Ini adalah Bahagian 3, siri Jom Beli Rumah (#JomBeliRumah) dari TipsHartanah. Sila baca artikel terdahulu jika anda belum membacanya:-

Bahagian 1 – Semakan Status Kewangan CTOS & CCRIS
Bahagian 2 – Pengiraan Kelayakan dan ‘Debt Service Ratio’ (DSR)

Dalam Bahagian 3, saya akan kongsikan sedikit tips mengenai perancangan kewangan dan bajet yang lebih menjurus kepada pembelian rumah dan bukan secara keseluruhan perancangan kewangan individu.   Ini supaya pembaca akan dapat memahami dengan lebih mudah dan fokus terhadap perkara berkaitan sahaja.

Dalam membincangkan perancangan kewangan berkaitan pembelian rumah, isu dan perkara utama yang perlu diketahui oleh bakal pembeli adalah:-

  1. Harga pembelian maksima dan had bayaran ansuran
  2. Pembayaran deposit
  3. Kos pembelian
  4. Kos pegangan/pemilikan hartanah

1. Harga Pembelian Maksima

Walaupun anda tahu berapa had kelayakan anda untuk membayar ansuran dan harga rumah yang boleh dibeli, pastikan anda melakukan pula pengiraan perbelanjaan lain anda supaya tidak terlebih beli dan menanggung komitmen ansuran rumah yang tinggi.

Sbg contoh, jika bank memberikan kelulusan pinjaman anda untuk rumah RM300K dan DSR sehingga 65% (contoh yang sama dalam Bahagian 2), pastikan anda tahu perbelanjaan anda supaya baki 35% selepas ditolak semua perbelanjaan adalah mencukupi.

Antara perbelanjaan yang perlu anda lihat adalah seperti perbelanjaan dapur, belanja sekolah, makan harian, bil, petrol, tol dan lain-lain.

Bagi yang tinggal di rumah yang memerlukan anda membayar yuran pengurusan dan penyelenggaraan, pastikan anda mengambilkira kos tersebut kerana ia kadangkala memakan kos yang agak tinggi – purata apartment/kondo pada masa ini adalah sekitar RM200-300.

Anda seharusnya tahu berapa kos perbelanjaan bulanan anda supaya anda tidak terlebih bajet untuk pembelian rumah.

Sekiranya perbelanjaan anda melebihi 35% daripada gaji bersih anda maka anda perlulah membuat penyesuaian pada harga rumah yang ingin anda beli seperti ditunjukkan dalam  Bahagian 2.

2. Pembayaran Deposit

Ini merupakan antara alasan utama kenapa ramai yang masih tidak membeli rumah.

Bagi mereka yang mempunyai masalah ini, anda perlu tahu bahawa terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah pembayaran deposit dalam membeli rumah. Antara cara yang boleh anda lakukan ialah:

  1. Mengeluarkan simpanan Akaun 2, KWSP.
  2. Memohon skim perumahan seperti Skim Rumah Pertamaku, Skim Rumah Belia, PR1MA, PPA1M dan sebagainya.
  3. Membeli hartanah di bawah nilai pasaran.
  4. Membuat pinjaman tanpa faedah (dari orang tersayang :-))

Bagaimana dengan membeli hartanah di bawah nilai pasaran boleh membantu anda? YAng ni boleh tanya Tips Hartanah untuk penerangan lanjut.  Pendek kata, kalau ada peluang sebegini, anda harus tidak lepaskan kerana yang pertama, anda dapat membeli hartanah bawah nilai pasaran dan kedua, anda boleh bayar deposit rendah atau tanpa deposit.

3. Kos Pembelian

Sesetengah orang masukkan Deposit dalam kos pembelian.. tapi sebenarnya deposit bukan kos pembelian… ianya adalah sebahagian daripada harga jualan.  Kos pembelian penting untuk anda tahu dan penting juga anda tahu sama ada ianya boleh dimasukkan di dalam pinjaman atau sebaliknya.

