Home Blog Page 17

UEM tawar deposit harga rumah serendah RM1,000

0

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd menawarkan penjimatan hebat kepada orang ramai dengan tawaran harga rumah serendah RM293,000 sempena meraikan Pembangunan Komuniti yang ke-50 tahun serta Menjana Dekad Kecemerlangan pada masa akan datang.

Tawaran istimewa bagi 300 unit rumah di tujuh projeknya yang terletak di Cyberjaya dan Johor Bahru itu bermula pada 6 Ogos lalu untuk tempoh yang terhad.

Projek hartanah terbabit adalah Teega, Almãs, Estuari Gardens, Residensi Ledang dan Bayu Angkasa yang berada di Iskandar Puteri dan Puteri Harbour yang mewakili projek di Wilayah Selatan. Manakala, bagi Wilayah Tengah, projek yang terlibat adalah Verdi Eco-dominiums dan Symphony Hills di Cyberjaya.

Pelanggan yang berpotensi bakal menikmati hadiah percuma dan memiliki rumah impian mereka dengan bayaran pendahuluan serendah RM1,000 untuk Bayu Angkasa, RM5,000 untuk Verdi Eco-dominiums dan Symphony Hills serta RM10,000 untuk Estuari Gardens, Residensi Ledang, Teega dan Residensi Almãs.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, syarikat amat komited untuk membina lebih banyak rumah pada harga berpatutan untuk keluarga di samping mempromosikan kesejahteraan komuniti.

“Kami percaya bahawa ianya sangat penting bagi setiap warganegara untuk memiliki kediaman mereka sendiri.

“Melalui projek ini, pembeli akan mendapat manfaat kerana mereka dapat menikmati nilai dan simpanan yang besar memandangkan hartanah berkenaan terletak di lokasi strategik serta mempunyai jaringan perhubungan yang baik.

“Khas buat ahli Kad Setia kami, yang dipanggil ahli ‘Tresor’, mereka berpeluang untuk melihat pakej ini lebih awal sebagai tanda penghargaan di atas sokongan yang berterusan selama ini.

“Kami juga menggalakkan ahli Tresor untuk mengambil peluang ini kerana mereka akan menikmati keistimewaan tambahan yang eksklusif,” katanya.

Menurutnya lagi, UEM Sunrise juga menyokong hasrat kerajaan untuk membina lebih banyak projek rumah mampu milik untuk faedah rakyat.

Selain itu, syarikat turut percaya pada pentingnya memberi kembali kepada masyarakat.

“Justeru, kali ini kami kami ingin menawarkan pemilikan lebih mudah kerana mahu rakyat Malaysia mendapat peluang untuk hidup dalam rumah yang bersepadu, bermutu tinggi dengan jaringan perhubungan dan akses yang baik,” katanya.

Projek M Aruna guna IBS sepenuhnya

0

RAWANG: Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) melancarkan projek pembangunan perbandaran pertamanya, M Aruna yang menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) sepenuhnya.

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM520 juta itu mempunyai tiga fasa pembinaan di atas tapak seluas 39.1 hektar.

Fasa pertamanya, Aster yang merangkumi pembinaan 117 unit rumah teres dua tingkat dengan keluasan 20×60 kini dibuka untuk jualan. Harga jualan bermula dari RM506,000 bergantung kepada keluasan unit yang dipilih.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ho Hon Sang, berkata Mah Sing melaksanakan penggunaan IBS bagi projek ini bertujuan meningkatkan kualiti dan proses pembinaan bagi projek pembangunan berkenaan.

“Kami membuat perancangan teliti sebelum memutuskan penggunaan IBS bagi projek ini. M Aruna adalah projek yang sesuai untuk kami mulakan kerana kami bakal membina ratusan unit rumah di perbandaran ini.

“Pelaksanaan IBS juga adalah semakin diterima oleh pemain industri dan kerajaan juga amat menggalakkan pembinaan menggunakan sistem ini.

“Antara manfaat yang boleh didapati menerusi pelaksanaan IBS termasuklah ia mesra alam dengan mengurangkan penggunaan keluli di tapak pembinaan di samping mengurangkan masa pembinaan dan menjadikan tapak pembinaan lebih bersih,” katanya pada sesi penerangan kepada media mengenai projek berkenaan di sini, hari ini.

M Aruna adalah projek perbandaran ketiga Mah Sing di Rawang selepas M Residence 1 dan M Residence 2 yang menyaksikan semua unit habis dijual.

