Panduan Menjadi Perunding Hartanah (REN)

12
7981

Perunding Hartanah (Real Estate Negotiator -“REN”) merupakan kerjaya yang semakin meningkat naik dan menjadi pilihan ramai sejak 5 tahun yang lepas di kalangan bumiputera.  Ketika saya menjadi seorang perunding hartanah lebih kurang 10 tahun dahulu tidak ramai dikalangan melayu atau bumiputera yang memilih kerjaya ini sebagai suatu kerjaya pilihan.  Sebagaimana kerjaya ‘sales’ yang lain, secara amnya kerjaya perunding hartanah tidak memerlukan kelulusan yang tinggi untuk anda bermula, namun jangan terkejut jika saya nyatakan ada diantara perunding hartanah yang mencapai pendapatan melebihi RM1 juta setahun melalui kerjaya ini.. dan ramai juga diantara mereka yang tanpa pengalaman penjualan  hartanah telah berjaya memperolehi pendapatan melebihi RM100K setahun sebagai perunding hartanah.

REN

Cukup dulu cerita manis tentang perunding hartanah… sebelum kita pergi lebih jauh, sebenarnya di dalam artikel ini saya ingin berkongsi secara ringkas dengan anda bagaimana untuk bermula menjadi seorang Perunding Hartanah dan seterusnya menjadi Ejen Hartanah berdaftar memandangkan terdapat beberapa pertanyaan yang berulangkali mengenai topik ini.. Bagi yang bertanya kenapa saya bezakan antara perunding hartanah dan ejen hartanah… jawapannya adalah kedua-duanya sebenarnya adalah berbeza.. walaupun kadangkala secara umumnya dikenali oleh kebanyakan orang sebagai terma atau individu yang sama.

Walau bagaimanapun di dalam posting ini saya akan lebih menjuruskan kepada bagaimana untuk anda menceburi kerjaya sebagai Perunding Hartanah.

Perunding Hartanah sebenarnya boleh ditakrifkan sebagai individu yang digajikan atau dilantik melalui kontrak oleh sebuah firma ejensi untuk menyenarai atau memasarkan hartanah dan sentiasa berada di bawah arahan dan seliaan seorang ejen hartanah. Ini bermaksud anda tidak boleh menjadi seorang Perunding Hartanah sekiranya anda tidak mendaftarkan diri anda di bawah seorang ejen hartanah berdaftar. Siapa pula ejen hartanah? Merekalah sebenarnya individu yang mempunyai lesen yang berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir & Ejen Harta Tanah atau diberikan kuasa untuk melaksanakan amalan berkaitan sebagaimana di bawah Seksyen 16, Akta Penilai Pentaksir & Ejen Harta Tanah 1981 – ini akan saya ceritakan lanjut dalam posting yang lain.

Oleh itu, untuk anda bermula sebagai seorang Perunding Hartanah, anda perlulah menyertai firma atau berdaftar sebagai Perunding Hartanah di bawah ejen hartanah yang dinyatakan. Bermula pada Mei 2014, Lembaga Penilai telah mewajibkan semua Perunding Hartanah untuk berdaftar dengan badan berkenaan (Ya.. sebelum itu tiada penguatkuasaan pendaftaran untuk Perunding Hartanah) dan mereka yang ingin mendaftar perlulah terlebih dahulu menduduki suatu kursus yang dikenali sebagai “Real Estate Negotiator’s Registration Course” atau “New Negotiator Course” (NCC) selama 2 hari. Kursus ini dianjurkan oleh beberapa pihak dengan kos sebanyak RM636 (termasuk GST). Antara NCC yang Tips Hartanah syorkan adalah kursus yang dianjurkan sendiri oleh Malaysia Institute of Estate Agents (MIEA) – Lihat senarai tarikh kursus NCC Di Sini.

Contoh Sijil Kehadiran Kursus NCC

Adakah and perlu menyertai firma ejensi terlebih dahulu ataupun tidak?

