Home Blog Page 52

Harga rumah dijangka naik 10%

0

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 April ini pasti akan berlaku selepas pelbagai perancangan dilakukan oleh kerajaan termasuk memberi maklumat secara jelas kepada rakyat.

Apabila pelaksanaan GST diumumkan pada Belanjawan 2014, pelbagai reaksi dan persoalan mengenainya dipaparkan oleh banyak pihak kerana ia membabitkan prestasi kewangan individu, syarikat dan industri secara keseluruhannya.

Namun begitu, dalam sektor perumahan, kerajaan sudah menetapkan bahawa GST sebanyak enam peratus tidak akan dikenakan kepada pembelian kediaman dan pada masa sama banyak tinjauan mengenainya dilakukan oleh pemain industri berkenaan.

Antara laporan kajian penganalisis berkaitan pelaksanaan GST ke atas harga rumah diunjurkan bakal meningkat sebanyak 10 peratus berikutan kos bahan pembinaan akan meningkat.

Justeru, dalam tempoh kira-kira tiga bulan akan datang ini, terdapat pula laporan media mengenai pemaju perumahan mula menawarkan pakej pembelian rumah istimewa sebelum pelaksanaan GST dilakukan kepada orang ramai bagi mengelakkan pembeli berdepan dengan harga lebih mahal untuk memiliki aset berkenaan.

Penganalisis hartanah berkata, dalam tempoh suku pertama tahun ini sememangnya pasaran hartanah kediaman lebih agresif terutama membabitkan kediaman dalam pasaran sekunder berbanding premier berikutan harganya lebih murah.

Beliau yang tidak mahu nama dan organisasinya dipaparkan berkata, dari segi unjuran peningkatan peratusan antara suku pertama tahun ini dan 2014 tidak dapat diumumkan berikutan kita masih di bulan pertama 2015, tetapi dijangkakan situasi pembelian kediaman akan lebih menarik.

“Jika kita lihat apabila kediaman baru dibangunkan ia akan memberi kesan harga kepada pasaran perumahan sekunder di sekelilingya secara langsung dan selepas pelaksanaan GST berkemungkinan harga pasaran sekunder meningkat lebih tinggi jadi orang ramai lebih tertarik untuk memberi kediaman dalam pasaran itu berbanding premier.

“Bagi pasaran premier atau perumahan baru dibangunkan sebelum GST yang dijual pada harga pasaran premium melebihi RM700,000 ke atas akan berdepan dengan situasi lebih mencabar dan pemaju akan menawarkan pakej menarik bagi membolehkannya terjual,” katanya.

Harga rumah di Sarawak tidak akan naik mendadak

0

KUCHING: Kementerian Perumahan Sarawak memberi jaminan harga rumah kediaman di negeri ini tidak akan naik secara mendadak apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan April depan.

Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, berkata sekalipun berlaku kenaikan ia adalah minimum – antara dua dan tiga peratus sahaja.

“Sehubungan itu pihak tertentu serta pemaju hartanah tidak perlu menakut-nakutkan bakal pembeli rumah kononnya harga rumah akan naik secara mendadak sebaik sahaja GST dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Seminar GST Dalam Sektor Perumahan di sini, hari ini.

Sambil menjelaskan bahawa hanya bangunan komersial akan dikenakan GST dan bukannya rumah kediaman, beliau menasihatkan bakal pembeli rumah kediaman supaya tidak percaya dengan kenyataan (mengenai kenaikan harga rumah) oleh pihak pemaju.

Beliau berkata, terdapat undang-undang bagi mengawal kenaikan harga rumah, khususnya membabitkan penjualan rumah kos rendah dan rumah mesra rakyat.

Sementara itu, beliau berkata, bagi menampung permintaan yang tinggi terhadap rumah kos rendah dan rumah mampu milik di negeri ini, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) akan membangunkan sejumlah 3,500 rumah seumpama itu di Kuching, Bintulu dan Miri dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Katanya, HDC akan mengambil alih projek pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik daripada pemaju swasta yang tidak berminat membina rumah seumpama itu.

