Home Blog Page 21

REHDA gesa PH tangani isu tertangguh perumahan

0

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menggesa kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan holistik untuk menangani beberapa isu yang lama tertangguh, termasuk perumahan mampu milik dan meningkatkan kos pematuhan.

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar, berkata persatuan menunggu pengumuman Kementerian Perumahan yang baharu, yang beliau percaya akan bekerjasama rapat dengan peserta industri mencari penyelesaian untuk terus mengukuhkan industri.

“Kami memuji manifesto PH mengenai perumahan yang mengandungi beberapa cadangan yang diminta oleh REHDA. Sekarang ini terpulang kepada semua perwakilan yang dipilih untuk menunaikan janji pilihan raya mereka kepada rakyat.

 

“Terdapat jangkaan yang tinggi supaya kerajaan baharu akan terus meningkatkan daya saing negara dengan menambah baik seluruh sistem penyampaian dan kecekapan. Usaha bagi hala tuju ini adalah bagus kepada ekonomi dan meningkatkan imej kita sebagai destinasi pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara janji PH adalah mewujudkan skim pinjaman perumahan khas kepada beliau yang mahu membeli rumah pertama, menubuhkan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara dan meluaskan skim sewa-milik ke seluruh negara, melalui kerjasama dengan bank komersial dengan membolehkan skim sedemikian diperkenalkan dalam pasaran utama dan serta sekunder.

Dalam kenyataan itu, FD Iskandar turut mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ketujuh.

-BERNAMA

PNB bina 5,000 rumah mampu milik mulai Jun

0

PORT DICKSON 17 April – Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan membina 5,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara mulai Jun depan.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, sebagai permulaan 2,000 unit rumah akan dibina di tiga lokasi di negeri ini iaitu Bagan Pinang, Pedas dan Rembau manakala dua lagi di Selangor (Banting dan Telok Datuk).

 “Projek perintis rumah mampu milik PNB di Bagan Pinang membabitkan pembinaan 140 unit rumah teres yang dijangka siap dalam masa kurang dua tahun. Ia berkonsepkan kediaman hartanah dengan keluasan antara 83 hingga 92 meter persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

 

“Projek yang akan dibangunkan dengan Sistem Binaan Industri (IBS) ini ditawar pada harga bermula dari RM180,000 hingga RM200,000 seunit,” katanya dalam majlis Pelancaran Rumah Mampu Milik Sulung PNB di Bagan Pinang di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Development Sdn. Berhad, Mohd. Salem Kailany.

Abdul Wahid berkata, projek yang akan dibangunkan oleh anak syarikat PNB, PNB Value Homes Sdn. Bhd. itu ditawarkan kepada pembeli rumah pertama dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan. – UTUSAN ONLINE

ECRL pelaburan yang baik untuk penduduk Pantai Timur

0

KUALA LUMPUR 16 April – Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion itu adalah pelaburan yang baik, terutama bagi penduduk di Pantai Timur kerana bakal mengubah ekonomi dan kehidupan sosial mereka dalam jangka panjang.
Projek sepanjang 688 kilometer menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang akan mempunyai 28 stesen itu menawarkan perkhidmatan kereta api penumpang dan kargo. Projek dijadual siap pada Jun 2024.

Pada majlis pecah tanah di stesen ECRLTunjong, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembinaan stesen ECRL itu akan mengubah bandar tersebut kepada pusat pertumbuhan ekonomi baharu bagi rakyat di negeri berkenaan.

Mengulangi pendapat yang sama, seorang penduduk Kelantan, Mohd. Farhan Hafiz Nozeli, 30, berkata, pada peringkat makro, projek itu akan membantu penggiat sektor pembinaan domestik dengan anggaran kontrak bernilai RM16 bilion serta merangsang sektor pelancongan.

“Sektor pengangkutan barang juga boleh memanfaatkan projek ini manakala pada peringkat mikro dijangka menawarkan pekerjaan mahir untuk penduduk tempatan.

