Pembiayaan 80% Dalam Kajian Bank Negara

2
348

Isu ini sedang menjadi perbincangan hangat dalam beberapa minggu ini (sehinggalah isu kes bunuh Jutawan Sosilawati timbul… ) dan pelbagai pihak mewakili pelbagai golongan tampil memberikan hujah masing-masing dengan cadangan Bank Negara untuk membenarkan bank-bank hanya memberikan pembiayaan sehingga 80% sahaja berbanding sekarang pada kadar 90% (ada sehingga 100%)…

Isu ini juga pernah saya timbulkan pada bulan Mei yang lepas (baca di sini) dan mungkin juga ianya menarik perhatian pihak-pihak yang berkenaan untuk mempertimbangkannya kerana sememangnya harga rumah sekarang ini menjadi tidak terkawal dan keterlaluan…

Dari pembacaan saya sejak minggu lepas di Berita Harian, Sinar, NST & Business Times boleh dikatakan hampir kesemuanya termasuk bank tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.  Manakan tidak kalau itu semua adalah keuntungan bisnes mereka dan juga mereka yang berkepentingan.  Ada yang tiba2 pula menjadi pejuang bangsa sedangkan isu yang dibincangkan di sini adalah pinjaman sehingga 80% adalah hanya untuk pembelian rumah kedua dan seterusnya dan bukan untuk rumah pertama.

Bagi mereka yang faham dengan masalah ini tentunya akan bersetuju dengan cadangan kajian tersebut kerana ini adalah untuk mengawal spekulasi harga di dalam pasaran hartanah yang menyebabkan harga rumah melonjak naik dan seterusnya menjadikan ramai yang tidak mampu memiliki rumah (rumah pertama milik sendiri untuk didiami).   Saya tidak hairan dengan mereka yang tidak bersetuju kerana hakikatnya ramai diantara mereka adalah mereka yang ‘berduit’ atau boleh saya katakan jutawan dan tiada masalah untuk membeli sebijik rumah…   Mereka lebih memikirkan periuk nasi mereka untuk membuat untung mudah akan terjejas jika cadangan ini dilaksanakan.

Saya fikir jika dilakukan kajian terhadap majoriti mereka yang berpendapatan sederhana dan tidak memiliki rumah lagi sudah tentunya akan bersetuju dengan apa yang saya cadangkan dan juga kajian terhadap cadangan bank negara tersebut.   Golongan berpendapatan sederhana semakin lama semakin terhimpit… ‘no thanks to the income tax sturcture!’…  ramai diantara mereka boleh dikatakan hanya mampu tinggal di rumah-rumah flat atau apartment jika mahu tinggal berhampiran tempat kerja ataupun terpaksa membeli jauh dari tempat kerja jika mahukan rumah bertanah (landed) yang mana harganya semakin tidak munasabah.

Jika Bank Negara melaksanakan cadangan tersebut, saya dapati sedikit pengurangan terhadap pembelian spekulasi atau untuk tujuan pelaburan akan berlaku walaupun tidak signifikan.  Walau bagaimanapun, ianya boleh dijadikan ‘benchmark’ untuk tindakan sewajarnya pada masa hadapan sama ada untuk terus menggunakan kaedah ini (seperti mengurangkan lagi margin pinjaman kepada 70% seperti di Singapura) atau mencari mekanisme lain untuk mengatasinya.  Selain itu, mereka yang ingin membeli rumah untuk kali pertama juga tidak akan terjejas dengan polisi yang akan diimplementasikan ini kerana mereka akan tetap layak untuk mendapat margin pinjaman 90% (atau sehingga 100%) sebagaimana yang diamalkan sekarang.

Kerajaan juga tidak harus tunduk dengan desakan sebelah pihak sahaja kerana pandangan minoriti mereka yang terlibat secara langsung seperti ‘rakyat berpendapatan sederhana’ harus juga diambil kira.  Sebagaimana yang dinyatakan terdahulu, pihak bank dan sesetengah pihak berkepentingan yang lain sudah pastinya tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana ianya akan menjejaskan ‘keuntungan’ mereka.  Pendapat bebas dari golongan penyelidik, professional dan akademik juga harus dipertimbangkan supaya di dalam masa yang sama Dasar Perumahan Negara dapat dicapai dengan matlamat memberikan rumah mampu milik kepada rakyat Malaysia dan satu keluarga satu rumah.

Saya pasti ketika ini ramai juga yang tidak bersependapat dengan saya kerana sebelum ini juga sudah ada jemputan-jemputan dari pihak tertentu kepada saya untuk membantah cadangan perlaksanaan polisi ini.  Bagi saya tidak salah untuk anda untuk membuat keuntungan tetapi jika ianya hanya menyebabkan ada golongan yang tertekan atau menjadi mangsa, ianya harus dihentikan dan dikaji semula.

Saya amat mengalu-alukan sebarang pendapat anda berkaitan isu ini, tidak kira sama ada anda bersetuju atau tidak atau mungkin sekadar memberikan pendapat sebagai golongan berpendapatan sederhana, pelabur, banker, dan sebagainya yang mana mungkin turut sama menyumbang kepada cadangan ini.

Sekian.

2 COMMENTS

  1. pada pendapat kaedah bank negara untuk menghadkan jumlah pembiayaan pinjaman mengikut bilangan pinjaman yang dilakukan bukan merupakan kaedah terbaik untuk menyelesaikan permasalahan spekulator perumahan ini. Ini adalah kerana boleh dikatakan spekulator kewangan ini mempunyai kewangan yang kukuh dan masih lagi boleh melakukan spekulator ke atas harga rumah dan yang ingin dikawal disini ialah pemilikan rumah mampu milik dan bukannya kemampuan kewangan kerana sekiranya kita mengawal kemampuan kewangan ia akan memberikan kesan kepada pembangunan ekonomi dan taraf hidup rakyat. justeru pada pendapat saya kaedah yang paling berkesan ialah dengan mengawal pemilikan rumah itu sendiri. Sebagai contoh sekiranya pembeli membeli rumah teres pada harga 250k ia tidak layak untuk membeli rumah dari jenis yang sama pada harga yang lebih rendah dari harga rumah yang dibeli terdahulu iaitu 250K tetapi boleh membeli pada harga yang lebih tinggi dari rumah yang dimiliki. Dengan kaedah ini kita dapat menghadkan pemilikan keatas rumah2 yang dijual dari jenis yang sama disamping mengelakkan spekulator dari terus berleluasa.

    Yang Alert.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here