Mengenai GST dalam sektor perumahan, Abang Johari berkata apabila rejim cukai yang baru itu dilaksanakan hanya penjualan rumah komersial akan dikenakan cukai maksimum enam peratus berbanding 15 peratus sekarang. Seminar sehari itu dianjurkan Kementerian Perumahan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

– BERNAMA

PR1MA buka permohonan untuk tujuh projek perumahan

0

KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) hari ini membuka permohonan untuk 7,116 unit rumah bagi tujuh projek kediaman Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Melaka dan Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, tujuh projek berkenaan ialah Alam Damai, Kuala Lumpur; Bandar Meru Raya, Perak; Sungai Petani 1, Kedah; Kuala Ketil, Kedah; Bandar Layangkasa, Johor; Tebrau, Johor dan Melaka Tengah 1.

“Rumah-rumah PR1MA yang dibuka untuk proses permohonan akan ditawarkan pada harga yang menepati kemampuan dan pada harga yang telah dimandatkan iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dan pada masa sama berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pendaftar PR1MA diseru membuat permohonan untuk projek pembangunan yang dipilih melalui laman web PR1MA di www.pr1ma.my sebelum tarikh tutup permohonan pada 28 Februari ini.

Menurutnya, bagi mereka yang belum berdaftar diminta mendaftar di laman web terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.

“Proses ini mempamerkan komitmen berterusan PR1MA dengan satu lagi langkah ke hadapan untuk merealisasikan impian masyarakat Malaysia yang berpendapatan sederhana iaitu berpendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM10,000 sebulan untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya. – BERNAMA

Pemaju Manipulasi Diskaun Bumi Disiasat

0

Semalam saya menerima mesej Whatsapp yang menceritakan bagaimana sebuah pemaju di Johor yang berasal dari China memanipulasi diskaun harga Bumiputera yang mana akhirnya pembeli bumiputera dikenakan caj bayaran yang lebih tinggi berbanding pembeli bukan bumiputera.  Pengadu tersebut menceritakan bagaimana pemaju yang memberikan diskaun 15% untuk bumiputera dan 6% untuk bumiputera tetapi disebaliknya pembeli bumi dikehendaki membayar caj entri berbanding pembeli bukan bumi yang tidak perlu membayarnya yang mana akhirnya kos yang ditanggung pembeli bumiputera adalah lebih tinggi.  Sedikit screenshot mesej berkenaan seperti berikut:-

Pemaju Manipulasi Diskaun Bumi
Maaf.. saya sengaja tidak memberikan mesej penuh di sini.

Saya pasti ramai yang sudah membacanya dan tidak berpuashati atas apa yang berlaku.  Aduan juga telah dilakukan kepada pihak yang berkenaan iaitu Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan dilaporkan dalam Berita Harian hari ini kementerian berkenaan sudah memulakan siasatan ke atas aduan tersebut dan pemaju yang berkenaan.  Diharapkan jika benar seperti yang didakwa, tindakan sewajarnya dikenakan ke atas pemaju yang tidak bertanggungjawab tersebut supaya menjadi pengajaran kepada pemaju-pemaju lain yang cuba memperbodohkan kerajaan dan rakyat negara ini khususnya pembeli bumiputera.

Aduan-Kes-Diskaun-Rumah-Disiasat
Sumber: Berita Harian, Jumaat 16 Sept 2014 (Nasional)

 

Bahagian Pinjaman Perumahan Awam Dimansuhkan?

0

Bahagian Pinjaman Perumahan

Nampaknya khabar angin bertiup kencang yang Bahagian Pinjaman Perumahan Awam (BPP) akan dimansuhkan dan diambil alih oleh sebuat bank tempatan?  Betul atau tidak… ianya tidak dapat lagi dipastikan kerana setakat ini tiada lagi pengumuman rasmi dibuat mengenainya.  Berita ini sebenarnya telah lama tersebar iaitu seawal tahun 2012 di mana CUEPAC membantah pemansuhan BPP..