 

“ECRL akan menjadi platform untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan dan pada masa sama meningkatkan infrastruktur sepanjang laluan tersebut untuk rakyat,” katanya kepada Bernama.

Seorang pensyarah dari Kuantan, Pahang, Juliawati Mohd Yunus, 35, berkata projek itu telah memberi kesan kepada pasaran.

“Dalam industri hartanah, harga rumah di Kuantan telah mula meningkat sehingga 10 peratus dalam masa kurang daripada lima tahun. Nasib baik, saya telah membeli satu unit di Kota Sri Ahmad Shah, yang akan menjadi satu daripada stesen ECRL dan saya teruja untuk melihat perubahan di kawasan saya.

 

“Namun, kembali kepada idea projek ini, yang bertujuan untuk meningkatkan industri tempatan, terutama industri kecil dan sederhana, saya dapat melihat pasti sesuatu akan berubah. Tidak akan ada lagi masa yang panjang untuk mengangkut produk getah dari kilang pengeluaran getah di Johor untuk memenuhi permintaan di Kelantan.

 

“Perubahan pasti berlaku di kawasan itu dan ia akan dibangunkan untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada negara. Stesen ECRL Tunjong hanya satu kilometer dari Lebuhraya Kota Baru-Gua Musang dan ia akan menjadi perhentian yang popular bagi pengguna jalan raya apabila pusat membeli-belah, kemudahan dan infrastruktur lain dibangunkan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Juliawati, masih ada orang yang tidak dapat memahami mengapa kerajaan memutuskan untuk memilih pengangkutan kereta api apabila menaik taraf lebuhraya sedia ada dapat memberi manfaat kepada kedua-dua industri dan rakyat.

Saya dan keluarga saya sering memandu ke Kuala Lumpur dan kami hanya boleh melakukannya pada waktu malam selepas bekerja dan kadang-kadang lebuh raya sesak dan ada kalanya anda akan melihat lembu-lembu merumput di sepanjang lebuh raya dan ini adalah berbahaya.

 

Dengan menggunakan ECRL, kami boleh tiba di destinasi kami dengan selamat. Kebimbangan saya yang lain adalah tambang,” katanya.

Siti Safiah Ismail, 28, dari Terengganu mengalu-alukan projek tersebut kerana ia akan membantu ibu saudaranya menjual keropok lekor kepada penumpang menggunakan kereta api itu.

“Bagi kami usahawan mikro, kami bergerak serentak di kawasan pantai timur dan kereta api adalah sesuai untuk kami kerana dapat mengangkut produk kami dan memberikan kepada pelanggan kami dengan baik.

 

“Fakta bahawa ECRL dapat memendekkan masa perjalanan adalah satu bonus dan ia dapat meningkatkan perniagaan kami kerana kami dapat menghantar lebih banyak produk segar kepada pelanggan dan meningkatkan frekuensi perjalanan kami,” katanya.

Dilaporkan yang keluaran dalam negara kasar pantai timur dijangka meningkat sekurang-kurangnya 1.5 peratus berikutan projek ECRL.

Pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, dalam satu kenyataan berkata,di Kelantan sahaja, pembinaannya berjalan lebih cepat daripada jadual.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Hubungan Industri (amp) Pengkomersialan) Institut Pengangkutan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Dr Shahrin Nasir berkata, semua orang melihat ECRL sebagai pengubah penting untuk negara.

“Antara lain, perjalanan lima jam dari Tumpat, bukannya 11 jam dengan kereta atau 13 hingga 24 jam dengan laluan kereta api lama akan meningkatkan pergerakan pelancong ke pantai timur.

 

“Pelancongan pasti akan meningkat. Pada pendapat saya keseluruhan penjajaran rangkaian kereta api boleh diguna untuk mempromosi pelancongan di kawasan tersebut. Pakej pelancongan untuk meneroka pulau-pulau indah di Terengganu boleh menjadi salah satu tarikan,” katanya.

Shahrin berkata, walaupun ramai yang bimbang mengenai tambang kerana projek itu bernilai RM55 bilion, beliau akan melihat ERCL lebih banyak untuk pergerakan kargo dari pantai timur ke Pelabuhan Klang.