Mengulas mengenai pelaburan di kawasan berkenaan, Hon Sang berkata pihaknya yakin dengan potensi yang ada di Rawang dan ia mula mendapat perhatian pembeli rumah yang mahukan rumah di atas tanah.

“Dengan pelbagai kemudahan, sambungan dan prasarana yang sentiasa ditambahbaik, Rawang kini mempunyai populasi hampir 200,000 penduduk,” katanya.

Pembinaan bagi fasa 1 M Aruna dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

Tarik balik pengecualian SST kalau harga rumah tak turun – Guan Eng

0

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menarik balik langkah pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus yang dikenakan terhadap perkhidmatan dan bahan binaan jika semua pemaju perumahan tidak menurunkan harga rumah, ujar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Jelasnya, setiap pemaju perumahan perlu berbuat demikian memandangkan langkah pengecualian SST berkenaan adalah lebih baik berbanding pelaksanaan GST sebelum ini.

“Saya masih menunggu maklum balas Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), memandangkan kerajaan mengambil langkah sangat positif iaitu mengecualikan SST daripada dikenakan cukai enam peratus ke atas perkhidmatan berkenaan. Sebelum ini semua dikenakan bayaran pembinaan termasuk juga sewa.

“Dulu anda kena bayar sewa GST enam peratus sekarang tak perlu bayar. Dulu kena bayar caj elektrik, sekarang tak perlu bayar untuk komersial dan industri. Kita harap balasan pengurangan harga rumah. Kalau tidak saya terpaksa menimbang semula pengecualian yang kita berikan kerana kita nak lihat harga rumah turun,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah anjuran REHDA Institute di sini hari ini.

Tambahnya, REHDA sedang melakukan kajian kebarangkalian penurunan harga rumah berkenaan.

“Kerajaan nak lihat ialah kita nak tumpukan kepada rumah kediaman. Kita nak lihat penurunan harga rumah, kita tidak berminat tambahan kos itu ini, tidak bermakna. Apa yang kita nak ialah harga rumah turun,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau mahu tahu maklum balas daripada hasil kajian REHDA berkenaan termasuk berapa peratus harga rumah akan dapat dikurangkan.

“Hasil kajian itu diharap dapat diserahkan kepada kementerian saya sebelum pembentangan Bajet 2019 nanti,” ujarnya.

Kerajaan pada Ogos lalu mengumumkan bahan mentah utama dan perkhidmatan pembinaan akan dikecualikan daripada SST.

Wanita perlu beli hartanah, jana pendapatan

0

MELAKA: Golongan wanita perlu berani untuk memiliki hartanah sendiri kerana ia akan membantu mereka mendapatkan pulangan lumayan pada masa depan.

Pakar hartanah, Rosilawate Mustapa, berkata tiada halangan untuk golongan wanita tampil memiliki hartanah sendiri asalkan mereka berani keluar daripada zon selesa.

Menurutnya, wanita juga perlu membuang persepsi iaitu kediaman atau hartanah perlu disediakan oleh suami.

“Wanita perlu bangkit dan beli kediaman kerana kelak aset itu mampu menjana pendapatan, sekali gus membolehkan mereka penuhi kehendak sendiri.

 

“Sebagai wanita, kita perlu kuat dan jangan terlalu berserah ataupun sesekali tunjuk kelemahan. Ini kerana wanita mampu menyaingi golongan lelaki,” katanya.

Rosilawate yang lebih mesra dipanggil Ros Shila berkata, sesetengah individu perlu ‘buang saka’ atau menghindarkan sikap takut berhutang kerana tindakan itu tidak mendatangkan keuntungan.

Katanya, biarpun bidang hartanah sedikit payah untuk diceburi tetapi jika dilakukan secara bersungguh-sungguh ia pasti mendatangkan hasil lumayan.

Turki mudahkan warga asing dapat hak kerakyatan

0

ANKARA 19 Sept. – Warga asing di Turki kini lebih mudah untuk menjadi rakyat negara ini selepas kerajaan pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan hari ini mengurangkan kriteria pelaburan dan kewangan yang diperlukan untuk menjadi warganegara Turki.

Warga asing kini hanya memerlukan deposit AS$500,000 (RM2.06 juta) dalam bank-bank Turki berbanding AS$3 juta (RM12.4 juta) sebelum ini manakala pelaburan kewangan tetap dikurangkan dari AS$2 juta (RM8.3 juta) kepada AS$500,000.

Sementara itu, individu boleh memperoleh hak kerakyatan jika mempunyai seramai 50 kakitangan, kurang daripada 100 orang sebelum ini.