[learn_more caption=”ANGGOTA CUEPACS BANTAH BANK URUS PINJAMAN PERUMAHAN (Utusan, Okt 2012)”] JERANTUT 6 Okt. – Rata-rata penjawat awam di seluruh negara membantah cadangan Kementerian Kewangan untuk menjalinkan kerjasama dengan bank bagi menguruskan skim pinjaman perumahan kepada kakitangan kerajaan.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, beliau sendiri dihujani dengan panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kakitangan awam yang mahu skim pinjaman tersebut tidak diserahkan kepada institusi kewangan. “Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah memaklumkan terdapat empat bank komersial terbesar tempatan bersetuju bekerjasama dengan kerajaan menawarkan skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam.”Jadi mereka tidak bersetuju dengan cadangan ini dan meminta CUEPACS agar tampil menyuarakan luahan hati penjawat awam agar pinjaman perumahan diuruskan oleh kerajaan sepenuhnya,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Profesionalisme Keguruan Zon Timur sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) di Sekolah Kebangsaan Bandar Jerantut, di sini hari ini. Hadir sama, Presiden KKGLMSM, Datuk Jamale Paiman; Timbalan Presiden KKGLMSM, Azmi Sujak dan Pengerusi Koperasi KKGLM (M) Berhad, Awang Mohmad.Omar berkata, rata-rata penjawat awam yang menghubunginya berpendapat pelbagai masalah akan timbul sekiranya kerajaan menjalinkan kerjasama dengan institusi kewangan dalam menguruskan skim pinjaman perumahan.”Mereka bimbang wujudnya masalah di kemudian hari seperti insurans pembeli, insurans pemaju, komisen dan prosedur bank serta bayaran pendahuluan 10 atau 20 peratus kepada bank,” ujarnya. Menurutnya, CUEPACS memandang serius perkara tersebut dan segala luahan penjawat awam akan dibincangkan dalam mesyuarat kesatuan itu bulan depan agar mereka yang terlibat dapat membeli rumah dengan mudah dan selamat.”Saya tahu ramai penjawat awam bimbang dengan perkara ini kerana mereka takut dibebani dengan hutang dan timbul pula isu rumah terbengkalai sedangkan pembayaran telah dibuat kepada pihak bank,” jelasnya. Sumber: http://cuepacs.blogspot.com [/learn_more]

[learn_more caption=”Bahagian Pinjaman Perumahan Kakitangan Awam (BPP) Diserahkan kepada CIMB – Blog Berita Semasa”] …maklumat yang Berita Semasa terima langsung dari Putrajaya telah memberikan pengesahan yang mana Bahagian Pinjaman perumahan Kakitangan Awam semamangnya akan dimansuhkan dana siapa yang bakal dapat menguruskan Pinjaman perumahan kakitangan Awam selepas ini? CIMB Bank akan ambi alih menjadi satu badan yang akan menguruskan Bahagian Pinjaman perumahan kakitangan awam. Setakat maklumat yang Berita Semasa terima syarat baru kepada kakitangan awam untuk pinjaman perumahan (rumah) selepas ini telah pun ada yang mana nilai downpayment untuk setiap harga rumah naik dan begitu juga kadar faedah pinjaman rumah kakitangan 4% (reducing balance) akan diubah kepada yang lain. Berita Semasa difahamkan yang mana inilah salah satu cara untuk menghadkan pinjaman kakitangan awam. Yang mana CIMB akan uruskan pinjaman kakitangan kerajaan yang mana pastinya selepas ini akan masuk dalam laporan CCRiS sekaligus andaikata komitmen anda terlalu tinggi, pinjaman rumah sukar untuk diluluskan. Semuanya atas nama mengawal hutang isi rumah yang terus melonjak tinggi.  – Berita Semasa [/learn_more]

 

Jika pemansuhan ini berlaku ianya suatu perkara yang kurang menyenangkan untuk lebih 1.5 juta penjawat awam.  Apa yang pasti kerisauan utama penjawat awam adalah kehilangan ‘keistimewaan’ mereka dalam pembelian rumah pada kadar faedah pinjaman 4.0%…. dan mungkin syarat yang lebih mudah.  Setakat ini tidak dapat dipastikan secara terperinci apakah kadar yang akan dikenakan oleh pihak bank yang akan mengambil alih pengurusan pinjaman ini…. adakah kekal pada kadar 4.0% atau mengikut kadar biasa pinjaman perumahan bank komersil, iaitu berdasarkan BLR.  Mengikut pakej pinjaman bank komersil pada masa ini kadar pinjaman adalah secara puratanya di sekitar BLR – 2.0%, sesetengahnya sehingga BLR – 2.4%.  Ini bermakna kadarnya adalah sekitar 4.45% – 4.85% (kurang dari 1% lebih tinggi dari pinjaman kerajaan).