Kerajaan menambah RM5 bilion untuk menyambung laluan dari Gombak ke Pelabuhan Klang yang merupakan pintu masuk ke Malaysia.

Persekitaran perniagaan akan berubah kerana ECRL akan membuka lebih banyak kawasan perindustrian dan juga menyokong kawasan industri sedia ada di pantai timur. Apabila lebih banyak kawasan perindustrian dibuka, orang akan mula bergerak dari pantai barat ke pantai timur.

 

Taman Perindustrian Gambang adalah salah satu contoh. Jika lebih banyak taman perindustrian di Terengganu dan Kelantan dapat dibina,ia akan menjadikan negeri ini lebih makmur,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, cabaran terbesar adalah untuk memastikan ECRL akan menjadi perkhidmatan pilihan bagi pergerakan penumpang dan kargo.

Perniagaan kereta api, katanya, memerlukan penambahbaikan agar dapat bertahan.

“Ini serupa dengan apa yang dilakukan Keretapi Tanah Melayu Bhd dengan memperkenalkan perkhidmatan kereta api elektrik. Dengan perkhidmatan yang boleh dipercayai, pelanggan akan yakin untuk menggunakannya.

 

” Kerata api kurang mempunyai masalah alam sekitar. Sekiranya rakyat Malaysia boleh dididik untuk melihat kebaikan kepada alam sekitar melalui perjalanan kereta api, ECRL akan menjadi perkhidmatan pilihan mereka,” katanya. – BERNAMA

 

Pasaran hartanah dijangka stabil selepas tempoh mencabar

0

KAJANG: Pasaran hartanah dijangka stabil pada 2018, selepas mengalami tempoh mencabar dua tahun kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Sr Nordin Daharom, berkata Pertumbuhan ekonomi yang kukuh, dasar monetari yang akomodatif serta insentif berterusan untuk sektor perumahan dijangka membantu mengekalkan momentum industri hartanah.

 

“Urus niaga meningkat dalam tempoh dua bulan pertama 2018 sebanyak empat peratus berbanding dua peratus bagi bulan sama tahun lalu.

 

“Ini menunjukkan pasaran semakin pulih berbanding tahun 2017,” katanya katanya pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta Tanah Malaysia 2017 di sini, hari ini.

Laporan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Lee Chee Leong.

Secara keseluruhan, sektor hartanah mencatatkan 311,824 transaksi bernilai RM139.84 bilion, turun sebanyak 2.7 peratus dalam jumlah dan 3.8 peratus dalam nilai berbanding 2016.

Hartanah kediaman terus menyokong sektor hartanah keseluruhan dengan penguasaan pasaran sebanyak 62.4 peratus, diikuti oleh harta pertanian pada 22.5 peratus.

Mengulas lanjut, Sr Nordin berkata, peruntukan sebanyak RM1 bilion dalam Bajet 2018 bagi pembangunan lima koridor ekonomi utama dijangka memacu pasaran hartanah di sekitar kawasan berkenaan.

Lima koridor terbabit ialah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Koridor Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Sarawak Tenaga Diperbaharui (SCORE).

“Berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia, pertumbuhan ekonomi akan terus mampan pada 2018, disokong oleh permintaan domestik.

 

“Ia seiring dengan peningkatan dalam pertumbuhan global yang dijangka lebih cepat, memberi manfaat kepada eksport negara sekali gus memberi kesan kepada aktiviti domestik,” katanya.

Pada majlis itu, JPPH turut melancarkan Sistem Carian Hartanah Tidak Terjual Malaysia (UPESM) bagi membolehkan pengguna membuat carian maklumat hartanah tidak terjual mengikut kawasan, status jual beli hartanah dan jenis hartanah.

Tiga didakwa perdaya kos pindah milik tanah

0

KUALA LUMPUR 12 April – Tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini hari ini atas sembilan pertuduhan memperdayakan sembilan individu berhubung pembayaran kos pindah milik hartanah bernilai hampir RM700,000, enam tahun lalu.

