Home Berita PR1MA perkenal model pembangunan berorientasi transit

PR1MA perkenal model pembangunan berorientasi transit

0
297

KUALA LUMPUR 25 Mac – Komi­ted menyokong usaha kerajaan dalam menyediakan kediaman berkualiti bagi golongan berpendapatan sederhana, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) memperkenalkan sebuah projek baharu yang menggunakan model pembangunan ber­orientasikan transit (TOD).

Berkonsepkan kediaman yang terletak berhampiran dengan lokasi tumpuan pekerjaan, sekolah, kemudahan kesihatan dan pengangkutan awam bersepadu seperti sistem transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT), secara langsung akan meningkatkan mobiliti dan produktiviti rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, Perdana Menteri memberi mandat kepada PR1MA untuk me­laksanakan projek TOD di lapan lokasi sepanjang jaringan LRT.

“TOD adalah model pemba­ngunan hartanah kediaman dan komersial yang semakin popular terutamanya di kota-kota besar di dunia seperti Singapura, Hong Kong dan Washington bertujuan memaksimumkan penggunaan tanah di kawasan bandar serta menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan awam.

 

“Cempaka, Pandan Indah, Pandan Jaya, Titiwangsa, Bandar Baru Sentul, Jelatek, Kinrara dan Bandar Puteri adalah lapan lokasi yang telah dise­naraikan oleh Perdana Menteri dan untuk fasa pertama TOD PR1MA akan bermula di dua lokasi iaitu Cempaka dan Pandan Jaya,” katanya ketika ditemui di Ekspo Jualan Perumahan Edisi Nasional di Dewan Tun Abdul Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ekspo tersebut dianjurkan oleh agensi perumahan Persekutuan dan negeri termasuk PR1MA; Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), bertujuan mengga­lakkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) bermula 24 Mac sehingga 1 April ini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here