Bank khusus pinjaman rumah mampu milik

0
515

KUALA LUMPUR: Penubuhan bank khusus untuk memudahkan proses pinjaman perumahan mampu milik dan kos rendah dengan harga RM300,000 ke bawah adalah antara inti pati manifesto Barisan Nasional (BN) untuk lima tahun mendatang.

Menerusi teras ketiga, iaitu keperluan perumahan rakyat, BN sebagai tunjang kerajaan turut menggariskan 21 janji yang akan dilaksana bagi memastikan ekosistem pemilikan rumah lebih terangkum.

 Antaranya merangkumi usaha mewujudkan entiti tunggal untuk menyelaras keseluruhan inisiatif perumahan mampu milik, termasuk memantau proses pembinaan, sekali gus menutup kelompangan dalam sistem sedia ada.

Usaha berkenaan bakal diperkukuhkan menerusi penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (3PAN) yang bertujuan mengawal selia, mengurus isu perumahan awam mencakupi kualiti perumahan, keperluan semasa dan penentuan kelayakan menduduki.

Selain itu, beberapa inisiatif menyentuh sektor perbankan, syarikat utiliti dan proses perolehan kediaman dimasukkan seperti pemberian insentif cukai atau dana pembangunan bagi menggalakkan bank dan pemaju perumahan menawarkan skim sewa-untuk-beli.

Kajian semula struktur caj utiliti yang dikenakan Telekom, Indah Water dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap pemaju perumahan akan dilaksana dalam mengurangkan kos pembinaan kediaman.

Selaras usaha untuk merungkai masalah berbangkit, had tuntutan menerusi kuasa Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) ditingkatkan daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Kuasa kerajaan akan turut diperluaskan untuk menghidupkan semula projek perumahan terbengkalai daripada had asal RM70,000 kepada RM120,000. Ia membabitkan 21 projek terbengkalai dan 2,794 unit dengan peruntukan sebanyak RM123 juta.

Penjawat kerajaan yang baktinya sentiasa dikenang tidak disisihkan apabila pelbagai tawaran disajikan, termasuk penyediaan skim bantuan sewa perumahan awam bagi membantu penyewa dalam kategori miskin dan orang kelainan upaya (OKU).

Peluang akan dibuka kepada pesara kerajaan dan anak mereka untuk membeli unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang berharga antara RM150,000 hingga RM300,000, selain mewujudkan kuota RM10,000 unit PPA1M bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menyedari denyut nadi belia yang baru menamatkan pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan, BN menyulam tekad untuk menambah jumlah Rumah Transit Belia 1Malaysia bagi memastikan fasa pertama dalam membentuk asas kehidupan mereka lebih terjamin.

#INFO

  • Menamatkan dasar diskaun lot Bumiputera untuk hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas.
  • Menubuhkan tribunal penyelesaian konflik untuk atasi pertikaian isu perumahan awam.
  • Mewajibkan Indeks Prestasi Utama (KPI) ke atas pembinaan Rumah Mampu Milik oleh syarikat pemaju perumahan yang mendapat pelaburan Kerajaan.
  • Membantu pembeli 50,000 unit rumah yang menjadi mangsa pemaju perumahan tidak berlesen.
  • Membina semula perumahan rakyat dan perumahan kos rendah berusia lebih 20 tahun menerusi teknologi hijau serta konsep moden.
  • Meningkatkan kapasiti Program Bantuan Rumah bagi membaiki rumah daif di luar bandar.
  • Menyediakan dana khas untuk Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) untuk penyelenggaraan bangunan berstrata.
  • Membina lebih banyak projek perumahan mampu milik dan kos rendah di tanah rizab Melayu, wakaf dan baitulmal yang terbiar.
  • Menaiktaraf rumah panjang di Sarawak, rumah air di Sabah, rumah Orang Asli dan rumah pekerja estet di Semenanjung.
  • Melanjutkan tempoh pengecualian duti setem untuk projek perumahan terbengkalai yang sedang berada dalam proses pemulihan.
  • Membangunkan kuarters, bangunan dan tanah kerajaan yang tidak digunakan secara optimum untuk membina rumah mampu milik serta pembangunan bercampur-campur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here