TIGA lelaki termasuk seorang bergelar Datuk mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memperdayakan sembilan individu berhubung pembayaran kos pindah milik hartanah bernilai hampir RM700,000, enam tahun lalu di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor, hari ini. – UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ

Datuk Nor Hasnal Hashmi, 49, Sayyid Walid Hasuana, 31, Mohd. Rozali Rajiei, 48, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

 Nor Hasnal bersama-sama Sayyid Walid didakwa atas lima pertuduhan memperdayakan lima individu untuk mempercayai mereka akan memindah milik lot-lot tanah kepada nama mangsa bagi pembinaan kediaman.

Tindakan kedua-dua tertuduh itu mendorong mangsa-mangsa menyerahkan wang sebanyak RM455,512 kepada syarikat Masgenuine Alliance Holding Sdn. Bhd. sebagai bayaran untuk urusan pindah milik itu sedangkan tanah-tanah tersebut tidak wujud.

Nor Hasnal turut didakwa bersama-sama Mohd. Rozali atas empat pertuduhan melakukan perbuatan sama terhadap empat individu sehingga mendorong mereka menyerahkan wang sebanyak RM233,669 kepada Darul Hebat Holdings Sdn. Bhd.

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di dua buah syarikat berkenaan di Bandar Baru Selayang, Gombak antara 16 Januari 2012 dan 6 November 2015.

Pertuduhan terhadap semua lelaki itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM230,000 terhadap Nor Hasnal manakala RM130,000 bagi Sayyid Walid dan RM100,000 terhadap Mohd. Rozali.

Bagaimanapun peguam-peguam Datuk Hasnal Rezua Merican dan Saleh Ahmad yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guam mereka penanggung keluarga dan telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.

Mahkamah membenarkan Nor Hasnal diikat jamin RM72,000 manakala Sayyid Walid (RM48,000) dan Mohd. Rozali (RM26,000) masing-masing dengan seorang penjamin serta menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Rasyihah turut menetapkan syarat tambahan iaitu pasport semua tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis dua kali sebulan serta dilarang mengganggu mangsa dan ahli keluarganya.

 

IBS jadi syarat mandatori wujud skala ekonomi

0

KUALA LUMPUR: Langkah menjadikan Sistem Binaan Industri (IBS) sebagai syarat mandatori kepada semua pemaju hartanah swasta menjelang 2020 adalah tepat pada masanya, dengan tempoh peralihan yang wajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, dengan tempoh yang diberikan, pihaknya berharap sektor swasta bersedia sepenuhnya memandangkan IBS mampu menjadi pemacu sektor pembinaan, sekali gus mewujudkan skala ekonomi yang besar bagi permintaan projek berasaskan IBS.

“Setakat ini, kita boleh lihat banyak syarikat mula beralih kepada penggunaan IBS dalam setiap projek yang dijalankan dan jumlah ini semakin bertambah dari tahun ke tahun.

 

“Banyak juga pemaju mula menyedari kepentingan IBS menyumbang kepada produktiviti dan kurang bergantung kepada pekerja asing dan kita berharap apabila tiba masanya ia dijadikan mandatori, mereka sudah bersedia sepenuhnya.

 

“Jumlahnya walaupun meningkat, ia masih dianggap kecil kerana 75 peratus projek dalam industri adalah dari sektor swasta dan 25 peratus adalah kerajaan,” katanya pada majlis pelancaran Kontrak Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) bagi tahun 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden PAM, Ar Ezumi Harzani Ismail dan Jawatankuasa Kontrak PAM, Ar Steven Thang.

Kontrak PAM 2018 adalah kontrak edisi keempat sejak pelancaran pertamanya pada 1969 yang menggariskan standard perjanjian pembinaan antara kontraktor dan pihak pemaju bagi kelancaran sesuatu projek.

Kerajaan sebelum ini menetapkan tempoh tiga tahun kepada pemaju swasta untuk mempersiap dan memperkemaskan kembali operasi syarikat supaya mengguna pakai sistem IBS.

