Ramai pilih rumah pinggir bandar selepas bersara

0
904

KWSP

SHAH ALAM – Ungkapan ‘Rumahku Syurgaku’ jelas menunjukkan betapa pentingnya mempunyai rumah dalam kehidupan seorang individu terutama bagi yang sudah berkeluarga.

Namun berikutan kenaikan kos sara hidup hari ini, rata-rata ramai yang memilih untuk membeli rumah di pinggir bandar sebagai perancangan persaraan kerana nilai hartanah yang masih rendah selain jauh daripada kesibukan kota.

Bagi Muhammad Rafiq Rafiqin, 29, yang merupakan eksekutif pemasaran di sebuah syarikat di sini, beliau memutuskan untuk membeli rumah di pinggir bandar berbanding di Kuala Lumpur meskipun lokasi kediaman itu agak jauh dari rumah keluarganya.

Beliau berkata ia berikutan faktor harga kediaman di pinggir bandar jauh lebih murah dan masih mampu dibeli berbanding kediaman di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur.

“Walaupun kini menetap bersama ibu bapa di Kuala Lumpur tetapi saya juga mempunyai perancangan untuk memiliki kediaman sendiri. Nak beli rumah di bandar besar seperti Kuala Lumpur mungkin agak sukar sebab nilai hartanah yang agak tinggi contohnya bagi rumah teres setingkat yang kini mencecah harga antara RM400,000 ke RM600,000.

“Jadi, saya merancang untuk mendiami kawasan pinggir bandar seperti di Sabak Bernam atau Kuala Selangor kerana nilai rumah yang ditawarkan mampu saya miliki iaitu antara RM200,000 ke RM400,000 untuk kediaman setingkat yang mempunyai keluasan sama seperti rumah di Kuala Lumpur,” kata anak jati Kuala Lumpur itu kepada Bernama.

Menurut Muhammad Rafiq, wujudnya lebih banyak lebuh raya yang menghubungkan kawasan pinggir bandar dan bandar juga menyebabkan beliau terdorong untuk membeli rumah di kawasan pinggir bandar.

Selain itu, beliau berkata persekitaran kawasan pinggir bandar yang masih kekal dengan budaya hidup berjiran dan faktor rumah ibadat yang banyak dibina di taman perumahan, turut menyebabkan ia menjadi pilihan beliau selepas bersara kelak.

“Buat masa ini mungkin saya akan duduk dengan ibu bapa sebab masih belum berkahwin…tetapi selepas berkahwin dan selepas tidak lagi bekerja, kita perlu memilih kawasan kediaman yang dirasakan paling sesuai termasuk berhampiran dengan masjid kerana di masjidlah pelbagai aktiviti akan kita lakukan untuk memenuhi masa terluang (selepas bersara),” katanya.

Bagi Raja Aisyah Maryam Amir, 43, pekerja di sebuah agensi badan berkanun di sini, beliau turut senada dengan Muhammad Rafiq berkaitan memilih lokasi kediaman selepas bersara.

“Saya dan suami turut bercadang untuk membina rumah kedua jauh dari bandar besar…kami telah mempunyai lot tanah di pinggir bandar Ipoh, Perak dan bercadang untuk membina rumah di sana kerana kos membina rumah di luar bandar lebih murah sebab kita boleh upah penduduk kampung untuk membina rumah mengikut bajet kita.

“Buat masa ini, saya masih menetap bersama suami dan anak-anak di rumah pertama kami di Jalan Kebun di sini, yang saya beli daripada orang kampung di situ tiga tahun lepas,” katanya.

Raja Aisyah Maryam berkata rumah kedua yang bakal dibina itu akan diduduki bersama keluarga selepas beliau dan suami bersara daripada pekerjaan masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau berkata situasi ekonomi hari ini turut mendorong beliau dan suami memilih untuk menetap di kawasan luar bandar.

“Untuk rumah pertama, saya dan suami telah menggunakan simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) daripada akaun kedua untuk membeli rumah disebabkan harga rumah kami itu agak tinggi iaitu mencecah sehingga RM300,000.

“Sebab itu untuk rumah kedua kami memilih mengeluarkan modal yang agak kecil dan mengikut pada kemampuan kami berdua sebab kami tidak mahu menanggung hutang (pinjaman perumahan) yang agak tinggi dalam tempoh jangka masa yang panjang,” katanya.

Beliau menambah, menetap di pinggir bandar atau di kampung juga dilihat lebih sesuai untuk golongan pesara kerana banyak aktiviti seperti bertani atau berniaga secara kecil-kecilan boleh dibuat.

“Selain itu, apabila telah bersara lebih banyak waktu terluang untuk kita beribadah. Di kampung, masjid dan surau lebih dekat atau berhampiran rumah, jadi itu lebih mudah,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here