KUALA LUMPUR 4 April – Malaysia dijangka tidak mengalami gelembung hartanah dalam tempoh lima tahun. Malaysia telah mengambil iktibar daripada kegawatan ekonomi 1997-1998 serta krisis subprima gadai janji Amerika Syarikat pada 2008.
“Malaysia tidak akan mengalami gelembung hartanah memandangkan unjurannya untuk tempoh lima tahun akan datang sangat baik.”
Landskap ekonomi semasa membolehkan pasaran melaraskan semula dan bertindak balas terhadap faktor-faktor yang berhubung kait dengan kos hidup yang semakin meningkat, pertumbuhan pendapatan yang tidak berubah serta peningkatan harga rumah.
“Ini merupakan punca kestabilan harga sekarang,” katanya, sambil menambah bahawa Indeks Harga Rumah Negara Malaysia meningkat 5.36 peratus pada suku ketiga 2016, lebih rendah berbanding 7.35 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Harga rumah meningkat lebih daripada purata pendapatan isi rumah Malaysia sejak 2009 hingga 2015, mencatatkan pertumbuhan dua angka antara 2012 dan 2013. Dan pasaran kini disokong oleh projek hartanah yang dimulakan tahun lepas.
“Projek-projek ini akan dapat memenuhi jangkaan harga oleh orang ramai ke atas perumahan,” katanya.
Harga rumah mulai 2010 melepasi purata pendapatan isi rumah Malaysia, sebelum pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Untuk masa hadapan, Premendran berkata, rumah mampu milik terus mendapat permintaan yang tinggi, sama dengan situasi di United Kingdom (UK), Australia dan Amerika Syarikat.
“Inisiatif kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur merupakan langkah positif untuk pasaran hartanah Malaysia. Kita perlu memberi pasaran masa yang mencukupi untuk pelarasan sendiri dan kita akan mula melihat penentuan harga yang lebih berpatutan ke atas rumah,” katanya.
Sementara itu, terdapat banyak pilihan untuk orang ramai memiliki rumah sendiri jika mereka berkompromi terhadap saiz dan jarak antara rumah dan tempat kerja.
Penanda aras Australia untuk kualiti hidup yang baik ialah 30 minit dengan pekerja yang tiba di tempat kerja dalam tempoh setengah jam, dianggap sebagai pertumbangan yang sangat baik.
Skim perumahan terkini seperti ‘Skim Rumah Pertamaku’ dan ‘duduk dan beli’, membolehkan pemilik rumah pertama menerima kunci lebih awal daripada tempoh yang biasa berbanding proses kawal aturan biasa bagi pembelian rumah. – BERNAMA