Mereka yang mempunyai hartanah bernilai AS$250,000 (RM1.03 juta) boleh menjadi warganegara Turki berbanding sebelum ini yang memerlukan seseorang memiliki hartanah bernilai AS$1 juta (RM4.1 juta).

Dekri yang diumumkan Erdogan itu adalah beberapa siri dekri yang dilancarkannya untuk meningkatkan nilai matawang lira ekoran kelembapan ekonomi sejak kebelakangan ini. – AFP

Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pembeli projek Forest City dari Malaysia, Singapura bertambah

0

KUALA LUMPUR: Projek Forest City di Iskandar Malaysia menyaksikan peningkatan ketara pembeli Singapura dan Malaysia berikutan usaha pemasaran melalui galeri jualannya di kedua-dua negara.

Pemaju induknya, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) berkata usaha pemasaran projek itu juga menyasarkan pasaran lain termasuk Hong Kong, Macau, Taiwan, Singapura, Indonesia, Thailand, Laos, Myanmar, Filipina, Dubai dan Jepun.

“Sehingga kini, asas pelanggan kami adalah pelbagai yang datang dari hampir 30 negara dan kami menjangkakan pembeli rumah serta pelabur akan meningkat ketara dalam masa terdekat ini,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan dikeluarkan bagi menjawab The Washington Post dalam laporannya pada 10 September lalu yang mendakwa projek terbabit terlalu mahal untuk rakyat negara ini.

CGPV juga menjelaskan bahawa artikel dalam akhbar berkenaan memetik seorang pegawai syarikat yang bukanlah jurucakap rasmi projek itu.

“Kami terkejut kerana The Washington Post tidak memberikan hak kepada kami untuk memberi kenyataan berhubung perkara sensitif yang dibangkitkan dalam artikel itu.

“CGPV terbuka untuk berhubung dengan The Washington Post bagi memberikan penjelasan di pihak kami atau menjelaskan sebarang maklumat yang diperoleh wartawan mereka,” katanya.

CGPV berkata, laporan oleh akhbar dari Amerika Syarikat (AS) itu juga menyatakan kira-kira 80 peratus daripada 18,000 unit di Forest City itu dibeli oleh rakyat China yang mana terdapat galeri jualan projek itu di seluruh China.

Malah, katanya, projek itu juga dilabelkan sebagai sebahagian daripada Inisiatif ‘Satu Jalur, Satu Jalan’ (OBOR) bagi mendapatkan sokongan daripada Beijing.

Artikel yang sama turut menyebut mengenai Sekolah Antarabangsa Forest City Shattuck-St Mary yang baru dibuka mempunyai kapasiti untuk menampung sehingga 1,000 pelajar.

“Angka ini adalah sasaran untuk tiga hingga lima tahun berdasarkan tempoh sekolah yang bermula pada Ogos tahun ini,” kata CGPV.

CGPV adalah syarikat usaha sama antara Country Gardens Holdings, syarikat pemaju hartanah yang disenaraikan di Hong Kong Stock Exhange dan rakan kongsi tempatan di Johor.

Syarikat berkenaan yang kini tertakluk kepada jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sedia menghormati dan mematuhi segala peraturan dan perundangan di Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 1992, Country Garden berkembang daripada sebuah syarikat hartanah kurang dikenali yang bermula dengan projek kediaman di Daerah Shunde, Foshan terletak di wilayah Guandong, menjadi sebuah pemaju hartanah antarabangsa dengan lebih 1,900 projek kediaman seluruh dunia.

Selain Forest City di Iskandar Malaysia, antara projek terkemukanya adalah Ryde Park di Sydney.

Projek mega Forest City di Johor yang bernilai AS$100 bilion adalah projek futuristik mewah yang dibina di atas empat pulau buatan, terletak hanya sejam dari Singapura.

Hartanah tempatan tidak terjejas

0

Kuala Lumpur: Pasaran hartanah tempatan tidak akan terkesan susulan arahan kerajaan supaya warga asing yang membeli unit kediaman di Forest City tidak boleh mendapatkan visa untuk tinggal di situ.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin berpendapat, tindakan kerajaan itu hanya memberi kesan jangka pendek kepada pasaran hartanah negara memandangkan harga rumah di Malaysia secara relatifnya masih yang termurah di Asia Tenggara.

Katanya, jika dibandingkan harga kaki persegi dengan bandar di Jakarta dan Bangkok, harga rumah dalam Malaysia lebih rendah, maka permintaan untuk pasaran hartanah di negara ini di kalangan warga asing masih tetap ada.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, langkah kerajaan itu dilihat sejajar dengan negara lain seperti United Kingdom (UK) dan Indonesia yang mengenakan peraturan yang ketat untuk warga asing membeli rumah.

