Home Blog Page 47

Seragam dalam satu entiti

0

Kuala Lumpur: Perumahan adalah satu perkara yang sering diperkatakan kebanyakan individu di negara ini dan ia menjadi isu yang masih tidak menemui jalan penyelesaiannya meskipun pelbagai langkah dan dasar diperkenalkan oleh kerajaan.

Sejak kebelakangan ini, kita lihat kerajaan begitu komited dalam menyelesaikan isu perumahan ini terutama bagi segmen mampu milik memandangkan harga rumah mencatatkan peningkatan sehingga ia tidak mampu dibeli kebanyakan rakyat di negara ini.

Penubuhan pelbagai agensi perumahan Persekutuan serta negeri dilihat antara langkah utama kerajaan dalam memastikan penyampaian dan pelaksanaan pembinaan rumah mampu milik mampu direalisasikan.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai keberkesanan pelbagai agensi terbabit sehingga ada pihak beranggapan semua agensi itu perlu diselaraskan bawah satu badan induk bertujuan menyeragamkan segala aspek dalam pelaksanaan rumah mampu milik.

Mengulas perkara ini, Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata, tidak timbul isu ketidakberkesanan ekoran kewujudan pelbagai agensi perumahan di peringkat Persekutuan dan negeri pada masa ini.

rumah_mampu_milik

“Pada pendapat saya, kepelbagaian agensi dalam pembinaan rumah mampu milik ini boleh menyelesaikan keperluan bagi rakyat di negara ini secara berkesan meskipun tidak semestinya semua projek berjalan lancar di setiap negeri.

“Bagaimanapun, kadar kejayaan akan tentu menjadi lebih tinggi berbanding menyeragamkan kepada satu agensi di mana ia memerlukan banyak penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan terutama aspek tanah yang membabitkan tanah kerajaan negeri,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, agensi perumahan Persekutuan boleh menyeragamkan pelaksanaan projek rumah mampu milik dengan kerajaan negeri bagi memastikan isu dapat diselesaikan secara berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Sebagai contoh, jika sesetengah kerajaan negeri berupaya menawarkan skim sangat fleksibel untuk golongan berpendapatan rendah dan memiliki hartanah masing-masing maka pihak kerajaan perlu menggalakkannya,” katanya.

Dalam masa sama, setiap negeri dilihat memiliki pandangan dan takrif berbeza mengenai rumah mampu milik dan tindakan menggabungkan projek rumah mampu milik kerajaan Persekutuan dan negeri di bawah pengurusan sama adalah kurang bijak.

Menurutnya, kerajaan negeri lebih arif mengenai perkara yang terbaik dan adalah amat penting untuk memenuhi keperluan dan kemahuan rakyat masing-masing daripada aspek harga, lokasi, keperluan, spesifikasi dan lain-lain.

“Pembinaan rumah mampu milik adalah perancangan untuk jangka panjang dan ia bukan berkaitan perlumbaan membina sebanyak mungkin unit rumah bagi menunjukkan kejayaan masing-masing,” katanya.

PHB Mahu Tingkat Aset Hartanah Komersial Perdana Di Seluruh Negara

0
C_PC0012583
Najib berucap ketika pelancaran tambahan unit PHB di Kuala Lumpur semalam

 

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) yang juga pengurus Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), bercadang untuk memiliki lebih banyak aset hartanah komersial perdana serta membangunkan projek hartanah bernilai tinggi di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata ia seiring usaha PHB untuk menambah saiz dana AHB dari semasa ke semasa selain membolehkan masyarakat Bumiputera menyertai segmen pelaburan hartanah.

“Tujuan AHB diwujudkan adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat Bumiputera untuk turut serta melabur serta mengambil bahagian dalam pemilikan hartanah komersil perdana yang menguntungkan di Malaysia menerusi pegangan unit dalam AHB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran 1.5 bilion unit tambahan AHB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, Khamis.

Menurut Kamalul Arifin, unit tambahan AHB itu adalah hasil perolehan dan pembangunan lima aset terbaharunya iaitu Menara 1 Sentrum, Blok B Gleneagles Kuala Lumpur dan pusat beli-belah Nu Sentral (KL Sentral) di ibu negara, The Shore Shopping Gallery (Melaka) dan One Precinct (Pulau Pinang).

