Pembeli teraniaya minta SPRM segera siasat pemaju

0
339
Gambar Hiasan

100 pembeli unit kediaman di lima projek pangsapurui di Pulau Indah membuat laporan kepada SPRM untuk membuat siasatan ke atas pemaju yang menyebabkan projek terbengkalai yang dibeli mereka.  Tips Hartanah menyokong penuh tindakan ini dan seboleh-bolehnya selepas ini semua mereka yang senasib membuat laporan kepada SPRM bukan sahaja ke atas pemaju tetapi semua mereka yang terlibat dalam meluluskan projek dan pinjaman kepada mereka termasuk termasuklah ‘pegawai’ kerajaan tempatan, arkitek yang meluluskan pelan untuk pembayaran berperingkat dan bank yang terlibat.

Baca berita selanjutnya di bawah:-

 

 

PUTRAJAYA 25 Jan. – Tidak mampu lagi menahan sabar dengan sikap lepas tangan pemaju dan ‘tekanan’ pihak bank, kira-kira 100 pembeli unit kediaman di lima projek pangsapuri di Pulau Indah, Klang hari ini membuat laporan kes projek rumah terbengkalai itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Mereka mewakili lebih 1,000 pembeli yang mendakwa menjadi mangsa kerakusan pihak pemaju kerana meneruskan projek pembinaan pangsapuri itu biar pun status tanah di situ masih bertaraf pertanian tampil membuat laporan dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Para pembeli dalam laporan yang diserahkan kepada SPRM mendesak Suruhanjaya itu menyiasat ‘dalang’ yang bersekongkol dengan pemaju perumahan sehingga pinjaman bank dapat diluluskan walhal tapak tanah itu tidak mendapat kelulusan pembinaan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Menurut Aktivis PPIM, Abdul Kareem Said, pihaknya hairan dengan sikap pihak bank yang sewenang-wenangnya meluluskan pinjaman kepada syarikat perumahan tersebut tanpa menyiasat latar belakang dan projek perumahan yang hendak dijalankan.

“Pihak MPK tidak keluarkan sebarang kelulusan jadi macam mana bank boleh luluskan? Perkara ini sudah menjadi kes jenayah sebab itu kita mahu SPRM siasat semua pihak terlibat iaitu bank, pemaju perumahan, arkitek dan MPK.

“Bagi kami, perkara ini merupakan kecuaian pihak-pihak terbabit dan penganiayaan kepada pembeli yang terpaksa menanggung hutang berpuluh ribu ringgit hingga ada antaranya sudah muflis tetapi rumah tidak siap,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah mendedahkan lebih 1,080 daripada 1,200 pembeli rumah di Pelabuhan Klang muflis sekelip mata apabila menjadi mangsa projek perumahan terbengkalai oleh sebuah syarikat pemaju.

Ia melibatkan pembeli bagi projek Pangsapuri Bahtera, Yamin Tower, Indah Heights, Yamin Heights dan Mutiara Heights yang dimajukan oleh syarikat Simpulan Cemerlang Sdn. Bhd. yang sepatutnya siap pada 2003.

Kira-kira 120 pembeli lagi dijangka turut mengalami nasib sama apabila mereka tidak lagi sanggup menanggung bayaran pinjaman dan pada masa sama terpaksa mencari rumah lain untuk berteduh.

Menurut seorang pembeli, Anuar Ibrahim, 41, dia dan pembeli-pembeli lain sudah buntu dengan masalah tersebut dan sehingga kini tiada tanda-tanda projek tersebut akan disambung semula sejak dihentikan pada awal 2000.

Lebih malang, katanya, pihak bank sentiasa ‘mengejar’ pembeli-pembeli rumah yang tidak mampu membayar hutang tersebut hingga kebanyakan daripada mereka sudah disenarai hitamkan dan hanya menunggu masa untuk diisytiharkan muflis.

“Saya mohon pihak bank bersihkan nama-nama kami dari senarai hitam atau pun muflis kerana kami semua sudah tawar hati nak tengok rumah itu disiapkan dan duit pun memang dah rugi,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Othman Ibrahim, 39, memberitahu, dia dan isterinya menghadapi risiko diisytiharkan muflis apabila sudah tidak mampu membayar hutang perumahan itu yang agak tinggi.

“Saya hanya bekerja sebagai operator di kilang dan perlu menyara isteri serta anak-anak. Sekarang ini pun kami hanya tinggal di rumah sewa dan perlu membayar ansuran bulanan kereta dan lain-lain.

“Kami berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu agar masalah ini dapat diselesaikan segera atau kami terpaksa menanggung risiko muflis,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here