CTOS dan Anda…

2
614

Setelah sekian lama mengikuti perkembangan dan perdebatan mengenai isu CTOS akhirnya saya tergerak untuk berkongsi dan meluahkan sedikit pendapat saya mengenai isu ini – yang mana saya kira mungkin ada yang bersetuju dan pastinya ada yang tidak setuju.

Saya fikir di sini saya tidak perlu menjelaskan lebih lanjut tentang apa sebenarnya CTOS atau ‘Credit Tip-Off Service‘ kerana saya fikir anda pasti telah membaca mengenainya berulang kali dalam tempoh tiga minggu yang lepas.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah Adakah CTOS benar-benar bersalah di dalam hal ini seperti semua yang didakwa oleh M.Kayveas? Dan adakah benar wujudnya ‘mangsa’ terhadap kewujudan CTOS ini? Atau individu-individu yang namanya di dalam senarai CTOS tersebut sendiri yang sebenarnya menjadikan diri mereka mangsa kerana tidak melangsaikan hutang mereka.

Jika anda telah membaca ebook ‘Panduan Membeli Rumah’ dari Tipshartanah, anda mungkin sedikit sebanyak telah faham tentang apakah sebenarnya CTOS dan kepentingan untuk mempunyai rekod yang baik (tiada rekod CTOS) sebelum mendapatkan pinjaman. Ini kerana berdasarkan praktis sekarang oleh SEMUA bank-bank dan pembiaya, menyemak rekod CTOS adalah WAJIB sebelum memberikan kelulusan terhadap sesuatu permohonan pinjaman.

Bagaimana jika nama anda telah tersenarai di dalam rekod CTOS? Adakah ini bermakna anda memang tidak layak lagi untuk terus membuat pinjaman pada masa hadapan? Sebenarnya tidak! Apa yang perlu kita faham di sini adalah CTOS telahpun menyatakan bahawa rekod di dalam pangkalan data mereka dan sistem yang disediakan adalah sebagai rujukan dan bukannya syarat bahawa seseorang itu telah disenaraihitam – Ini bermaksud, segalanya adalah kembali kepada budibicara bank untuk membuat penilaian terhadap kredibiliti seseorang dalam memberikan pinjaman – dan SEKALI LAGI… pada masa ini.. bank sememangnya bergantung SEPENUHNYA pada rekod CTOS (selain CCRIS oleh Bank Negara) di mana kebanyakannya terus ‘REJECT’ permohonan pinjaman tanpa mendapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada pemohon walaupun mempunyai kelayakan pinjaman yang baik selain rekod CCRIS lain yang bagus. Di sinilah yang mungkin berlaku ketidapuashatian dan salah faham dan akhirnya membawa kepada perbalahan dan perdebatan isu ini. Jadi, adakah ini kesilapan di pihak bank ataupun CTOS? Pastinya bank… Dan CTOS akan dipersalahkan kerana tidak mengemaskini data dan rekod mereka yang akhirnya menyebabkan permohonan pinjaman seseorang itu ditolak walaupun telah membuat pembayaran atau melangsaikan hutang mereka.

Adakah mengemaskini data individu menjadi tanggungjawab CTOS? Kita mungkin mengatakan Ya kerana berfikir mereka yang telah mengumpul data dan memasukkannya dalam rekod CTOS maka merekalah yang bertanggungjawab untuk mengemaskininya… tetapi sebenarnya kita perlu faham bahawa CTOS hanya mengumpulkan maklumat daripada akhbar-akhbar, pemberitahuan awam seperti lelongan dan sebagainya serta bukannya daripada bank ataupun Jabatan Insolvensi mahupun Bank Negara. Oleh itu, mengemaskini maklumat individu/syarikat yang berada di dalam senarai CTOS sebenarnya mejadi tanggungjawab individu itu sendiri setelah beliau menyelesaikan hutang/bayaran tertunggak dengan pihak yang berkenaan seperti bank. Mereka boleh menghantarkan bukti bayaran atau surat menyatakan hutang telah dilangsaikan yang dikeluarkan oleh bank kepada mereka dan menghantarkannya kepada pihak CTOS Sdn Bhd untuk dikemaskini dan ini boleh dilakukan hanya dengan memfakskan kepada CTOS.

Jadi, pendapat saya ini sebenarnya tidak menjadi masalah kerana CTOS tidak mewajibkan seseorang itu perlu hadir untuk mengemaskini rekod mereka, cukup sekadar memfakskan surat/bukti serta menelefon mereka menyatakan perkara berkenaan dan mendapatkan kepastian tempoh untuk rekod dikemaskini yang mana biasanya adalah 3 hari bekerja. Ini hanya akan menjadi masalah apabila seseorang itu tidak faham operasi CTOS (mungkin kerana tidak tahu) dan menganggap ia seperti CCRIS yang mana akan dikemaskini secara automatik sebaik sahaja mereka telah melangsaikan hutang.

Bagi saya CTOS ini hanya bermasalah kepada mereka yang hanya tahu membuat hutang tetapi tidak mahu membayarnya. Selain itu yang menjadikan CTOS ini lebih bermasalah adalah pihak bank yang meletakkan CTOS sebagai faktor utama kelulusan seperti yang saya nyatakan di atas. Walaupun ada bank/pembiaya yang boleh meluluskan permohonan anda sebaik sahaja anda melangsaikan hutang anda dan mengemaskini rekod CTOS anda (seperti MBSB dan CIMB) terdapat bank-bank lain terutamanya bank asing yang hanya akan menerima permohonan yang mana rekod CTOS telah dikemaskini sekurang-kurangnya selama satu tahun. Ini bermaksud, jika anda telah melangsaikan hutang anda 3 tahun yang lepas (setelah nama anda direkod dalam CTOS) dan hanya membuat kemaskini dengan pihak CTOS 6 bulan yang lalu, maka kebarangkalian untuk permohonan anda diluluskan adalah amat rendah kerana anda dikira baru melangsaikan hutang anda 6 bulan lepas berdasarkan rekod CTOS.

