SEREMBAN: Kerajaan negeri mencadangkan pemaju perumahan menggunakan media sosial untuk mempromosikan lot rumah yang diperuntukkan kepada Bumiputera bagi membolehkan masyarakat mengetahui lot berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias, berkata pemaju perumahan di negeri ini, mendakwa menghadapi masalah untuk menjual lot berkenaan dengan jumlah terkini sebanyak 1,164 unit rumah. Bagaimanapun, katanya pada masa sama, kerajaan menerima aduan daripada masyarakat Bumiputera bahawa kebanyakan lot berkenaan habis dijual.
“Kebanyakan pembeli Bumiputera tidak tahu bahawa lot untuk mereka masih ada kerana pemaju perumahan tidak mengiklankan hartanah itu dengan meluas.
“Oleh itu, pemaju perumahan perlu mengiklankan dengan lebih meluas, bukan sahaja menggunakan kaedah yang biasa digunakan, tetapi juga dalam pelbagai aplikasi media sosial seperti Facebook dan Twitter,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Ekspo Perumahan dan Hartanah Bumiputera, anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Negeri Sembilan di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Jalaluddin berkata, antara syarat yang ditetapkan sebelum lot rumah untuk Bumiputera boleh dijual kepada pihak lain ialah pemaju perumahan perlu membuktikan sudah menghebahkan maklumat mengenai lot berkenaan secara meluas.
“Selepas mengiklankan dalam akhbar bagi tempoh tertentu dan dihebahkan melalui media sosial, namun masih tidak boleh dijual, barulah kerajaan negeri akan mengkaji permohonan untuk menjual lot berkenaan kepada pihak lain,” katanya.