Home Berita Teliti semula permohonan

Teliti semula permohonan

Pembeli rumah bumiputera ditolak institusi kewangan

0
382

SEPANG 15 Julai – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti semula permohonan pembeli rumah mampu milik golongan bumiputera yang ditolak oleh institusi kewangan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan dapat memiliki rumah selain me­ngatasi lambakan rumah mampu milik kuota bumiputera yang tidak terjual.

“KPKT juga akan mengadakan pertemuan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan institusi kewangan yang lain untuk mencari penyelesaian masalah ini.

 

“KPKT komited bagi membantu golongan bumiputera memiliki rumah,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Umum Pencegahan Penderaan Seksual Kanak-kanak di Tanjung Sepat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil kajian Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yang mencadangkan agar rumah mampu milik kuota bumiputera yang tidak terjual dilepaskan ke pasaran terbuka.

Penyelidikan itu turut mendedahkan bahawa kuota bumiputera yang tidak terjual dan tidak dilepaskan ke pasaran terbuka hanya mengakibatkan peningkatan kos pegangan dan keseluruhan kos pembangunan.

Menurut Rehda, ini akan me­ningkatkan harga lot bukan bumiputera berikutan kos bagi seunit rumah telah dilepaskan kepada pembeli.

Mengulas dua lagi cadangan oleh kajian berkenaan, Zuraida berkata, cadangan berkenaan akan dipertimbangkan oleh pihaknya yang kini sedang me­rangka Dasar Perumahan Negara 2.0 yang dijangka siap penghujung tahun ini.

Dua cadangan berkenaan adalah menetapkan harga siling bagi rumah mampu milik di Kuala Lumpur dan Lembah Klang pada harga RM500,000 dan pembinaan rumah mampu milik diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan manakala pemaju swasta hanya membina rumah yang didorong pasaran tanpa kawalan harga dan kuota. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here