Berdasarkan laman web imoney, kadar pinjaman sekarang oleh bank-bank tempatan adalah seperti berikut:-

Kadar faedah pinjaman - 19Sept2014

[learn_more caption=”Antara Isu Utama” state=”open”]

Saya melihat isu ini boleh dilihat dari beberapa perspektif:-

  • Jika BPP dimansuhkan dan diambilalih oleh pihak lain, kadar 4% ini perlulah dikekalkan supaya tidak wujud masalah kerisauan utama dan isu ‘mengambil’ keistimewaan yang sedia ada… walaupun tidak jauh berbeza.
  • Pengambilalihan ini dilihat perlu supaya kerajaan boleh lebih memfokuskan perkhidmatan utama mereka iaitu memberikan perkhidmatan kepada rakyat – yang seharusnya yang menjadi keutamaan. Sumber manusia yang diletakkan dalam pengurusan BPP adalah tinggi dan sebaiknya diletakkan di dalam bahagian lain pengurusan kerajaan.
  • Pengambilalihan oleh bank dilihat mungkin perlu kerana itu adalah ‘bidang’ mereka yang mempunyai lebih kepakaran dalam pengurusan pinjaman dan kewangan. Yang lebih penting adalah pengurusan mendapatkan bayaran balik pinjaman dengan lebih efisien. Sesetengahnya GLC sudahpun memindahkan pengurusan pinjaman perumahan mereka bank untuk tujuan ini yang dilihat mengambil masa serta sumber masa yang lama.
  • Faedah lain yang wujud pada ketika ini perlulah dikekalkan atau dikurangkan secara berperingkat seperti pinjaman 100% dan sebagainya.[/learn_more]

Sementara itu, menurut Timbalan Menteri Kewangan, adalah lebih baik jika BPP dijadikan sebuah Badan Berkanun.  Menurut beliau..

“Pengurusan pinjaman perumahan di bawah badan berkanun tidak akan merugikan penjawat awam malah perkhidmatan (akan menjadi) lebih cekap dan berkesan,” katanya mengulas laporan bantahan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung pemansuhan BPP.

[learn_more caption=”Bahagian Pinjaman Perumahan disaran jadi badan berkanun”] 08/09/2014 10:51pm PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menyarankan agar Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) dijadikan sebuah badan berkanun. Beliau berkata, saranan itu tertakluk kepada syarat Skim Pinjaman Perumahan yang bakal diwujud dengan mengekalkan faedah sedia ada yang dinikmati penjawat awam ketika ini. “Pengurusan pinjaman perumahan di bawah badan berkanun tidak akan merugikan penjawat awam malah perkhidmatan (akan menjadi) lebih cekap dan berkesan,” katanya mengulas laporan bantahan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung pemansuhan BPP. Penggantian BPP dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau institusi kewangan dibimbangi akan menyebabkan penjawat awam tidak lagi mendapat kemudahan pinjaman perumahan sedia ada. Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu wakil Pemuda Umno Malaysia dan Suara Anak Muda 1Malaysia berkaitan penyerahan memorandum kepada pihak kementerian mengenai Bajet 2015. – Bernama [/learn_more]

Apa pula pendapat anda?

 

Rumah PR1MA: Kerajaan perkenal skim sewa beli

0

SEREMBAN – Kerajaan hari ini memperkenalkan Skim Sewa Beli bagi membantu pemohon Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman perumahan dengan bank.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata skim itu diwujudkan khusus untuk generasi muda dalam mendapatkan rumah yang mereka idamkan selama ini.

“Program ini adalah bagi membantu mereka (permohonan) yang ditolak bank, kadang-kadang yang tiada pendapatan tetap atau rekod tidak berapa elok.

“Maka kita bersetuju dengan pihak bank untuk tawar skim Rent to Own ini dengan pemohon hanya perlu membayar sewa dan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, rumah itu akan jadi milik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan majlis pecah tanah dan projek mula kerja PR1MA Seremban di Seremban Sentral di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek dan Pengerusi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Najib dalam pada itu berkata kerajaan bersetuju untuk penambahan pembinaan 2,000 unit rumah PR1MA yang akan dibina di tapak Depoh Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan 10,000 unit rumah di Labu, dekat sini.

Katanya projek penambahan pembinaan itu dan projek asal Seremban Sentral membabitkan 3,196 unit pangsapuri mampu milik di belakang Stesen Kereta api Seremban itu adalah sangat perlu dan bertepatan dalam usaha kerajaan membangunkan Seremban.