Ini menjadikan saiz keseluruhan dana AHB meningkat kepada 3.5 bilion unit selepas penambahan dua kali sebanyak 500 juta pada 2012 dan 2013.

Nilai keseluruhan aset PHB setakat ini berjumlah lebih kurang RM7.6 bilion.

Sementara itu, pengurus pelaburan AHB iaitu Maybank Asset Management Sdn Bhd, menjangkakan unit tambahan itu habis dilanggani dalam masa enam bulan berdasarkan sambutan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisyam Abu Bakar berkata, keadaan pasaran semasa turut menjadikan AHB sebagai instrumen pleaburan menarik dengan pulangan yang berdaya saing.

AHB yang dilancarkan pada 29 November 2010, adalah unit amanah patuh Syariah dengan saiz permulaan sebanyak 1 bilion unit.

Pada 5 April lalu, PHB telah mengumumkan pengagihan pendapatan interim bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac, 2016, sebanyak 3.3 sen seunit yang akan dibayar kepada pelabur pada 15 April ini.

— BERNAMA

MyDeposit mula dilaksanakan

0

Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Perumahan Negara (MPN) sebentar tadi mengumumkan Skim pembiayaan deposit rumah pertama (MyDeposit) akan dilaksanakan mulai hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, skim itu bagi membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) yang mempunyai pendapatan isi rumah antara RM3,000 hingga RM10,000.

najib-mydeposit

Beliau berkata , pemberian sumbangan 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000(mana lebih rendah) kepada pembeli rumah pertama adalah untuk membantu mereka membeli rumah berharga RM500,000 ke bawah.

Katanya, permohonan boleh dibuat atas talian untuk skim ini mulai esok melalui laman web Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Pemberian 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000 (yang mana lebih rendah) adalah geran daripada kerajaan.

“Keduanya, mesyuarat juga memutuskan penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 kepada hanya pembeli rumah pertama seperti diumum dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 akan mula dilaksanakan mulai bulan ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat MPN Siri 4, Bilangan 1 Tahun2016, di sini, di Parlimen sebentar tadi.

Menurut Najib, bagi menggalakkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah berharga sehingga RM300,000, KPKT menetapkan beberapa insentif antaranya bagi rumah berharga RM300,000 ke bawah, nilai deposit kekal RM200,000 dan kadar semasa nilai deposit adalah tiga peratus daripada kos pembinaan.

“Bagi pembangunan bercampur, nilai deposit adalah berasaskan baki penjualan rumah berharga melebihi RM300,000.

“MPN juga mengambil maklum dua perkara iaitu status perlaksanaan sejuta rumah mampu milik menjelang 2018. Setakat 31 Disember sebanyak 17 peratus atau 183,755 unit rumah siap dibina, 19 peratus atau 214,011 unit sedang dalam pembinaan dan 28 peratus atau 309,571 unit dalam pelbagai peringkat perancangan,” katanya.

Najib berkata, susulan Pengubahsuaian Bajet 2016, karnival rumah mampu milik akan mula dilaksanakan secara bersepadu antara agensi seperti Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) serta pemaju swasta.

“Karnival ini akan dilaksanakan mengikut zon, iaitu bermula di Zon Tengah iaitu di MAEPS, Serdang pada Julai depan yang menawarkan lebih 50,000 rumah untuk dijual,” katanya.

Pada majlis sama,beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara PR1MA dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membolehkan PR1MA membina sejumlah 786 unit kediaman di tanah milik TNB di Kajang, Selangor.

Pelaburan hartanah luar negara jadi 
pilihan rakyat Malaysia

0
00_Bandar Cultural Hub_overview
Projek hartanah Battersea Power Station di London yang dibangunkan oleh Konsortium Malaysia terdiri daripada Sime Darby Bhd., SP Setia Bhd., dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR 4 April – Rakyat Malaysia tetap memilih pelaburan hartanah di luar negara, khusus­nya Australia, biarpun berdepan masalah penyusutan ringgit.

Hasil kaji selidik terbaharu portal hartanah terkemuka rantau ini, PropertyGuru menerusi Laporan Kajian Sentimen Pasaran Hartanah Malaysia, menunjukkan destinasi utama lain yang menjadi pilihan pelaburan rakyat Malaysia adalah Singapura, Indonesia dan United Kingdom

Malah, 75 peratus responden rakyat Malaysia itu menyuarakan minat untuk membeli apartmen atau kondominium persendirian pada separuh kedua 2015 biarpun berlakunya penyusutan ringgit serta faktor luaran lain yang tidak memberangsangkan.

