Kawal pemilikan hartanah warga asing

0
1179

Dengan harga rumah yang kurang stabil dan kos lain yang semakin meningkat, warga asing pula yang mengambil kesempatan atas masalah ini. Ini kerana sesetengah pemaju memang membuat rumah kos tinggi yang tidak logik harganya yang sememangnya rakyat Malaysia tidak mampu. Oleh itu kerajaan perlu membuat undang-undang yang bukan sahaja boleh menolong rakyat Malaysia memiliki rumah, tetapi juga perlu menstabilkan harga rumah supaya tidakla berlaku masalah seperti semua orang menjual dengan kadar serentak. Yang terbaru, undang-undang yang menaikkan had harga bagi rumah yang ingin dimiliki oleh warga asing. Dan dengan ini, harap pemaju akan membuat lebih rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia sendiri.

-Admin Rashidi Yunos-


Artikel Oleh Profesor Dr Ismail Omar


SAYA bertemu dan berbual dengan Profesor Stevens Lowry, pakar perumahan di Pusat Kajian Perumahan dan Perbandaran Australia, Universiti Teknologi Curtin di Australia Barat, baru-baru ini. Saya kagumi kajian terperinci dan profesional mengenai pergerakan harga rumah di sana.

Dana penyelidikan disumbang Bankwest Australia Barat membolehkan kajian perumahan mendalam dan menyangkuti pelbagai aspek kemampuan membeli rumah dijalankan dengan jayanya. Hasilnya, Laporan Kemampuan Membeli Rumah 2016 disiapkan. Dapatan ini digunakan pelbagai pihak berkepentingan dalam industri perumahan seperti bank, pemaju, pembeli, peguam, agensi kerajaan dan sebagainya.

Saya teruja apabila beliau memberitahu kajian menunjukkan rumah bernilai tinggi di beberapa kawasan di Perth, Australia Barat mengalami kejatuhan harga signifikan. Kenapa keadaan ini terjadi?

Sejak 2013, harga rumah tertentu di Perth menyusut. Menurut penyelidik hartanah perumahan, harga rumah jatuh 2.7 peratus, manakala bagi unit strata kediaman jatuh sehingga 3.8 peratus. Senario ini menunjukkan berlaku tiga kali kejatuhan harga rumah berturut-turut pada 2016.

Penyelidik hartanah mendapati, pada tempoh sama, kadar pekerjaan dan guna tenaga manusia juga merosot sehingga 6.3 peratus sejak 21 bulan lalu. Justeru, pakar hartanah berpendapat tingkat pekerjaan mempengaruhi harga rumah. Bermakna, keadaan pekerjaan yang tidak terjamin adalah satu daripada halangan utama pembeli rumah di sana.

Spekulasi hartanah

Sementara itu, kejatuhan harga rumah disambut baik pelabur asing. Sebagai contoh, apabila harga rumah jatuh pada 2015, saham pasaran melonjak kepada 6.6 peratus daripada 3.9 peratus pada tahun sama. Pelabur asing melihat potensi keuntungan daripada pergerakan harga rumah di pasaran apabila harga jatuh dan akan naik semula. Inilah spekulasi hartanah.

Apabila Kerajaan Australia Barat meningkatkan cukai pelombongan sehingga 400 peratus (daripada 25 sen hingga A$25 satu tan – RM86), pelabur China yang bekerja dengan Sinosteel dan Boasteel Resources Australia hadapi kesukaran menjalankan perniagaan besi keluli mereka. Jadi, satu jalan keluar terbaik adalah menukar haluan pelaburan dan menjual hartanah yang dibeli di Perth, Australia. Akibatnya, kajian mencatat kejatuhan harga rumah di Mindarie sehingga 48.2 peratus pada 2013 hingga 2015.