Selain itu, saya juga berpendapat bahawa CTOS seharusnya bukan sahaja mengemaskini rekod individu (dengan meletakkan ‘Remark’) setelah hutang dilangsaikan tetapi seharusnya memadamkan terus dari rekod mereka supaya individu berkenaan terus boleh membuat pinjaman ataupun mendapatkan pembiayaan.

Bank atau pembiaya juga seharusnya mendapatkan penjelasan daripada pemohon jika terdapat rekod CTOS dan bukannya terus menolak permohonan tanpa memberikan alasan kerana terdapat ramai lagi yang tidak tahu bahawa mengemaskini rekod CTOS perlu dilakukan sendiri oleh mereka dan bukannya secara automatik apabila mereka membuat bayaran dan juga kebanyakan mereka adalah mangsa kerana menjadi Penjamin kepada orang lain.

Oleh itu, bagi saya adalah amat jelas bahawa CTOS sebenarnya lebih membawa kebaikan terutamanya untuk mengawal hutang tidak berbayar (NPL) selain melindungi pihak pembiaya TETAPI beberapa perkara perlu diperbaiki dan dinyatakan dengan jelas sama ada oleh mereka atau melalui bank supaya ramai yang tidak menjadi ‘mangsa’ kerana tidak faham apa yang sepatutnya dilakukan.

Kerajaan melalui Bank Negara juga seharusnya mengingatkan bank/pembiaya supaya tidak meletakkan CTOS sebagai syarat utama kelulusan dan nama mereka yang telah melangsaikan hutang seharusnya dipadamkan terus daripada rekod CTOS. Bank-bank juga tidak seharusnya meletakkan syarat perlu menunggu tempoh setahun selepas rekod CTOS dikemaskini untuk membolehkan individu berkenaan mendapatkan pinjaman.

Selain itu, kerajaan juga harus MENGHADKAN penggunaan CTOS hanya untuk pembiayaan dari bank atau organisasi yang tertakluk di bawah Akta Bank Negara 1958 dan bukannya bebas kepada mana-mana syarikat seperti Syarikat Perabut atau Barang Elektrik, Kelab Golf ataupun pembiaya kerajaan negeri sekalipun.

Saya harap semoga dengan sedikit penjelasan di atas maka anda dapat mengetahui apakah sebenarnya yang menjadi punca sebenar isu CTOS yang hangat diperkatakan sekarang dan jika anda mempunyai pengalaman bersama CTOS, saya amat-amat alukan perkongsian anda di Tipshartanah Blog ini.

Sekian..

Xpaid.Net Jana pendapatan tambahan dengan mudah !!

2 COMMENTS

  1. SAMBUNGAN kepada isu CTOS…

    Kerajaan telah mengumumkan bahawa bank-bank dikehendaki mendapatkan terlebih dahulu kebenaran bertulis daripada individu yang memohon pinjaman sebelum sebarang semakan latarbelakang kredit pemohon boleh dilakukan.. Walaupun nampak seperti dilindungi, bagi saya ianya tidak banyak berbeza dengan apa yang dilakukan sekarang di mana pemohon pinjaman terpaksa menandatangani berhelai-helai kertas sebelum membaca dan memahami semua isi kandungan. Sama juga seperti isu anda menandatangi SPA yang disediakan oleh Pemaju di mana anda seolah-olah tiada pilihan untuk membaca kesemuannya dan mengarahkan mereka mengubah apa yang perlu mengikut kemahuan anda.
    Oleh itu, meminta kebenaran terlebih dahulu walaupun nampak cuba melindungi pengguna, ia sebenarnya tidak banyak berbeza melainkan kerajaan mengawalselia sendiri rekod kredit individu dan tidak menyerahkannya kepada pihak ketiga…

  2. Fahamlah saya tentang CTOS tu. Semuanya kesilapan individu yang tak mau bayar hutang dan pandai “bersih nama” lepas bayar hutang.

    Memang kerja CTOS senarai nama orang tak bayar hutang dan dapat banyak untung puilak tu jual kepada bank-bank 7 lain-lain.

    Tapi CTOs tu betul ke telus?
    Yang ni saya soalkan.
    kalau saudara dia, abang adik kaum kerabat dia yang tak bayar hutang nak ke dia masukkan dalam CTOS juga?
    Baru-baru ni semua pengarah dia kena tindakan mahkamah. Dia masuk dalam ke juga nama dia-dia tu? Minta sapa-sapa tolong check.

    Saya suka perkauman tapi Satu lagi Kayveas kata ada 700 ribu lebih nama Melayu dalam CTOS. Woo banyaknya. tapi satu hari saya belek-belek semua surat khbar part tindakan mahkamah, nama bukan melayu yang ramai. Semua nama mereka masuk dalam CTOS ke?.

    logik ke?

    Yang berniaga lebih 80% bukan Melayu?
    Jumlah pinjaman Bank-bak kepada Bumiputera kurang 30%
    Yang beli-beli hartanah rumah ke kedai ke majoriti bukan Melayu. Nak jualkan 30%b kuota Melayu pun susah. tapi yang aku heran ramai pula Melayu dalam CTOS. Ni yang pelik ni.

    Ada sapa-sapa boleh jelaskan sikit.

Leave a Reply to TipsHartanah Cancel reply

Please enter your comment!
Please enter your name here