“Ia jelas menunjukkan hampir tiada perubahan berbanding tempoh suku pertama 2015 yang mana 76 peratus responden menyatakan minat untuk membeli pangsapuri/kondominium di luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Laporan itu juga menunjukkan, faktor penarik rakyat Malaysia untuk melabur di luar negara itu adalah pulangan sewa lebih lumayan sebanyak 56 peratus, kenaikan harga hartanah yang tinggi (55 peratus) serta alasan untuk persekitaran lebih baik dan tujuan persaraan yang mana kedua-duanya mencatat 46 peratus.

“Aspek pendidikan masa depan anak-anak yang lebih baik turut menjadi antara faktor iaitu 36 peratus,” katanya.

Selain itu, sebanyak 52 peratus responden memilih Australia sebagai negara pilihan pembelian hartanah diikuti Singapura (23 peratus), Indonesia (15 peratus) dan United Kingdom (14 peratus).

Kaji selidik hasil kerjasama Pro­pertyGuru dan Added Value-Saffron Hill, agensi penyelidikan profesional yang berpejabat di Singapura bertujuan memantap serta mengukuhkan kredibiliti hasil kajian.

Ia juga dapat membantu pengguna dan ejen hartanah mendapat gambaran mengenai pasaran hartanah bagi membuat keputusan pelaburan serta perniagaan lebih bijak. – BERNAMA

Pasaran hartanah dijangka naik

0

georg-chmiel

KUALA LUMPUR 29 Mac – Pasaran hartanah Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan jualan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang selepas didorong oleh pemulihan ekonomi dan permintaan hartanah yang lebih tinggi, kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif iProperty Group, Georg Chmiel (gambar).

Katanya, walaupun sekarang ini pasaran berpihak kepada pembeli, mereka masih menangguhkan pengambilalihan baharu berikutan ketidakupayaan untuk mendapatkan pinjaman yang mencukupi, kelemahan ringgit serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Kelembapan juga dijangka berterusan dan kadar penolakan pinjaman yang lebih tinggi mencerminkan tahun yang mencabar bagi sektor hartanah,” katanya kepada pemberita ketika mendedahkan hasil kajian sentimen pasaran untuk separuh pertama 2016.

Chmiel berkata, walaupun rakyat Malaysia bimbang dengan kenaikan harga rumah dan kemampuan mereka, sektor hartanah masih dilihat sebagai opsyen pelaburan yang terbaik.

Kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa pembelian hartanah bukan sahaja menjadi pilihan pelaburan untuk responden, disebabkan oleh kenaikan dalam pertumbuhan modal tetapi ia merupakan yang paling stabil berbanding dengan aset lain.

“Berdasarkan kajian yang dibuat oleh iProperty Group, 79 peratus daripada rakyat Malaysia masih berminat untuk membeli hartanah dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya.

Chmiel berkata, walaupun kerajaan berusaha untuk menyediakan rumah mampu milik, 66 peratus daripada responden, terutama di kawasan Kuala Lumpur merasakan bahawa bekalan rumah mampu milik masih tidak mencukupi.

Katanya, kelemahan ringgit juga telah menarik lebih ramai rakyat Singapura untuk melabur di Malaysia terutama di Iskandar Malaysia.

Kajian tersebut melibatkan hampir 13,000 responden dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Hong Kong dengan 40 peratus daripada mereka datang dari Malaysia.

Sebanyak 71 peratus daripada responden Malaysia berusia di antara 20 dan 40 tahun serta 58 peratus telah berkahwin. – BERNAMA

Penuhi permintaan pasaran Gen Y

0

Malaysia seperti kebanyakan negara di seluruh dunia kini berdepan ketidaktentuan terhadap kejatuhan harga komoditi di samping sektor pembuatan yang mengalami kemerosotan turut mengakibatkan ketidakseimbangan kepada penyata aliran tunai dan kunci kira-kira yang mula memberi nilai spekulatif.