Jawapannya.. Tidak perlu. Anda boleh menghadiri NCC terlebih dahulu dan kemudiannya barulah memilih firma ejensi hartanah mengikut pilihan anda sendiri. Dalam sesetengah keadaan, kebiasaannya seseorang akan menyertai firma ejensi terlebih dahulu dan kemudiaannya akan dihantar untuk menghadiri kursus NCC ini. Terpulang kepada anda tetapi saya mencadangkan anda untuk menghadiri NCC terlebih dahulu supaya anda dapat mengetahui lebih banyak perkara mengenai bidang dan kerjaya ini sebelum menyertainya.

Ingin sekadar menghadiri NCC tanpa menjadi Perunding Hartanah (REN)?

Boleh.. anda boleh berbuat demikian kerana tidak semua kadangkala yang kita rancang atau mahukan akan menjadi kenyataan. Walau apa pun, kandungan kursus ini amat berguna untuk mereka yang baru ingin bermula dan tiada pengalaman dalam bidang hartanah. Tetapi ini seharusnya bukanlah kursus yang pertama dan terakhir untuk anda berjaya menjadi Peunding Hartanah yang bagus kerana terlalu banyak perkara yang perlu anda ketahui mengenai hartanah dan mustahil untuk dimuatkan di dalam kursus 2 hari ini. Cumanya… kursus ini adalah WAJIB untuk mereka yang ingin mendaftar sebagai REN.

Sekiranya anda tidak terus mendaftar sebagai REN, adakah anda boleh mendaftar selepas setahun kemudian?

Jawapannya.. TIDAK. Sijil Kehadiran kursus NCC anda hanya sah selama satu tahun dari tarikh kursus anda. Ini bermakna dalam tempoh tersebut anda perlulah menyertai mana-mana ejen hartanah atau firma ejensi hartanah untuk berdaftar dengan Lembaga Penilai sebagai seorang REN. Jika tidak, anda perlu menghadiri semula kursus tersebut.

Contoh Tag REN. Foto Kredit MIEA
Contoh Tag REN. Foto Kredit MIEA

Setelah mendaftar dengan ejensi hartanah dan memperolehi nombor pendaftaran Perunding Hartanah, anda bolehlah memulakan kerjaya anda sebagai seorang REN. Sila pastikan anda memiliki Tag REN sebelum anda bermula kerana adalah menjadi kesalahan sekiranya seorang REN tidak memakai atau memaparkan tag mereka ketika menjalankan tugas sebagai seorang REN.  Di dalam tag ini akan dipaparkan Nama penuh dan nama panggilan anda, No. kad pengenalan, no. pendaftaran REN anda dan juga firma ejensi hartanah anda.  Terdapat juga QR code yang boleh di imbas untuk pengesahan kesahihan REN melalui online.

Kebiasaannya anda akan memperolehi tag REN anda daripada Lembaga Penilai dalam tempoh kurang daripada satu bulan selepas anda (atau ejen hartanah anda) menghantar permohonan anda. Sila pastikan permohonan anda benar-benar telah dihantar kepada Lembaga Penilai supaya ianya dapat diproses dan tag REN anda dikeluarkan dalam masa yang dinyatakan. Sekiranya berlaku kelewatan, sila semak terus dengan ejen hartanah / firma yang anda sertai untuk pengesahan penghantaran permohonan kerana terdapat kes di mana ejen hartanah tidak menghantar permohonan REN tetapi menyuruh REN terus bermula menjalankan kerja mereka. Kes ini berlaku apabila ejen hartanah tersebut sudahpun memiliki bilangan REN yang melebihi kuota (20 – 30 orang tertakluk kepada Lembaga Penilai) dan masih mengambil dan mendaftar individu baru di bawah mereka di bawah ‘waiting list’. Elakkan perkara ini dari berlaku kepada anda.  Untuk pengesahan lanjut, anda juga boleh menghubungi terus Lembaga Penilai untuk bertanyakan status permohonan anda.

