemberi pinjaman pinjaman peribadi mempunyai membuka peluang kewangan untuk semua orang yang memerlukan apa-apa bantuan kewangan. Kami memberi pinjaman pada kadar 2% kadar faedah kepada individu, syarikat dan syarikat-syarikat di bawah terma dan syarat yang jelas dan mudah difahami. hubungi kami hari ini melalui e-mel di: (kresimirprevic4@gmail.com)