
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu dan merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi dan wang tunai RM500,000 dalam skandal rasuah serta penyelewengan hartanah di Johor.
Selain itu, akaun bank bernilai RM15.5 juta turut dibekukan. Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki, berkata suspek berusia 25 hingga 50 tahun itu termasuk anak dan pegawai khas seorang pegawai kanan kerajaan negeri, ditahan di beberapa lokasi di bandar raya ini dalam operasi serentak kira-kira jam 8.30 pagi semalam.
“Turut ditahan ialah dua pemaju hartanah, seorang peguam dan orang awam yang dipercayai terbabit dalam skandal terbabit.
“Menerusi maklumat awal, semua suspek disyaki bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis di Johor.
“Kegiatan mereka dipercayai menyebabkan kerugian berjuta ringgit kepada hasil pendapatan kerajaan negeri.
“Dalam operasi itu, SPRM merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi dan wang tunai berjumlah kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing, selain pelbagai dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Azam berkata, SPRM dalam proses meneliti dokumen dirampas berhubung penyelewengan hartanah di Johor.



Katanya, sebanyak 45 akaun bank milik semua suspek berjumlah RM15.5 juta dibekukan bagi membantu siasatan kes. Beliau berkata, pihaknya juga akan memanggil beberapa saksi bagi membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah, Noor Hidayah Abdul Manaf, membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.