Sebenarnya ada beberapa lagi perkara yang perlu anda ketahui sebagai tambahan namun saya rasa cukup itu sahaja sebagai permulaan ringkas untuk anda memulakan kerjaya sebagai Perunding Hartanah atau dikenali juga sebagai Real Estate Negotiator (REN).  Langkah seterusnya pastikan anda menyertai ejen hartanah yang bertanggungjawab dan dapat memberikan latihan dan tunjuk ajar kepada anda untuk menjadi REN yang berjaya dan bertanggungjawab.  Mengapa saya katakan bertanggungjawab? … kerana ada ramai REN di luar sana yang mengejar komisen mereka semata-mata dan melanggar etika professional yang sepatutnya.  Namun ada ramai juga REN yang bagus dan bertanggungjawab yang menjalankan kerjaya ini dengan baik dan menjadi sahabat kepada pelanggan mereka.  Terpulang kepada anda untuk memilih jalan anda.

lppeh-search

Untuk mengetahui senarai firma ejen hartanah atau konsultan hartanah untuk anda sertai sebagai perunding hartanah, layari laman web Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (LPPEH) dan anda boleh membuat carian seperti dalam gambar di atas. Kepada mereka yang ingin memulakan perjalanan mereka sebagai Perunding Hartanah atau Real Estate Negotiator… saya ucapkan Selamat Maju Jaya!!

12 COMMENTS

  1. Terima kasih. Saya berminat menyertai perunding hartanah ini secara part time bagi membantu ekonomi keluarga dan mencari peluang dalam memiliki hartanah sendiri melalui pengalaman dan learning process. Bagaimanakah prosedur dan peluang menjadi REN Agent secara part time ini?

  2. Salam cik..saya nak tanya..sijil ncc ni valid selama setahun kn..seandai sudah tamat tempoh setahun dan sye tidak renew ncc ini..adakah sye perlu menghadiri kursus ncc (yg kne byr rm600) nie skli lg atau sye perlu renew sja utk akan dtg skiranye sye ingin bergiat aktif blik dlm bidang hartanah ini..sye baru nk berjinak2 dlm bdg ini.

    • Salam Musa,

      Mengikut website MIEA, REN perlu membuat renew setiap tahun. Walaupun begitu, selagi belum dapat arahan dari LPPEH, encik masih join mana-mana syarikat yang berdaftar. Jika berminat untuk menyertai, boleh hubungi saya di 013-342 6242 ( MK ) atau email di mkhairul@ziyadproperty.com untuk maklumat lebih lanjut.

  3. salam cik, saya ingin melibatkan diri sebagai REN. Berdasarkan hasil kefahaman saya terhadap penulisan di atas, jika saya ingin menjadi REN saya perlu register dengan mana-mana badan yang terdapat dalam senaraian LPPEH, hadiri kursus NCC selama 2 hari dan baru dapat tag REN. Saya nak tanya, berapa semua jumlah yang perlu di bayar untuk register REN?

    • Salam,
      Sebaiknya pilih firma mana terlebih dahulu sebelum mendaftar sebagai REN.
      Untuk kos, NCC adalah RM600 untuk 2 hari.
      Sesetengah firma akan mengenakan bayaran berbeza apabila menyertai mereka untuk membiaya kos-kos tertentu seperti, pendaftaran, latihan, baju syarikat, name card, dsb. Dapatkan penjelasan terlebih dahulu tentang kos berkenaan sebelum menyertai.

      Sekiranya berminat untuk menyertai team saya di bawah ZIYAD PROPERTY CONSULTANT di KL atau Johor, boleh hubungi 013-3426242 atau email mkhairul@ziyadproperty.com

  4. SALAM TUAN.. SAYA ASAL SABAH.. BERMINAT NAK TAHU TENTANG KERJAYA SEBAGAI PERUNDING HARTANAH.. BOLEH TAK SY DAPATKN MAKLUMAT LANJUT MCMANA LANGKAH-LANGKAHNYA??

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here