60 peratus daripada tiga blok SkyAwani terjual

0
326

KUALA LUMPUR: Sejumlah 1,200 unit atau 60 peratus daripada SkyAwani 3 Residences di bawah skim perumahan mampu milik Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) sudah terjual dalam tempoh enam bulan selepas pelancarannya pada Februari lalu.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Skyworld Development Group (SkyWorld), Lee Chee Seng, berkata tiga blok terakhir SkyAwani dijangka akan dibuka untuk jualan pada Ogos depan.

Katanya, memandangkan SkyAwani 3 memiliki pelbagai kemudahan dan ditawarkan pada harga yang sama, beliau yakin ia akan mencatatkan kejayaan yang seperti SkyAwani 1 dan SkyAwani 2.

“Kerja-kerja cerucuk untuk siri ini akan siap pada bulan depan, manakala kerja-kerja pembinaan utama akan bermula pada September,” katanya kepada Bernama selepas melawat SkyAwani 1 di sini hari ini.

SkyAwani 3 menawarkan 1,905 unit, masing-masing dengan binaan standard seluas 800 kaki persegi pada harga RM300,000. Blok ini dijangka siap sepenuhnya pada 2022.

Kondominium itu yang terletak di Setapak, memiliki nilai pembangunan kasar sebanyak RM600 juta serta dilengkapi dengan tiga bilik dan dua bilik mandi.

Siri keempat SkyAwani, SkyAwani 4, juga terletak di Setapak, akan dilancarkan pada suku ketiga tahun depan, dengan unit-unit berkeluasan 1,700 dan 800 kaki persegi seunit pada harga yang berpatutan.

Menurut beliau lagi, skim perumahan seperti Rumawip perlu diteruskan kerana ia membantu golongan muda dan pasangan baru berkahwin untuk memiliki rumah, kerajaan juga perlu mengkaji semula terma-terma pinjaman bank bagi memudahkan pembeli pertama seperti belia dan graduan universiti.

“Ya, memang terdapat banyak pembeli tetapi kadar pembeli yang gagal dalam permohonan pinjaman mereka adalah agak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Lee menafikan dakwaan bahawa kualiti cat di blok SkyAwani 1 adalah berkualiti rendah, berikutan SkyWorld sentiasa menyampaikan produk yang baik dan berkualiti tinggi.

“Yang membuat aduan ini, hanya segelintir pembeli, mereka mendakwa bahawa cat bangunan SkyAwani 1 adalah seperti sebuah pangsapuri berkos rendah tetapi mereka tidak tahu trend warna di Eropah yang sedang menjadi ikutan sekarang ini,”

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here