Ahmad Asri berkata, selain sistem IBS, pihaknya turut menggalakkan pemaju swasta untuk menerapkan penggunaan Permodelan Informasi Bangunan (BIM) dalam projek yang dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya jumlah syarikat yang menggunakan BIM masih rendah memandangkan perisiannya membabitkan kos yang tinggi selain kekurangan bakat berkebolehan untuk mengendalikannya.

“Untuk itu, CIDB menerusi Akademi Binaan Malaysia (ABM) di enam lokasi utama seluruh negara menawarkan latihan penggunaan BIM dalam melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang ini.

 

“Malah, kita turut menjalin kerjasama dengan universiti tempatan dari fakulti kejuruteraan dan seni bina dalam menyediakan silibus yang selari dengan BIM serta IBS,” katanya.

45 peratus hartanah tidak terjual

0

KUALA LUMPUR 8 April – Sebanyak 45 peratus daripada hartanah kediaman dan komersial bernilai antara RM500,001 hingga RM1 juta tidak terjual sepanjang tahun lalu, menurut Kaji Selidik Pasaran Hartanah 2017 dan Prospek Hartanah 2018 yang dikeluarkan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Berdasarkan laporan itu, kebanyakan hartanah tersebut tertumpu di Johor Bahru dan Iskandar Puteri, Johor; Shah Alam, Selangor; Seremban, Negeri Sembilan dan Ipoh, Perak.

Ia juga menunjukkan 25 peratus hartanah bernilai antara RM250,000 hingga RM500,000 tidak terjual di Temerloh dan Kuantan, Pahang; Kubang Pasu dan Kulim, Kedah dan Ipoh, Pe­rak manakala 20 peratus pula bagi hartanah bernilai antara RM1 juta hingga RM2.5 juta kebanyakannya di Johor Bahru dan Iskandar Puteri, Johor dan Puchong dan Shah Alam, Selangor.

Untuk hartanah bernilai kurang daripada RM250,000 pula, hanya tiga peratus tidak terjual de­ngan kebanyakannya di Rompin, Pahang dan Johor Bahru, Johor manakala tujuh peratus hartanah bernilai lebih RM2.5 juta tidak terjual di Johor Bahru dan Gelang Patah, Johor dan Cheras dan Bangsar, Kuala Lumpur.

Pada pembentangan laporan tersebut, Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan hartanah tersebut tidak dapat dijual iaitu melibatkan isu pembiayaan akhir yang ditolak oleh bank, permintaan yang rendah dan unit bumiputera tidak terjual.

“Kami mendapati 82 peratus daripada responden berdepan de­ngan masalah pembiayaan akhir pada separuh kedua 2017, lebih rendah berbanding 73 peratus pada separuh pertama. Malah, 45 peratus daripada pinjaman yang ditolak itu adalah hartanah bernilai RM500,000 dan ke bawah.

 

“Daripada jumlah itu, 34 peratus adalah bagi rumah berharga antara RM250,001 hingga RM500,000 manakala lapan pe­ratus (RM100,000 hingga RM250,000) dan tiga peratus (kurang daripada RM100,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Kaji selidik ke atas 200 res­ponden yang juga ahli REHDA di Semenanjung Malaysia itu turut menunjukkan 52 peratus daripada hartanah kediaman baharu dilancarkan pada separuh kedua 2017 bernilai RM500,000 dan ke bawah berbanding 44 peratus pada separuh pertama.

Menurut FD Iskandar, institusi perbankan perlu menilai semula pembiayaan rumah dan menyediakan margin pembiayaan yang tinggi atau sekurang-kurangnya 90 hingga 95 peratus kepada pembeli rumah.

“Tanpa mengambil kira unit pejabat dan ruang niaga yang kini berdepan lebihan bekalan seperti dilaporkan Bank Negara Malaysia (BNM), pembiayaan bagi rumah kediaman berharga RM500,000 ke bawah perlu ditangani. Ini kerana, kami mendapati 46 peratus daripada profil pembeli pada separuh kedua 2017 adalah pembeli rumah pertama,” katanya.