Menurutnya projek itu antara lain bakal merubah wajah Seremban dan menjadi ikon baharu Negeri Sembilan yang digambarkan seakan KL Sentral, Kuala Lumpur.

Jelasnya, projek di Seremban Sentral itu dijangka siap dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun sekaligus mampu menarik minat masyarakat setempat untuk sama-sama merasai arus pembangunan dan kemajuan akan datang.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa walaupun harga rumah PR1MA di Seremban Sentral itu belum lagi dimuktamadkan namun beliau yakin ia akan dijual 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

“Siapa yang berjaya mendapatkan rumah ini sudah untung 20 peratus. Saya percaya nilai rumah ini akan melambung tinggi kerana kawasan ini tumpuan pembangunan selepas Lembah Klang, Putrajaya dan Cyberjaya.

“Memang inilah trend pembangunan yang menghala ke Seremban dan dalam tempoh 10 tahun, kawasan ini akan pesat dengan pembangunan,” jelas Najib.

Mengulas lanjut mengenai PR1MA, Najib berkata kerajaan sentiasa meletakkan keutamaan dan keperluan rakyat pada penanda aras utama kerana rumah adalah antara keperluan tinggi yang mesti dimiliki setiap rakyat di negara ini.

“Kita ada keperluan lain, tapi urutan keinginan untuk miliki rumah adalah di atas dan tertinggi. Tapi rumah bukan sebarangan rumah mestilah selesa dan berkualiti.

“Ia juga mestilah dalam lingkungan kemampuan kita, harganya yang mampu dibeli oleh kita sebagai bakal pembeli. Kumpulan sasaran kita (kerajaan) adalah 50 peratus orang muda iaitu berumur 35 tahun ke bawah termasuk bujang. Jadi lahirlah konsep PR1MA ini yang merupakan satu agenda kerajaan,” kataya.

Seremban Sentral ialah projek perumahan pangsapuri berkonsepkan kehidupan bandar yang menyediakan pangsapuri mampu milik di kawasan seluas 23 hektar dan turut dilengkapi kemudahan awam, bangunan pejabat, pusat beli-belah, perubatan, kampus pendidikan, hotel dan taman rekreasi.

PR1MA Seremban Sentral adalah perkongsian awam dan swasta iaitu antara PR1MA, Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Keretapi Tanah Melayu (KTM), kerajaan negeri dan pemaju swasta Brunsfield International Group.

Projek perumahan itu bakal dibina di pusat bandar Seremban atas tanah berkeluasan 23 hektar terletak di belakang stesen KTM Seremban sedia ada, yang dibahagikan kepada dua fasa pembinaan.

Fasa I terdiri daripada 1,504 unit manakala Fasa II terdiri daripada 1,692 unit dengan keluasan antara 805 hingga 1,214 kaki persegi.

Rumah itu dilengkapi dua bilik dengan satu bilik mandi atau tiga bilik dengan dua bilik mandi, ruang tamu dan dapur mengikut keluasan dan pembeli boleh membuat pilihan mengikut kemampuan. – Bernama

Wujud skim sewa beli PR1MA

0

SEREMBAN 9 Sept. – Kerajaan bersetuju mewujudkan skim sewa beli kepada bakal pembeli yang berhadapan masalah pinjaman daripada bank untuk membolehkan mereka memiliki rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara tersebut memberitahu, kemudahan itu telah pun dipersetujui dan pihak Perbadanan PR1MA Malaysia telah mengusahakan dengan pihak bank untuk memudahkan urusan pembelian itu.

“Ada permohonan untuk memiliki rumah ini ditolak oleh bank kerana bakal pembeli tidak ada pendapatan tetap bulanan dan trek rekod yang tidak berapa baik.

“Maka untuk mengatasi masalah ini, kita telah pun bersetuju dan PR1MA telah usahakan dengan pihak bank, kita tawarkan skim sewa beli.

