Home Berita Tribunal Pengurusan Strata atasi masalah penduduk

Tribunal Pengurusan Strata atasi masalah penduduk

0
170

Kerajaan akan mewujudkan Tribunal Pengurusan Strata selaras dengan penguatkuasaan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang bakal diumumkan oleh Menteri Kesejahteraaan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan tidak lama lagi.

Menurut kementerian berkenaan dalam satu kenyataan di sini hari ini, melalui tribunal tersebut, segala masalah atau pertikaian yang timbul dalam kalangan penghuni serta pihak-pihak berkepentingan akan dapat diselesaikan dengan mudah, cepat dan murah.

Kata kenyataan itu, secara ke­seluruhannya penguatkuasaan akta tersebut mampu memberi kesan positif dan signifikan kepada jutaan penduduk yang tinggal di bangun­an berstrata.

“Sebagaimana kita sedia maklum, sebahagian besar penduduk di bandar-bandar utama di negara ini tinggal di bangunan berstrata. Komuniti yang tinggal di bangunan berstrata membentuk 30 peratus daripada populasi kadar utama negara kita.

“Untuk menjamin keselesaan dan kesejahteraan hidup mereka, pengurusan bangunan berstrata mestilah mencapai tahap yang tinggi seperti ditetapkan kerajaan. Bagi tujuan penambahbaikan kerajaan turut memperkenalkan Akta Pengurusan Strata 2013,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan ke-69 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dihadiri Abdul Rahman; Timbalannya, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Arpah Abdul Razak.

Menurut kenyataan tersebut, akta itu lebih komprehensif selain berperanan menggantikan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007.

Dalam pada itu, ujar kenyataan tersebut, mesyuarat hari ini telah bersetuju beberapa perkara antaranya termasuk penetapan tarikh kuat kuasa akta yang baharu itu dan juga keperluan resolusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, anggota tribunal, pegawai serta kakitangan tribunal berkenaan.

Turut diputuskan, kata kenyataan berkenaan adalah pemakaian Malaysian Private Entities Reporting Standards (MPERS) sebagai asas penyediaan penyata kewangan Pihak Pengurusan Bangunan Berstrata di negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sumber: Utusan Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here