BNM dalam Laporan Perkembangan Risiko dan Penilaian­ Kestabilan Kewangan Pada 2017 mendapati antara 2013 hingga Oktober 2017, sebanyak 123,103 buah rumah mampu milik telah dibina oleh kerajaan, manakala lebih satu juta unit rumah berada dalam pelbagai peringkat pembinaan atau perancangan.

Bagaimanapun, menurut BNM, sejak Januari 2016 hingga September 2017, hanya 24 peratus daripada pelancaran rumah baharu (25,124 buah termasuk yang dibina oleh pemaju swasta) ialah rumah yang berharga dibawah RM250,000 dan jumlah itu tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan kira-kira satu pertiga isi rumah Malaysia yang hanya mampu membeli rumah pada harga tersebut.

Dari segi akses kepada pembiayaan pula, sebanyak 515,021 permohonan pinjaman diterima oleh bank pada 2017 berbanding 450,924 permohonan pada tahun sebelumnya dengan 61 peratus daripadanya adalah untuk pembelian rumah berharga di bawah RM500,000.

“Namun, kadar penolakan permohonan pinjaman rumah adalah pada 23.1 peratus, iaitu di bawah purata 2012 hingga 2016 sebanyak 26.1 peratus. Punca utama penolakan disebabkan pendapatan tidak mencukupi untuk menyokong bayaran balik pinjaman, rekod kredit yang buruk dan dokumentasi pendapatan atau kewangan yang tidak mencukupi,” katanya.

Bank khusus pinjaman rumah mampu milik

0

KUALA LUMPUR: Penubuhan bank khusus untuk memudahkan proses pinjaman perumahan mampu milik dan kos rendah dengan harga RM300,000 ke bawah adalah antara inti pati manifesto Barisan Nasional (BN) untuk lima tahun mendatang.

Menerusi teras ketiga, iaitu keperluan perumahan rakyat, BN sebagai tunjang kerajaan turut menggariskan 21 janji yang akan dilaksana bagi memastikan ekosistem pemilikan rumah lebih terangkum.

 Antaranya merangkumi usaha mewujudkan entiti tunggal untuk menyelaras keseluruhan inisiatif perumahan mampu milik, termasuk memantau proses pembinaan, sekali gus menutup kelompangan dalam sistem sedia ada.

Usaha berkenaan bakal diperkukuhkan menerusi penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (3PAN) yang bertujuan mengawal selia, mengurus isu perumahan awam mencakupi kualiti perumahan, keperluan semasa dan penentuan kelayakan menduduki.

Selain itu, beberapa inisiatif menyentuh sektor perbankan, syarikat utiliti dan proses perolehan kediaman dimasukkan seperti pemberian insentif cukai atau dana pembangunan bagi menggalakkan bank dan pemaju perumahan menawarkan skim sewa-untuk-beli.

Kajian semula struktur caj utiliti yang dikenakan Telekom, Indah Water dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap pemaju perumahan akan dilaksana dalam mengurangkan kos pembinaan kediaman.

Selaras usaha untuk merungkai masalah berbangkit, had tuntutan menerusi kuasa Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) ditingkatkan daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Kuasa kerajaan akan turut diperluaskan untuk menghidupkan semula projek perumahan terbengkalai daripada had asal RM70,000 kepada RM120,000. Ia membabitkan 21 projek terbengkalai dan 2,794 unit dengan peruntukan sebanyak RM123 juta.

Penjawat kerajaan yang baktinya sentiasa dikenang tidak disisihkan apabila pelbagai tawaran disajikan, termasuk penyediaan skim bantuan sewa perumahan awam bagi membantu penyewa dalam kategori miskin dan orang kelainan upaya (OKU).

Peluang akan dibuka kepada pesara kerajaan dan anak mereka untuk membeli unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang berharga antara RM150,000 hingga RM300,000, selain mewujudkan kuota RM10,000 unit PPA1M bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menyedari denyut nadi belia yang baru menamatkan pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan, BN menyulam tekad untuk menambah jumlah Rumah Transit Belia 1Malaysia bagi memastikan fasa pertama dalam membentuk asas kehidupan mereka lebih terjamin.