Pengarah Urusan CBRE WTW Foo Gee Jen, pula berpendapat, kebimbangan yang cuba disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai projek di Johor itu ialah apabila tiada kuota dikenakan kepada pembeli asing.

Ini kerana katanya, jika tiada kuota dikenakan, maka projek hartanah itu akan menjadi seperti sebuah negara luar jika semua pembelinya adalah daripada warga asing.

Pengecualian SST turunkan harga rumah tak berasas

0

SHAH ALAM – Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjangkakan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bakal menurunkan harga rumah adalah tidak berasas.

Naib Pengerusi Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting berkata, anggapan bahawa pengecualian SST untuk pemaju akan menjadikan harga hartanah lebih murah itu menunjukkannya beliau tidak mempunyai maklumat terperinci malah cuba mengelirukan rakyat.

Menurutnya, Guan Eng seolah-olah sengaja memanipulasikan penggiat industri perumahan kerana gagal memahami hanya mengecualikan perkhidmatan pembinaan dan pasir, besi dan simen dari SST akan menyelesaikan masalah itu.

“Bagaimanapun, terdapat penduduk tempatan yang membeli hartanah semata-mata untuk pelaburan berdasarkan spekulasi, dan harga hartanah pemanduan ini naik, tidak turun.

“Walaupun Bank Negara telah membuat langkah-langkah untuk meredakan industri hartanah seperti mengetatkan syarat keperluan pinjaman, yang paling sukar adalah pembeli perumahan kos sederhana rendah kerana bank telah menetapkan syarat yang lebih ketat untuk pelepasan meluluskan pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi,  ini juga memberi kesan kepada banyak pembeli rumah pertama memandangkan harga perumahan tidak jatuh dan sukar memberikan pinjaman rumah kepada pemohon.

Siaw Ting berkata, apabila kerajaan menanggung penurunan hasil daripada cukai, pembangunan negara secara logiknya akan terhenti dan membawa kepada ekonomi negara yang mundur.

Katanya, Guan Eng sepatutnya membuat dasar yang akan meningkatkan ekonomi negara dengan melakukan beberapa kajian ketika membuat dasar-dasar ekonomi negara.

Sebelum ini, Guan Eng menyifatkan kerajaan memang tidak menjamin pengecualian SST akan menurunkan harga rumah di negara ini.

Katanya, sekurang-kurangnya kerajaan hari ini berusaha untuk mewujudkan suasana penurunan harga rumah.

“Sektor pembinaan telah dinyatakan ia dikecualikan cukai. Kalau sebelum ini, semua dikenakan cukai tapi sekarang dikecualikan. Tentu ada yang kata belum tentu lagi harga rumah akan turun,” katanya.

Perlu rumah mampu milik di sekitar pengangkutan awam

0

KUALA LUMPUR: Hartanah di sekitar rangkaian pengangkutan awam seperti Tren Aliran Transit Massa (MRT) perlu dijual pada harga mampu milik kerana boleh membantu golongan muda mengurangkan kos pengangkutan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata apa yang berlaku kini adalah kebanyakan hartanah di sekitar laluan pengangkutan awam dijual pada harga yang tinggi sehingga tidak mampu dibeli oleh golongan muda.

Beliau berkata, golongan muda yang bekerja terpaksa tinggal jauh dari lokasi pekerjaan mereka sekali gus meningkatkan lagi perbelanjaan harian.

Ini, katanya bertentangan dengan konsep pengangkutan awam yang membantu mengurangkan kos pengangkutan rakyat serta meningkatkan kadar mobiliti.

“Kami akan berbincang dengan pihak terbabit seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melihat semula perkara ini.

“Apa yang berlaku kini lokasi kediaman golongan muda tidak strategik dan jauh dari lokasi kerja mereka. Seharusnya bila ada jalinan pengangkutan awam sebegini, ia membantu memudahkan golongan muda yang kebanyakannya berpendapatan bawah RM4,000.

“Bila ada pengangkutan awam, mereka boleh guna dan jimatkan perbelanjaan kos pengangkutan. Ini yang perlu kita teliti semula,” katanya selepas pelancaran program Kunci Rumah Pertamaku di sini, hari ini.

Selain itu, Syed Saddiq berkata pihaknya akan berbincang dengan KPKT dan pemain industri hartanah bagi pelan pembangunan bersama di sekitar aset Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ini bagi menjadikan aset KBS seperti kompleks sukan dapat digunakan sepenuhnya dan tidak dibiarkan kosong tanpa diguna oleh rakyat.