“Mereka bayar sewa dalam tempoh 20 hingga 30 tahun dan kemudian, rumah itu akan menjadi milik mereka nanti. Inilah kemudahan istimewa yang saya umumkan dalam majlis ini,” katanya di sini hari ini.

seremban sentral

Perdana Menteri berucap dalam majlis memulakan kerja pembinaan rumah PR1MA@Seremban Sentral di sini meliputi pembangunan fasa pertama melibatkan sejumlah 1,600 unit. Fasa kedua pembangunannya kelak akan membabitkan 1,692 unit.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, Pengerusi PR1MA, Tan Sri Dr. Jamaludin Mohd. Jarjis dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Dalam majlis itu juga, Najib turut mengumumkan satu lagi kawasan baharu untuk projek PR1MA di Seremban, iaitu kawasan depot Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhampiran tapak projek ini seluas 16.187 hektar juga akan dibangunkan untuk tujuan sama yang bakal menempatkan tambahan sebanyak 2,000 unit rumah.

“Saya hendak umumkan kawasan 16.187 hektar itu akan kita majukan sebagai kawasan projek PR1MA dengan bilangan rumah sebanyak 2,000 unit. Konsep PR1MA ini, selain belian rumah, kita hendak memberi harta kepada orang, selain menjana kekayaan.

“Kita telah buat kajian dan PR1MA juga melakukan kajian, bahawa kumpulan sasar untuk pemilikan rumah ini adalah 50 peratus terdiri daripada orang muda berusia 35 tahun ke bawah dan daripada jumlah itu, 50 peratus adalah yang masih bujang dan sebahagian lagi yang baru berkahwin,” kata beliau.

Menurut Najib, kawasan Seremban diberi keutamaan yang tinggi dan sudah sepatutnya bandar itu melalui transformasi perubahan yang besar.

“Saya boleh beri jaminan, harga untuk rumah PR1MA ini hendaklah kurang 20 peratus lebih rendah dalam harga pasaran. Maknanya, sesiapa yang membeli rumah ini sudah mendapat 20 peratus pengurangan harga dan jika disimpan dalam tempoh 10 tahun akan datang, sudah tentulah nilainya melambung tinggi.

“Ini kerana kawasan Seremban terutamanya di PR1MA ini akan melonjak pembangunannya dan dalam tempoh 10 tahun akan datang, ia akan menjadi begitu pesat sekali,” kata beliau.

Najib juga mahu fasa pertama PR1MA di Seremban Sentral disiapkan dalam tempoh 30 bulan dari tarikh memulakan kerja hari ini.

“Saya minta dalam tempoh 30 bulan nanti, saya akan diundang sekali lagi ke PR1MA@Seremban Sentral ini untuk menyampaikan pula kunci kepada penerima pertama projek PR1MA ini,” kata beliau.

Sumber: Utusan Online

Krisis Perumahan Generasi Y

0

Sambil-sambil melayan facebook… saya terpandang seorang rakan yang berkongsi snapshot artikel dari Akhbar mingguan The Heat, Issue 45.  Tajuknya “Housing Crisis for Generation Y” – Krisis Perumahan Generasi Y.  Walaupun isu ini sudah lama di bincangkan.. saya fikir ia amat menarik untuk terus dibincangkan dan dibangkitkan kerana golongan inilah yang sekarang semakin terhimpit dengan harga rumah yang tak masuk akal.

Jadi siapakah sebenarnya Generasi Y ni?  kalau menurut definisi Wiki.. tiada tarikh spesifik tetapi secara amnya ianya adalah mereka yang lahir diantara awal tahun 1980an sehingga tahun 2000.  Jadi, adakah anda salah seorang daripada mereka?  Jika kita andaikan mereka yang lahir tahun 1981 – 2000, maka anda yang berusia 24 -33 tahun bolehlah dikatakan tergolong di dalam kategori Gen Y.   Maksudnya…. mereka yang mungkin baru tamat belajar peringkat Ijazah sehinggalah mereka yang mungkin sudah bekerja sekitar 10-15 tahun (andaian sahaja)…

Kalau dilihat pada umur berkenaan…. mungkin mereka yang berusia awal Gen Y seharusnya sudah memiliki rumah… tetapi dengan harga rumah yang tak masuk akal di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan sebahagian Johor Bahru… mungkin ramai juga yang masih belum memiliki rumah..

Jika anda berada di dalam golongan ini.. apa kata anda berkongsi sama ada anda sudah memiliki rumah atau tidak dan mungkin dapat memberikan komen tambahan anda di Facebook Tips Hartanah..

 

Sila buat pilihan anda…..