#INFO

  • Menamatkan dasar diskaun lot Bumiputera untuk hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas.
  • Menubuhkan tribunal penyelesaian konflik untuk atasi pertikaian isu perumahan awam.
  • Mewajibkan Indeks Prestasi Utama (KPI) ke atas pembinaan Rumah Mampu Milik oleh syarikat pemaju perumahan yang mendapat pelaburan Kerajaan.
  • Membantu pembeli 50,000 unit rumah yang menjadi mangsa pemaju perumahan tidak berlesen.
  • Membina semula perumahan rakyat dan perumahan kos rendah berusia lebih 20 tahun menerusi teknologi hijau serta konsep moden.
  • Meningkatkan kapasiti Program Bantuan Rumah bagi membaiki rumah daif di luar bandar.
  • Menyediakan dana khas untuk Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) untuk penyelenggaraan bangunan berstrata.
  • Membina lebih banyak projek perumahan mampu milik dan kos rendah di tanah rizab Melayu, wakaf dan baitulmal yang terbiar.
  • Menaiktaraf rumah panjang di Sarawak, rumah air di Sabah, rumah Orang Asli dan rumah pekerja estet di Semenanjung.
  • Melanjutkan tempoh pengecualian duti setem untuk projek perumahan terbengkalai yang sedang berada dalam proses pemulihan.
  • Membangunkan kuarters, bangunan dan tanah kerajaan yang tidak digunakan secara optimum untuk membina rumah mampu milik serta pembangunan bercampur-campur.

Harga menurun untuk kediaman mewah

0

Kuala Lumpur: Kediaman mewah di lokasi utama sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) kini mengalami penurunan harga.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Rahim & Co Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, segmen hartanah kategori kediaman atau rumah mewah di kawasan utama didapati mengalami penurunan harga.

Menurutnya, segmen hartanah berkenaan mengalami pembetulan harga kurang 10 peratus daripada harga sebenar transaksi sejak 18 hingga 24 bulan yang lalu atau kira-kira 15 hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga asal penjual rumah di pasaran sekunder.

“Bagi kediaman sekitar KLCC, ia ditawarkan pada harga di bawah RM1,800 setiap kaki persegi berbanding RM2,500 kaki persegi sebelum ini dan trend berkenaan dilihat berlaku sejak beberapa tahun ini,” katanya pada taklimat Pasaran Hartanah Malaysia oleh Rahim & Co dan Tinjauan Prospek 2018 di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, menerusi kajian dibuat untuk kediaman mewah terutama di KLCC, pihaknya mengandaikan pemaju akan menetapkan harga melangkaui pasaran Kuala Lumpur dengan membandingkan pasaran seperti di Singapura dan Hong Kong.

“Berdasarkan pasaran semasa, harga bagi segmen kediaman mewah kira-kira RM2,500 setiap kaki persegi. Bagaimanapun, harga sebenar ditawarkan bawah RM2,000.

 

“Jadi, saya rasa umumnya harga rumah mewah di Kuala Lumpur sekitar RM1,500 setiap kaki persegi,” katanya.

Menurutnya, penentuan julat harga itu turut bergantung kepada jenis pembangunan, lokasi serta kemudahan yang ada dan harganya tidak lebih sekitar RM2,000 hingga RM2,500 setiap kaki persegi sejak tiga tahun lalu.

Laporan Tinjauan Pasaran Hartanah 2017/2018 Rahim & Co menyatakan hartanah mewah di Kuala Lumpur masih lagi dianggap mampu milik mengikut skala global, berbanding beberapa bandar utama di Asia Tenggara.

Justeru, individu kaya dan pembeli luar negara masih mampu membeli atau melabur dalam segmen itu.

Pada tahun lalu, hanya ada beberapa projek mewah dilancarkan di Kuala Lumpur seperti The Estate di Bangsar, Isola KLCC dan Ascott Star KLCC.

