Saban hari kita mendengar keluhan dan rungutan orang ramai berkaitan kenaikan kos sara hidup serta kos untuk menjalankan perniagaan, malah pasaran hartanah juga mengalami kelembapan seiring dengan sentimen ekonomi yang semakin perlahan.
Dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar ini, ramai berharap pembentangan Bajet 2017 dapat memberikan sinar baharu dan penyelesaian terutama bagi golongan B40 dan M40, yakni golongan isi rumah berpendapatan bulanan di tangga 40 peratus terbawah dan 40 peratus sederhana.
Di dalam menangani isu ini, kita tidak boleh hanya memfokuskan untuk penyelesaian jangka pendek seperti pemberian ‘goodies’ atau ‘gula-gula’, tapi kita juga perlulah mempertimbangkan impaknya untuk jangka panjang. Kita juga perlu memikirkan cara untuk mencapai sasaran bajet berimbang menjelang tahun 2020.
Melihat daripada aspek sektor hartanah, keseluruhan jumlah transaksi hartanah telah menurun. Ada beberapa pihak yang mengutarakan hasrat mengenai bagaimana untuk memulihkan keadaan pasaran hartanah dengan cara meningkatkan semula aktiviti transaksi hartanah di pasaran.
Walaupun langkah ini adalah baik, tetapi kita perlu memastikan bahawa pasaran hartanah perlulah dijana oleh ‘permintaan sebenar’ dan bukan permintaan atas sebab (permintaan) spekulasi. Dalam keadaan sekarang ini, terdapat pembeli yang ingin membeli hartanah bukan berdasarkan spekulasi juga tidak membeli dan mereka yang ingin membeli hartanah pula tidak boleh mendapatkan pinjaman.
Dengan sentimen sebegini, tekanan akan lebih dirasai kerana persepsi terhadap pasaran hartanah tidak begitu baik. Oleh itu, sesetengah langkah boleh dipertimbangkan supaya pembeli yang sebenar dapat membeli hartanah yang ada di pasaran, terutama pembeli rumah pertama. Terdapat cadangan daripada kementerian untuk mempertimbangkan supaya pemaju yang layak diberikan lesen bagi menawarkan pinjaman beli-rumah.
Ada banyak faktor yang perlu diambil kira seperti sumber dana pinjaman yang akan dikeluarkan pemaju, syarat kelayakan pembeli rumah yang akan meminjam dengan pemaju berkenaan dan kemampanan prestasi pasaran hartanah dalam jangka panjang. Oleh itu, jika ia dipertimbangkan dalam Bajet 2017, pelaksanaannya perlu difikirkan dengan teliti kerana ia berisiko tinggi.
Ada juga yang mengemukakan idea supaya lebih banyak jumlah wang dapat dikeluarkan melalui Akaun 2 KWSP bagi menampung jumlah deposit yang perlu ditanggung oleh bakal pembeli yang layak membuat pinjaman. Ini juga harus diteliti dengan rapi kerana kesannya hanya akan dirasai pada tahun emas pencarum.
Penguatkuasaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh pihak kerajaan telah membantu keadaan ekonomi semasa agar mampu bertahan dalam situasi ekonomi yang sedia mencabar. Oleh itu, diharapkan dalam Bajet 2017 ini, pengurangan cukai pendapatan dapat dipertimbangkan.
Dengan meningkatkan tahap pendapatan boleh guna rakyat, terutama golongan B40 dan M40, peluang akan lebih terbuka untuk memangkin semula pertumbuhan jualan runcit yang telahpun menunjukkan pertumbuhan lebih kecil pada suku kedua tahun ini sebanyak 7.5 peratus berbanding sasaran asal 9.9 peratus (berdasarkan kajian oleh Retail Group Malaysia).
Kadar kelulusan pinjaman bagi hartanah kediaman oleh bank telah berkurangan daripada 56.3 peratus pada tahun 2014 kepada 53.3 peratus pada tahun 2015. Tekanan dirasai lagi oleh ramai pihak apabila pihak kerajaan mula menguatkuasakan sistem GST bagi hartanah bukan kediaman, yakni bagi sektor komersial, kedai dan industri. Kadar kelulusan pinjaman untuk sektor bukan-kediaman itu menunjukkan penurunan lebih ketara daripada 55.3 peratus kepada 38.6 peratus dalam tempoh yang sama.
Untuk mengurangkan tekanan terhadap prestasi hartanah, ada yang berharap agar pengenaan GST pada hartanah bukan-kediaman dapat dikecualikan bagi penjual dan pembeli sekunder iaitu mereka yang tidak membeli terus daripada pemaju. Ini kerana individu ini mungkin adalah antara mereka yang tidak layak untuk menuntut semula jumlah cukai yang telah dikenakan seperti yang dibuat oleh pihak pemaju.Ini menyebabkan modal perniagaan mereka menjadi lebih tinggi dan kurang permintaan bagi hartanah dalam sektor ini.
Secara keseluruhannya, kita mengharapkan bahawa Bajet 2017 akan memuatkan langkah untuk membantu mengaktifkan semula pasaran hartanah tanpa tidak memberikan impak negatif atau risiko kepada prestasi ekonomi negara, di samping usaha untuk meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.