Antara kos pembelian yang biasa terlibat dalam pembelian rumah:-

  1. Fi Guaman – Anggaran kos ialah 3% – 5% daripada Harga Pembelian. Fi untuk penyediaan Suratcara Perjanjian Jual Beli (SPA) dan juga untuk perjanjian pinjaman dengan bank.
  2. Fi Penilaian – Fi penilaian tidak berapa tinggi tetapi perlu anda selesaikan sebelum pinjaman anda boleh diluluskan oleh bank. Semak dengan bank atau hubungi Ziyad Property Consultants untuk anggaran fi.
  3. Duti Setem – Ini merupakan antara kos yang tinggi untuk pembelian rumah. Walau bagaimanapun, untuk pembelian pada 2017, duti setem dikecualikan untuk pembelian Rumah Pertama pada RM300,000.  Klik di sini untuk pengiraan duti setem.
  4. Insurans MRTA/MRTT – Insurans perlindungan untuk pembiayaan/pinjaman anda. Tujuannya supaya waris anda tidak perlu membayar hutang peminjam sekiranya berlaku kematian.  Kosnya adalah beberapa ribu RM bergantung kepada amaun pinjaman dan boleh dimasukkan ke dalam pinjaman namun disyorkan supaya dibayar terus jika anda mempunyai bajet.

4. Kos Pegangan/Pemilikan Hartanah

Ini merupakan kos di mana ramai yang terlepas pandang atau tidak mahu mengambil tahu semasa pembelian sesuatu rumah.  Antara kos pegangan yang terlibat adalah:-

  1. Cukai – Cukai Pintu dan cukai tanah merupakan 2 cukai yang mesti ditanggung oleh pemilik tanah. Cukai pintu dibayar kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majilis Daerah, Perbandaran, Dewan Bandaraya dsb manakala cukai tanah pula dibayar kepada Pejabat Tanah. Kos ini adalah berbeza mengikut jenis rumah dan kawasan. Oleh itu ambil tahu apabila sebelum membeli rumah.
  2. Insurans – Ini merupakan antara kos yang jarang diambil tahu oleh bakal pembeli. Insurans yang biasa terlibat iaitu Insurans Kebakaran yang mana biasanya terus diuruskan oleh bank pembiaya dan amaun tersebut didebitkan terus ke akaun anda setiap tahun.
  3. Yuran pengurusan/penyelenggaraan – Ini merupakan kos wajib jika anda membeli rumah yang memerlukan anda membayar kos pengurusan/penyelenggaraan setiap bulan seperti hartanah strata (flat/apartment/kondo) atau jenis ‘landed’ yang mempunyai yuran ini seperti untuk tujuan bayaran sekuriti.  Tanya berapa kos bulanan jika anda merancang untuk membeli rumah seperti ini.  Mungkin anda merasakan tidak banyak pada awalnya tetapi kos sebanyak RM200/sebulan mungkin akan menjadi beban kepada anda kemudian nanti apabila anda mula tinggal dan tidak mengambilkira kos ini.
  4. Kos pembaikan/baikpulih – ini adalah subjektif dan bergantung kepada rumah yang anda beli.  Secara amnya rumah memerlukan pembaikan selepas suatu tempoh dan semakin meningkat apabila ia semakin lama. Oleh itu sila ambil berat perkara ini jika anda membeli rumah ‘second-hand’ dan agak berusia.  Tanya soalan atau lihat sendiri tanda-tanda seperti adakah berlaku kebocoran, keretakan atau mungkin memerlukan pendawaian elektrik baru jika rumah yang terlalu lama.  Jika anda menyewakan rumah tersebut, kebarangkalian untuk kos baikpulih meningkat adalah lebih tinggi.

Rasanya sudah cukup panjang artikel untuk Bahagian 3, #JomBeliRumah.  Semoga dapat menjadi panduan dan memberikan anda tips sebelum membeli rumah.

Bahagian 4, akan menyusul Insya Allah..  Mungkin saya akan kongsikan berkenaan panduan memilih dan membeli rumah yang sesuai untuk anda.

Nama dah bersih dari blacklist, kebarangkalian pinjaman lepas adalah tinggi, kos dan bajet pun dah tahu setakat peringkat ini… Jadi.. masanya untuk memilih rumah apa yang sesuai selepas ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here