BNM: Hartanah tak seimbang

0

KUALA LUMPUR 1 April – Tindakan secara bersepadu perlu dilaksanakan bagi menangani ketidakseimbangan dalam segmen ruang pejabat dan kompleks beli-belah yang kini berada di tahap membimbangkan memandangkan ia boleh menjejaskan kestabilan makro ekonomi dan kewangan.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Perkembangan Risiko dan Penilaian­ Kestabilan Kewangan Pada 2017, usaha itu harus melibatkan pihak berkuasa, pemaju hartanah, pemilik ruang pejabat dan kompleks beli-belah serta pihak berkepen­tingan supaya langkah spesifik diambil dalam menguruskan segmen hartanah tersebut.

Katanya, risiko dalam segmen tersebut masih tinggi dengan jangkaan 3.53 juta meter persegi ruang pejabat baharu akan memasuki pasaran dengan 140 buah kompleks beli-belah baharu dibina di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor menjelang 2021.

Akibat buruk

Keadaan tersebut, jelasnya, akan menjadikan kadar kekoso­ngan bagi ruang pejabat mencapai paras tertinggi sehingga 32 peratus dalam tempoh tiga tahun lagi, malah melebihi paras dicatatkan ketika Malaysia berdepan krisis kewangan Asia iaitu 5.1 peratus pada 1997 dan 25.3 peratus (tahun 2001).

“Kelewatan dalam menangani isu tersebut mungkin memburukkan lagi keadaan yang tidak seimbang dalam pasaran hartanah sekali gus mengakibatkan limpahan kepada segmen ekonomi yang lain.

 

“Ini kerana seperti yang dihadapi Malaysia semasa krisis kewangan Asia, perkembangan buruk dalam pasaran hartanah, jika tidak dikawal, boleh mendatangkan akibat buruk terhadap kestabilan kewangan,” katanya dalam laporan berkenaan yang dikeluarkan minggu lalu.

Moody’s Investors Servis (Moody’s) sebelum ini dalam Laporan Bank Malaysia 2017 Meningkatkan Kualiti Aset Stabil, Keuntungan Meningkat menjangkakan bank-bank di Malaysia akan berdepan risiko pembiayaan hartanah komersial tahun ini walaupun kualiti aset kekal stabil disebabkan kebimbangan lebihan bekalan dan perubahan dari segi nilai pasaran.

Menurut BNM, aktiviti dalam segmen hartanah komersial (terdiri daripada kedai, ruang pejabat dan kompleks beli-belah) kekal lembap dengan keadaan bekalan yang berlebihan berikutan isu dihadapi sektor perniagaan ter­utama sektor minyak dan gas.

Lebih lembap

“Jumlah urus niaga harta ta­nah komersial menguncup 8.2 peratus kepada 16,025 buah dalam tempoh sembilan bulan pertama 2017. Namun begitu, nilai urus niaga meningkat 3.8 peratus kepada RM17.8 bilion dipacu oleh urus niaga yang lebih tinggi bagi hartanah bernilai RM1 juta ke atas.

 

“Aktiviti dalam segmen harta tanah komersial didapati lebih lembap di kebanyakan negeri utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang,” katanya.

Situasi tersebut, jelas BNM, menyebabkan bank lebih berhati-hati memberi pinjaman kepada segmen ruang pejabat dan kompleks beli-belah dan ia boleh dilihat apabila kadar kelulusan pinjaman lebih rendah pada 2017 untuk pembinaan dan pembelian harta tanah dengan masing-masing 70.9 peratus dan 72.8 peratus.

Dalam analisis sensitiviti bertajuk ‘Bolehkah Bank Menyerap Potensi Kejutan Sektor Hartanah yang terkandung di dalam laporan tersebut bagaimanapun mendapati bank mempunyai kemampuan mencukupi untuk menyerap kerugian yang mungkin timbul akibat pelarasan harga hartanah disebabkan portfolio pembiayaan akhir dan juga industri yang bergantung pada prestasi sektor tersebut.

Artikel Penuh:© Utusan Melayu (M) Bhd