“Bila ada pembangunan hartanah di sekitar aset KBS, ia memanfaatkan lagi kepada rakyat. Mereka boleh guna kemudahan yang ada.

“KBS juga bakal bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan bagi program kesedaran kewangan kepada golongan muda,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital, Faizul Ridzuan, berkata program Kunci Rumah Pertamaku membolehkan golongan belia dan wanita berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri dengan pertolongan pihaknya.

Faizul berkata, pihaknya menyasarkan seribu penyertaan kepada golongan terbabit yang berminat memiliki kediaman tetapi tidak tahu proses serta tips dalam mendapatkan pinjaman dan mencari lokasi yang sesuai.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 50 pembeli bertuah akan dibantu sepenuhnya oleh pihaknya dalam merealisasikan impian mereka memiliki kediaman.

“Dalam masa 12 bulan atau kurang, kita akan pastikan dan bantu mereka ini mendapatkan kediaman. Pihak kami akan kenal pasti masalah dan bantu mereka mendapatkan pinjaman dan sebagainya.

“Ini kerana kebanyakan pembeli muda dan wanita tidak memiliki kefahaman mengenai pemilikan kediaman serta situasi kewangan yang kukuh sehingga menyebabkan permohonan mereka sering ditolak pihak bank. Ini yang akan kita atasi dan bantu,” katanya.

HSR ditangguh sehingga 2020

0

PUTRAJAYA – Malaysia dan Singapura hari ini menandata­ngani Surat Sampingan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bagi persetujuan bersama menangguhkan projek berkenaan selama dua tahun sehingga 31 Mei 2020.

Menerusi persetujuan yang dicapai, Malaysia akan membayar kepada Singapura sebanyak SGD$15 juta (RM45.1 juta) bagi menanggung kos dihadapi Si­ngapura terhadap penangguhan sementara tersebut.

Surat sampingan tersebut ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Menteri Penyelarasan Infrastruktur yang juga Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Singapura yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Singapura, Teo Chee Hean.

Menurut Mohamed Azmin, menerusi persetujuan dicapai, Malaysia akan membayar kos penangguhan kepada Singapura sebanyak SGD$15 juta (RM45.1 juta) sebelum Januari tahun hadapan.

“Saya tidak hendak mengulas mengenai kos pembatalan projek (sekiranya tidak diteruskan selepas Mei 2020) kerana komitmen kita adalah untuk meneruskan projek,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Menurutnya, perbincangan bagi penangguhan berkenaan bermula pada 11 Ogos lalu menerusi pertemuan antara beliau dan Boon Wan dengan hasrat asal Malaysia untuk tempoh penangguhan selama empat tahun.

Bagaimanapun, katanya, ke­dua-dua pihak bersetuju penangguhan projek hanya untuk tempoh dua tahun kerana sebarang tempoh lebih lama bakal memberi kesan besar terhadap model perniagaan dan kenaikan kos.

Dalam pada itu, Boon Wan berkata, kos penangguhan yang perlu dijelaskan oleh Malaysia adalah berikutan kerja-kerja pemindahan utiliti yang telah dijalankan oleh kontraktor di Singapura.

“Kita memahami mengapa Malaysia memerlukan penangguhan sementara, walaupun dari segi bilateral kita tidak terikat, kita telah memberi pertimbangan sewajarnya kepada Malaysia untuk persefahaman yang adil kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan bersama Malaysia-Singapura mengenai HSR, sekiranya Malaysia tidak meneruskan projek HSR selepas 31 Mei 2020, Malaysia akan menanggung kos yang dihadapi pihak Singapura dalam memenuhi Perjanjian Bilateral HSR.

“Sepanjang tempoh penangguhan, Malaysia dan Singapura akan meneruskan perbincangan mengenai langkah ke hadapan yang terbaik bagi projek HSR dengan matlamat mengurangkan kos,” kata kenyataan itu.

Berikutan penangguhan ber­kenaan, kata kenyataan itu, ke­dua-dua syarikat SG HSR Pte. Ltd. dan MyHSR Corporation Sdn. Bhd. akan menghentikan tender antarabangsa bersama terhadap HSR Assets Company (AssetsCo).

“Dengan ini, perkhidmatan HSR antara Singapura dengan Kuala Lumpur dijangkakan bermula pada 1 Januari 2031, berbanding tarikh asal yang disasarkan pada 31 Disember 2026,” kata kenyataan tersebut.