 

//

 

Ikhsan Foto: The Heat
Ikhsan Foto: The Heat

Coretan untuk mereka yang masih tidak memiliki rumah…

6

Assalamualaikum semua..

Agak lama saya tidak menulis dan berkongsi sesuatu di blog Tips Hartanah.. kekangan masa dengan kerja pengurusan aset dan menguruskan pejabat baru membuatkan masa saya sangat terhad.  Tiba-tiba pagi ni terasa seperti ingin berkongsikan sesuatu… apabila melihat kawan-kawan dan kenalan yang masih ada tidak memiliki rumah – walaupun ada umur yang sudah lanjut 40an.

Mungkin perkongsian kali ini kurang relevan untuk mereka yang sudah melangkaui usia 40an tetapi saya harap mereka yang masih muda dan leka agar dapat mengambil sedikit peringatan dan melakukan yang sepatutnya untuk memiliki rumah pada usia muda.

Ramai dikalangan muda hari ini lebih membelanjakan pendapatan mereka untuk gaya seperti kereta, gajet dan juga pakaian mahal sedangkan saya fikir rumah adalah lebih utama untuk dimiliki.  Bila ditanya mengapa tidak membeli rumah… alasan utama adalah.. MAHAL..

Betul atau Tidak??

Pada pendapat saya… YA.. Mungkin Betul… dan juga Tidak….

Betul… sememangnya rumah agak (mungkin sangat mahal) berbanding dahulu.. tetapi saya fikir TIDAK semuanya mahal sehingga tidak ada rumah yang mampu dimiliki oleh golongan muda ini.   Contohnya masih ada apartment kos sederhana yang masih berharga bawah RM150K di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.. (saya bercakap berdasarkan apa yg saya miliki.. pada masa ini dalam proses untuk menjual sebuah apartment di Taman Fadason Kepong pada harga permintaan RM140K).  Berdasarkan pinjaman 90% kadar ansuran bulanan adalah sekitar RM700.

Sumber: LoanStreet
Sumber: LoanStreet

Untuk pembelian rumah pada harga ini / pinjaman pada kadar ini, secara amnya pendapatan sekitar RM2,500-RM3,000 sebulan adalah mencukupi jika komitmen lain tidak tinggi.  Di sinilah kebiasaanya kesilapan kebanyakan orang di mana mereka telah membebankan diri dengan komitmen lain sebelum memikirkan tentang pembelian rumah.

Sekadar contoh dan perkongsian.. apartment ini dibeli pada tahun 2009 pada harga RM75K sahaja… dan jika dijual pada harga RM140K, maka keuntungan adalah RM65K.. katakan nett hanya RM55K selepas ditolak kos agen, peguam, dll.  Jika saya andaikan anda membeli rumah pada umur 28tahun (pada tahun 2009) maka umur sekarang adalah 33 tahun.. dan dengan keuntungan RM55K itu anda sudahpun boleh membeli rumah pada harga sekitar RM450,000-RM550,000 ( andaian bayaran deposit 10% dan kos lain).  Dengan andaian pendapatan semakin meningkat dan pendapatan bersama (isteri/suami) pastinya anda lebih berpeluang untuk membeli rumah yang lebih besar pada umur 33 tahun.  Disamping itu, anda juga berpeluang untuk mengeluarkan simpanan Akaun 2, KWSP sebagai tambahan kepada kos pembelian rumah baru anda.

Berdasarkan kebanyakan kenalan yang saya temui, kebanyakan mereka mengatakan juga tiada simpanan untuk deposit dan pembayaran kos untuk pembelian.. di sini lah sekali lagi penting untuk kita membeli rumah yang kita mampu pada masa ini… kerana seperti contoh di atas RM55K tersebut telahpun menjadi simpanan kita tanpa sedar selain akaun 2, KWSP.   Sememangnya boleh saya andaikan, majoriti yang mempunyai pendapatan sekitar RM3K-5K agak payah untuk menyimpan RM55K-65K dalam tempoh 5 tahun.

Ini baru saya berikan contoh kecil untuk hartanah yang dibeli pada harga kurang RM100K (dahulu)…  jika hartanah yang lebih mahal.. anda akan mempunyai peningkatan harga yang lebih tinggi..  contohnya sebuah apartment saya di Taman Sri Gombak yang dibeli pada harga RM160K pada 2007 dan kini boleh dijual pada harga RM300K atau lebih..