Sebagai contoh, syarikat minyak dan gas (O&G) gergasi seperti Petronas yang mempunyai pekerja paling ramai di negara ini iaitu 50,949 kakitangan setakat Disember 2014 memerlukan syarikat itu berbelanja sehingga RM9.59 bilion dengan kadar purata RM188,148 untuk setiap pekerja perlu melakukan sesuatu untuk menjadikannya kekal relevan.

Brunei-and-Malaysia-Enter-Several-Oil-and-Gas-Deals-550x400

 Kitaran ekonomi dan perniagaan terus menjadi amalan syarikat korporat dan swasta sejak dahulu lagi dan pelbagai inisiatif dilakukan untuk mengimbangi persekitaran dan landskap semasa bagi mengurangkan keadaan tidak terkawal dan mengelak daripada keadaan kredit mudah tanpa penyelarasan dengan keperluan pasaran sebenar.

Lantaran situasi berkenaan, pemaju mula mengorak langkah bangkit semula dan bersedia meningkatkan pertumbuhan industri tempatan dengan pelbagai projek baharu walaupun jualan menunjukkan trend perlahan di samping syarat pemberian pinjaman yang semakin ketat dikenakan institusi perbankan.

Bagaimanapun, perkara berkenaan dijangka memberi peluang pertumbuhan baharu untuk mencapai peningkatan sekiranya pemaju bersedia membangunkan projek holistik dan bersepadu berdasarkan trend generasi muda.

Berdasarkan statistik, generasi muda berumur bawah 40 tahun membentuk 70 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk di negara ini manakala enam peratus penduduk merangkumi mereka yang berumur 65 tahun dan ke atas.

Kaedah lama dalam sektor pembinaan dengan reka bentuk bangunan, susun atur dalaman dan tawaran diskaun bagi kelab pelabur hartanah serta diskaun yang tidak relevan adalah perkara lama yang perlu diberikan pembaharuan sekiranya inginkan peningkatan dalam sektor hartanah tempatan.

Pemaju hartanah pada waktu mencabar ketika ini perlu melakukan sesuatu seperti menilai kembali kelas aset kediaman ataupun melihat kepada perkembangan holistik yang memberi kesan kepada gaya hidup dan pekerjaan.

Sebagai contoh, kita melihat pembangunan holistik seperti i-City merangkumi kawasan seluas 72 ekar yang menyaksikan 500 deposit tempahan daripada 300 unit rumah kediaman sedia ada.

Selain itu, pasukan pemasaran saya sendiri, Asianland Realty Sdn Bhd menyaksikan orang ramai berbaris selama 12 jam sebelum pelancaran VIP dilakukan pada hari berikutnya membuktikan pembangunan bersepadu mampu menarik minat golongan muda ataupun dikenali sebagai Gen Y.

Keadaan ini memperlihatkan trend ditunjukkan pemaju yang menggabungkan matriks gaya hidup dengan kemudahan seperti sambungan kepada kemudahan Aliran Transit Massa (MRT) ataupun penghubung kepada pelbagai kemudahan.

P90145242-highRes

Baru-baru ini, saya bersemuka dengan pemaju berkenaan hartanah yang terletak di Johor Bahru seluas lapan ekar di kawasan perdana dan mahukan ia dibangunkan secara premium, namun pada fikiran saya sendiri, ia berupaya menjadi projek yang gagal.

Bagaimanapun, masih ada harapan walaupun wujud ekonomi dalam ketidaktentuan dan dijangka berterusan sehingga pertengahan 2018.

Pemaju perlu mengubah pendekatan bersesuaian dengan generasi muda sebagai langkah baharu untuk meningkatkan strategi modal dan menerima pakai kehendak pelanggan untuk terus kekal berdaya tahan dalam pasaran.

 

Penulis adalah Pengarah Starfish Training Sdn Bhd – Warrick Singh

 

Bina 6,000 rumah 
kos rendah di Johor

0
rumahmampumilikjohor
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memotong kek sempena Hari Keputeraan Sultan Johor sambil diperhatikan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Mohamed Khaled Nordin (dua dari kiri), Hamzah Zainudin (kanan) serta Abdul Aziz Zainal (kiri) dalam Majlis Pelancaran Model Menara Bank Rakyat Johor di Persada Johor International Convention Center, Jalan Abdullah Ibrahim, Johor Bahru, semalam. utusan/Ishak Rahmad

JOHOR BAHRU 23 Mac – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) merancang untuk memberi kemudahan pembiayaan penuh bagi pembeli rumah kos rendah dan mampu milik menerusi Yayasan Sultan Ibrahim.

Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak berkata, kemudahan pembiayaan tersebut yang pertama kali diadakan akan diperluaskan ke ne­geri lain dalam usaha menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negara ini.

Katanya, menerusi skim tersebut, bank akan memperuntukkan kemudahan pembiayaan sehingga RM500 juta pada kadar yang kompetitif dan menarik bagi golongan berpendapatan rendah dan pembeli rumah pertama yang berkelayakan.

“Kemudahan pembiayaan sehingga RM500 juta itu membabitkan pembangunan 6,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik di Johor yang bernilai kurang daripada RM100,000.

“Menerusi kerjasama strategik bersama Yayasan Sultan Ibrahim, penjawat awam dan swasta yang layak di negeri ini boleh membuat tempahan rumah kos rendah dan mampu milik dengan pembayaran deposit serendah RM1,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran model Menara Bank Rakyat Johor, di sini hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berke­nan berangkat ke majlis berkenaan.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi Bank Rakyat, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Mustafha berkata, pembinaan Menara Bank Rakyat Johor di Jalan Trus-Jalan Gereja, di sini menelan kos RM460 juta dan dijangka siap pada Mac 2019.

Katanya, blok bangunan pejabat 37 tingkat itu mempunyai keluasan 51,096 meter persegi dijangka mampu menarik pelabur asing untuk menjalankan perniagaan terutama­nya pelabur dari China dan Singapura.

Jumlah Dedahan Institusi Kewangan Kepada Pasaran Hartanah Pada 2015 Berjumlah RM733.4 Billion

0
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Jumlah dedahan institusi kewangan Malaysia kepada pasaran hartanah dalam negeri pada 2015 berjumlah RM733.4 bilion, 25.7 peratus daripada jumlah aset sistem kewangan.

Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2015 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarkan hari ini menyatakan, kira-kira 90 peratus dedahan adalah berkaitan dengan pembiayaan akhir untuk pembelian harta kediaman dan harta bukan kediaman.

“Pertumbuhan pembiayaan bank untuk pembelian harta kediaman kekal kukuh, dan berkembang 11.7 peratus dengan pertumbuhan yang lebih sederhana sejajar dengan pertumbuhan lebih perlahan dalam pasaran perumahan,” katanya.

Bagi sektor hartanah kediaman, BNM berkata agregat harga rumah terus mencatat pertumbuhan lebih sederhana sejak suku kedua 2014, mencerminkan pelarasan dalam permintaan pelabur terhadap perumahan dan keupayaan untuk meminjam berdasarkan penilaian kemampuan membayar balik pinjaman.

Kesemua ini merupakan kesan yang dikehendaki daripada langkah awalan kehematan makro dan fiskal yang dilaksanakan sejak tahun 2010 yang bertujuan mengurangkan kemungkinan risiko terhadap kestabilan kewangan berikutan pertumbuhan harga rumah yang kukuh.

Ini, katanya, akan menjadikan kemampuan memiliki rumah bertambah baik, khususnya bagi pembeli rumah pertama.

Pertumbuhan purata harga rumah yang diukur oleh Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM), turun daripada 9.6 peratus dalam tempoh 2010-2014 kepada kira-kira 8.0 peratus yang dicatat selama lima suku tahunan berturut-turut sejak suku kedua 2014.

“Indeks pada paras ini masih melebihi pertumbuhan purata harga rumah jangka panjang pada 5.5 peratus dalam tempoh tahun 1990-2009,” katanya.

Dedahan institusi kewangan kepada pasaran harta bukan kediaman pula mencakupi kira-kira 27 peratus daripada jumlah dedahan kepada pasaran harta tanah keseluruhan dan merupakan kurang 7.0 peratus daripada jumlah aset sistem kewangan.

Meskipun bahagiannya tidak begitu besar, BNM berkata perkembangan dalam pasaran harta bukan kediaman mempunyai implikasi penting terhadap kestabilan kewangan.

