‘Denda pemaju gagal jual hartanah’

0
221

KUALA LUMPUR: Industri hartanah tempatan boleh menggunakan dasar dilaksanakan di Singapura, iaitu mengenakan denda kepada pemaju yang gagal menjual unit hartanah mereka pada satu paras ditetapkan.

Pengerusi Eksekutif Rahim & Co International Sdn Bhd (Rahim & Co), Tan Sri Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, berkata satu mekanisme baharu perlu diwujudkan bagi memastikan pemaju melaksanakan projek yang menepati permintaan, sekali gus mengelakkan berlakunya lambakan rumah tidak terjual.

“Singapura adalah contoh terbaik dalam menangani permasalahan hartanah tidak terjual selain memastikan setiap projek hartanah menepati permintaan.

“Apa yang berlaku kini adalah penawaran atau bekalan tinggi tetapi tiada permintaan disebabkan beberapa faktor seperti lokasi yang tidak sesuai atau harga kediaman yang tinggi.

“Data Rahim & Co menunjukkan sehingga suku ketiga 2019, sebanyak 50,008 unit kediaman siap dibina tidak terjual dengan nilai sebanyak RM34 bilion.

“Lantaran itu, pihak berwajib perlu mengambil kira perkara ini. Walaupun jumlah unit kediaman tidak terjual itu belum sampai ke tahap membimbangkan tetapi angka itu tinggi dan tidak pernah berlaku sebelum ini ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media Kajian Pasaran Hartanah Rahim & Co 2019/2020 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, pemaju hartanah juga perlu diwajib menjalankan kajian serta kertas kerja yang menyeluruh dan menyerahkannya kepada pihak berwajib sebelum sesuatu projek hartanah dilaksanakan.

Beliau berkata, ia membolehkan pihak berwajib seperti kerajaan pusat dan negeri serta pihak berkuasa tempatan menilai projek hartanah itu bersesuaian dengan kehendak pasaran atau sebaliknya.

Katanya, ia dapat mengelakkan berlakunya unit tidak terjual dan ianya dapat dipantau oleh semua pihak.

“Perlu ada kajian kertas kerja yang menyeluruh bagi memastikan projek hartanah itu berjaya. Jika ada kajian sebegini, ia bukan saja memberi kesenangan kepada pembeli tetapi turut memberi impak kepada pemaju sendiri, mengelak daripada kerugian akibat unit tidak terjual,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here