
KUALA LUMPUR 30 Jan. – Bekalan bagi pejabat baharu dijangka lebih tinggi tahun ini, walaupun 82 peratus daripadanya tertumpu di kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur disebabkan oleh sentimen pelabur.
Pengarah Bersekutu Capital Markets JLL, Nick Carlton berkata, dalam masa sama jangkaan pilihan raya umum yang akan diadakan tahun ini juga menjadi antara faktor yang mempengaruhi keputusan pelabur terutama pada separuh pertama tahun ini.
Namun, katanya, secara keseluruhan, prospek bagi tempoh sederhana adalah positif didorong oleh pelaburan berterusan dalam pembangunan infrastruktur terutama dengan pembukaan kawasan-kawasan baharu di Kuala Lumpur.
“Pasaran semasa menunjukkan peluang untuk pembeli luar negara dengan menggunakan modal dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS). Tetapi kadar penyewaan pejabat adalah rendah memandangkan syarikat-syarikat kewangan dan minyak dan gas (O&G) mengecilkan operasi sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan sewaan.
“Kadar kekosongan yang semakin meningkat juga memberi tekanan kepada sewaan dan nilai modal. Ketika ini, dalam pasaran modal, pelaburan pejabat kekal dimonopoli pemain industri tempatan,” katanya di sini baru-baru ini.
Berdasarkan anggaran JLL Research, sewaan pejabat di pusat utama perniagaan Kuala Lumpur menurun pada tahun lalu dengan nilai modal juga menunjukkan trend yang sama. Malah, sewaan dan nilai modal juga berdepan dengan penurunan berterusan tahun ini.
Ini berdasarkan kepada jumlah transaksi pada 2015 mencecah RM4.49 bilion berbanding RM1.1 bilion pada tahun lalu, mencatat penurunan sebanyak 76 peratus. Nilai pelaburan tahun ini dijangka selaras seperti tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad (ARB), Adenan Md. Yusof berkata, kumpulan melaksanakan beberapa strategi untuk memastikan tidak berlaku risiko kekosongan bagi semua hartanah miliknya.
“Antaranya, kita akan memastikan ada penyewaan jangka panjang misalnya sehingga 20 tahun atau minimum tiga tahun. Ini bukan sahaja dapat mengelakkan berlaku kekosongan tetapi mampu berdepan dengan persaingan sekiranya pasaran hartanah jatuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketika ini, ARB menguruskan AmanahRaya Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dengan saiz dana sebanyak RM1 bilion dan mempunyai beberapa hartanah seperti hotel, bangunan pejabat, pusat beli-belah dan kampus universiti.