‘Kekalkan dasar perumahan mampu milik’

0
303

KUALA LUMPUR: Dasar perumahan yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini perlu dikekalkan, di sebalik kemelut politik tempatan ketika ini, kata Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Lim Boon Ping.

Katanya, inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilihat berjaya memacu sektor perumahan tempatan, khususnya membabitkan kediaman mampu milik.

“Kami mengharapkan tiada perubahan (dasar) kerana langkah dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan (terdahulu) cukup komprehensif.

“Kerajaan mengawal harga kediaman, namun yang baiknya, ia memacu pasaran dengan memberi pelbagai insentif terutama kepada pembeli rumah pertama dan pembeli kediaman mampu milik” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Konvensyen Tahunan Hartanah Malaysia (MAREC) di sini, hari ini.

Boon Ping berkata, impak kecelaruan politik ke atas pasaran hartanah tempatan masih terlalu awal untuk dinilai, namun MIEA kini dalam proses melaksanakan kaji selidik ke atas 400 responden merangkumi ejen, perunding dan pemaju hartanah.

“MIEA sedang membuat kaji selidik untuk mendapatkan maklumat lebih komprehensif sebelum hasilnya diumumkan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi,” katanya.

MIEA hari ini melancarkan kempen kesedaran awam pertamanya dikenali sebagai #MYREALAGENTS bersempena Sidang Kemuncak MAREC.

#MYREALAGENTS dibangunkan untuk meningkatkan kesedaran awam terutama pembeli rumah pertama dan penyewa tentang keperluan memilih ejen berdaftar atau perunding hartanah untuk mengelakkan tertipu dengan broker haram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here