Oleh itu, saranan saya kepada mereka yang masih tidak memiliki rumah…. terutamanya golongan muda.. belilah APA YANG ANDA MAMPU bukan menunggu sehingga anda mampu.  Sekiranya tidak menemui apa yang anda layak untuk membeli teruskan mencari…  mungkin dengan mendapatkan khidmat agen hartanah atau melalui kenalan yang mengetahui pemilik yang ingin menjual pada harga di bawah harga pasaran.  Apa yang penting, elakkan komitmen pada yang tidak perlu.. terutamanya kereta dan kad kredit sebelum anda berjaya membeli rumah.

Kesimpulan mudah saya di sini:-

  1. Ketahui berapa kelayakan pinjaman rumah anda sekarang – pergi ke bank untuk menyemaknya.
  2. Ketahui berapa baki Akaun 2, KWSP yang boleh anda keluarkan.
  3. Cari hartanah yang anda LAYAK / MAMPU beli berdasarkan kelayakan anda.
  4. Cari sendiri melalui internet (cthnya melalui mudah.my) atau lebih mudah hubungi agen hartanah.
  5. Terus membeli.  Jangan bertangguh kerana harga mungkin akan naik dan tidak menunggu anda.

Pastinya ada beberapa perkara kecil lain yang seharusnya anda ketahui..seperti semakan harga pasaran sebelum membeli.. tetapi lakukan yang di atas terlebih dahulu.. dan Insya Allah jika anda mulakan sekarang.. anda mungkin boleh membeli rumah idaman anda berharga RM1juta dalam masa 10-15 tahun akan datang.

Selamat Berjaya!

Peguam hartanah dipenjara enam tahun kerana pecah amanah

0

KUALA LUMPUR: Seorang peguam hartanah dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM418,500 dua tahun lepas.

Hakim Abdul Rashid Daud menjatuhkan hukuman itu terhadap Herlina Khamisiah Sauli, 36, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula daripada dia ditangkap, semalam.

Herlina Khamisiah, yang ketika itu sebagai peguam di Firma Guaman Messrs Herlina & Co didakwa melakukan pecah amanah terhadap baki wang hasil jualan rumah milik seorang pesara tentera Wan Mohd Husain Wan Ibrahim, yang berjumlah RM418,500 dengan tidak menyerahkan wang itu sebaliknya menggunakan untuk kegunaan firma guamannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di firma guamannya di No. 27-1, Jalan Wangsa Delima 5, Pusat Bandar Wangsa Maju, Wangsa Maju di sini pada 31 Okt 2012.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda.

Mengikut fakta kes, pengadu melantik Herlina Khamisiah daripada Tetuan Herlina & Co untuk menguruskan jualan rumahnya dan pada 11 April 2013, pengadu dimaklumkan bahawa pihak pembeli telah membuat baki bayaran sebanyak RM 418,500 dan bayaran dibuat kepada firma guaman itu sebagai pemegang amanah.

Selepas urusan jual beli selesai, Herlina Khamisiah gagal menyerahkan wang hasil jualan kepada pengadu sehingga pengadu pergi semula ke firma guaman tersebut tetapi firma guaman telah ditutup dan usaha mengesan Herlina Khamisiah gagal.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya S.Nithia memohon hukuman berat diberikan kepada tertuduh kerana kesalahan itu adalah sangat serius selain tertuduh ketika itu merupakan seorang peguam yang diamanahkan untuk menguruskan dana itu tetapi dia menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepadanya.

“Kesalahan ini juga memberi kesan kepada kerjaya peguam secara keseluruhannya, apabila masyarakat hilang kepercayaan terhadap peguam lain, mohon kepentingan awam diambil kira sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman supaya boleh memberi pengajaran kepada yang lain,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia mempunyai seorang anak berusia tiga tahun dan tidak lagi beramal sebagai peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Herlina Khamisiah turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap dana dalam akaun pelanggan Herlina & Co di Bank Al Rajhi, Taman Connought, Cheras berjumlah RM261,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama antara Mac 2012 hingga Sept 2013 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hakim Norsharidah Awang membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan Jumaat ini untuk menjatuhkan hukuman.

Herlina Khamisiah gagal membayar jaminan itu. – BERNAMA