“Ini disebabkan oleh kemungkinan kesan limpahannya menular ke seluruh ekonomi dan kesalinghubungannya yang kukuh dengan perkembangan harta kediaman yang mencakupi bahagian yang besar daripada pemberian pinjaman bank kepada isi rumah,” katanya.

Menurut BNM, perkembangan dalam segmen rumah kedai lazimnya mencerminkan pasaran perumahan, memandangkan rumah kedai dianggap oleh pelabur sebagai pelaburan alternatif kepada harta kediaman.

“Meskipun aktiviti dalam segmen ini lebih perlahan, kadar sewa, khususnya di Lembah Klang, secara relatif kekal stabil. Pada sembilan bulan pertama 2015, jumlah unit dan nilai transaksi rumah kedai masing-masing menurun 9.3 dan 5.3 peratus,” katanya.

— BERNAMA

Bandar Malaysia mercu tanda baru

0

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan projek Bandar Malaysia adalah mercu tanda sebenar pembangunan kota metropolitan Kuala Lumpur.

 Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak sabar melihat pembangunan projek berkenaan yang dibangunkan melalui usaha sama China Railway Group Limited (CREC) dengan Iskandar Waterfront Holdings (IWH), siap.

Katanya, berdasarkan lakaran artis menunjukkan pembangunan Bandar Malaysia pelbagai termasuk pembinaan pusat beli belah bawah tanah bersepadu terbesar di dunia, pusat kewangan dan komersial, kemudahan pusat beli belah dan pelancongan serta bangunan pencakar langit.

“Saya tidak sabar melihat projek pembangunan Bandar Malaysia ini,”katanya berucap pada majlis pengumuman pelaburan baru CREC di sini, hari ini.

Hadir sama Duta China Ke Malaysia Dr Huang Huikang, Presiden CREC, Zhang Zhong Yan, Naib Pengerusi Eksekutif IWH Tan Sri Lim Kang Hoo.

Najib berkata, Konsortium IWH-CREC mengumumkan pelaburan AS$2 bilion (RM8.14 bilion) bagi pembukaan ibu pejabat serantaunya di sini selain komitmen membawa masuk lebih banyak pelaburan syarikat China.

Katanya, sehubungan itu kerajaan komited memastikan projek pembangunan itu berjaya.

“Kerajaan juga akan menimbangkan beberapa insentif berkaitan termasuk cukai yang boleh diberikan untuk projek ini” katanya.

00_Bandar Cultural Hub_overview

Kelembapan Harga Hartanah Cetus Semula Minat Bakal Pembeli

0

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Senario kelembapan harga hartanah bagi tempoh suku kedua tahun lepas, ternyata mencetuskan semula minat bakal pembeli untuk memiliki aset berkenaan, kata portal hartanah dalam talian PropertyGuru.

Ini jelas dibuktikan hasil kaji selidik syarikat itu baru-baru ini yang menunjukkan kira-kira 60 peratus pengguna sememangnya berhasrat membeli hartanah itu dalam tempoh enam bulan ini.

“Bagaimanapun, 36 peratus menyatakan mereka lebih berminat untuk membeli hartanah daripada pemaju hartanah daripada pasaran sekunder (peringkat kedua),” kata PropertyGuru dalam laporan hasil kaji selidik “Malaysia Property Market Sentiment Survey Report H1 2016” di sini, Isnin.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata pemaju hartanah juga didapati menawarkan lebih nilai bagi mempromosikan unit-unit kediaman mereka kepada bakal pembeli.

“Sehubungan itu, para pembeli lebih positif apabila menyedari senario masa ini mengenai penyederhanaan harga rumah dan tawaran menarik yang tidak mungkin diberikan pada masa terdekat kelak,” katanya.

Selain itu, kata Fernandez, masalah lambakan pelbagai hartanah khususnya kediaman bangunan tinggi dan berstrata, juga menjadi antara tarikan untuk pembeli hartanah itu.

Hasil kaji selidik itu turut menunjukkan 28 peratus daripada rakyat Malaysia berpuas hati dengan pasaran hartanah tempatan bagi tempoh suku kedua 2015, iaitu peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding separuh pertama tahun sama.

Namun, ramai yang turut melahirkan kekecewaan mengenai masalah harga yang disifatkan mereka sebagai terlalu mahal dan di luar kemampuan serta berdepan kesukaran mendapat pembiayaan sewajarnya.