Kejatuhan sebanyak 45 peratus berlaku di Leederville pada tempoh sama. Selepas harga arang batu jatuh pada 2013 hingga 2015, harga rumah tiga bilik di Karratha jatuh 53.5 peratus daripada A$645,000 (RM2.1 juta) kepada A$300,000 (RM979,318). Bagi harta sewaan pula, sepanjang 2013 hingga 2015 kejatuhan sewa sehingga 10 peratus. Dijangka angka ini akan terus jatuh 1.6 peratus pada 2017 dan 1.0 peratus pada 2018.

Oleh itu, pemilikan hartanah warga asing perlu dikawal selia dengan berhati-hati. Begitu juga kegiatan spekulasi hartanah. Apalagi tatkala tukaran asing lebih menguntungkan warga asing. Sekitar 1920, ramai penduduk Amerika Syarikat berebut-rebut ke Florida, mencari tanah untuk dimajukan. Era ini dinamai Florida Land Rush.
Tanpa memahami peraturan hartanah, akhirnya, berlaku penipuan atau land scam. Di United Kingdom pula, penipuan hartanah juga berlaku, terutama kegiatan spekulasi. Dilaporkan, syarikat terbabit penipuan tanah ini menyasarkan pembeli luar yang kurang faham perundangan di sana. Sasaran mereka termasuk pembeli dari Kanada, Singapura, Australia dan juga Malaysia.

Kawal selia peraturan

Yang terbaru membabitkan 250 pelabur Mecca Islamic Hotel yang kerugian jutaan ringgit. Jadi, pemilikan hartanah juga perlu dikawal selia peraturan dinamik dari semasa ke semasa. Pelabur warga asing dibenarkan beli hartanah sekiranya memenuhi syarat di bawah Peraturan Pembelian Hartanah Warga Asing. Antaranya mereka boleh beli hartanah bernilai lebih RM1 juta (RM2 juta di Pulau Pinang dan Selangor).

warga asing membeli hartanah Malaysia pemilikan hartanah Malaysia MM2H

Jadi, umumnya warga asing dibenar beli pegangan hartanah seperti harta industri, harta perdagangan, tanah pertanian (selain TRM), lot banglo, tanah wakaf, kondominium, pangsapuri, studio dan sebagainya. Bagi menggalakkan pelaburan asing, Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) diadakan dengan syarat tertentu. Melalui skim ini, warga asing mampu beli hartanah bernilai rendah di luar Peraturan Pemilikan Hartanah Warga Asing. Had pinjaman sehingga 80 peratus bagi peserta MM2H, manakala warga asing yang tidak menyertai MM2H biasanya hanya boleh dapat sehingga 70 peratus pembiayaan.

Di Perak, harga minimum pembelian oleh warga asing adalah RM350,000, manakala di Sarawak pula RM300,000. Kelihatan senario pasaran hartanah di negara kita berada dalam kitaran kurang stabil. Dengan mengambil kira iklim ekonomi dipengaruhi harga minyak rendah, kejatuhan kadar guna tenaga manusia dan tahap keyakinan pelabur luar tidak menentu, pasaran hartanah dan harga rumah mewah boleh dipengaruhi.

Apabila pasaran hartanah mewah terkesan, pasaran hartanah lain juga terjejas. Situasi ini berlaku pada 2007 dan 2008 dinamakan krisis subprima. Bermula di Eropah, akhirnya pasaran hartanah kita juga terkesan. Sekiranya, usaha ke arah memperkukuh pasaran hartanah mewah tidak dilakukan dengan berhati-hati, pelabur boleh angkat kaki dan menjual hartanah mereka serentak.

Akibatnya, pasaran hartanah jatuh merudum. Justeru, kajian terperinci dan mendalam mengenai pergerakan harga rumah dan pasaran hartanah perlu dijalankan dengan teliti dan profesional. Inilah yang dinamakan kelestarian pasaran hartanah.

P.S Sekarang ni bukan sahaja warga asing membeli rumah, malah yang menyewa pun kebanyakkan pun warga asing, sampaikan rumah PPR yang sepatutnya untuk membantu rakyat Malaysia memiliki rumah, disewa kepada warga asing.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here