PEMBANGUNAN mega, Bandar Malaysia yang dianggarkan membabitkan nilai kira-kira AS$10 bilion (RM43 bilion) dilihat masih mampu memberi nilai pulangan positif kepada negara jika diteliti dan dikaji sepenuhnya membabitkan pelbagai aspek.
Penganalisis berpendapat, meskipun pembangunannya mungkin tertangguh disebabkan pembatalan projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, ia tidak semestinya perlu turut sama dibatalkan. Pembatalan HSR tidak semestinya menjadi satu pengakhiran kepada pembangunan Bandar Malaysia.
“Pada masa ini memang sukar untuk memberikan pandangan mengenai prospek projek di Malaysia (termasuk perancangan beberapa projek mega seperti Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange), berikutan kerajaan baharu kini memberi lebih tumpuan kepada pengurangan perbelanjaan dan hutang.
“Bagaimanapun, projek seumpamanya seperti Bandar Malaysia didapati masih mempunyai banyak perkara positif yang wajar dipertimbangkan. Kita perlu melihat kepada keseluruhan pelan induknya, di mana HSR hanya satu daripada komponen strategik yang ada,”
Ia berkata, manfaat projek seumpama itu juga perlu dilihat daripada pelbagai perspektif terutama kepentingan kepada pembangunan sosio-ekonomi serta faedah yang mampu dijana untuk negara.
Mengulas mengenai sejauh mana kesan pembatalan projek mega seperti HSR dan MRT3 terhadap sektor hartanah, PropertyGuru berkata, sektor hartanah Malaysia dari perspektif makro terbukti masih sangat berdaya tahan dan akan terus mengukuh.
“Walaupun mungkin terdapat beberapa kesan kejutan di peringkat awal, ia dijangka akan kembali pulih untuk tempoh jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, seorang penganalisis daripada firma pelaburan terkemuka berpendapat, kemungkinan pembangunan Bandar Malaysia tertangguh seketika disebabkan pembatalan HSR.
“Bagaimanapun, setakat ini tarikan utama kepada pembangunan Bandar Malaysia sebelum ini adalah untuk dijadikan sebagai hab pengangkutan kedua selepas KL Sentral.
“Pemilihan lokasinya adalah strategik kerana ia antara tanah pembangunan yang berada berhampiran dengan pusat bandar,” katanya.
Beliau, tempoh penangguhan projek berkenaan tidak diketahui tetapi kemungkinan paling awal perancangan baharu, akan bermula tahun depan.
“Mahu atau tidak, kerajaan perlu membangunkan Bandar Malaysia disebabkan masalah hutang dan dengan terbitan sukuk serta liabiliti lain bernilai berbilion ringgit,” katanya.