Home Blog Page 54

Pinjaman Flexi dan Bukan Flexi

0

Semalam saya lawati bank HSBC Amanah (HSBC Islamik) sekadar nak dapatkan informasi lanjut tentang pakej yang ditawarkan untuk pembiayaan semula.  Dalam masa yang sama saya ingin juga mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pakej pinjaman fleksi dari HSBC yang sungguh popular berbanding bank lain seperti Standard Chartered, Alliance Bank dan juga CIMB Bank.

Apakah sebenarnya pinjaman Fleksi?

Apakah yang membezakannya dengan pinjaman konvensional biasa atau pinjaman bukan fleksi?  Berdasarkan informasi yang disampaikan di laman web Loanstreet.com.my untuk memahami apakah Pinjaman Fleksi adalah lebih mudah jika kita membandingkannya dengan pinjaman secara Term Loan dan juga Pinjaman Semi-Flexi.  Baca lanjut di sini.

Secara ringkasnya pinjaman fleksi menawarkan pakej pinjaman pembayaran secara fleksibel – bermaksud anda boleh membayar berapa yang anda mahu (sudah tentu minimum adalah jumlah ansuran bulanan) ke akaun pinjaman anda tetapi dengan kadar faedah yang sedikit tinggi berbanding pinjaman lain. Sebagai contoh, untuk pinjaman RM200,000 bg tempoh 35 tahun HSBC merupakan satu-satunya bank menawarkan pinjaman fleksi tetapi masih tidak serendah berbanding pakej dari bank lain seperti dalam contoh berikut:-

 

Perbandingan Kadar Pinjaman Fleksi dan Bukan Fleksi/Semi Fleksi
Perbandingan Kadar Pinjaman Fleksi dan Bukan Fleksi/Semi Fleksi

Walau bagaimanapun, seperti yang dinayatakan terdahulu pakej pinjaman fleksi menawarkan kelebihan tersendiri terutamanya untuk mereka yang mempunyai lebihan wang setiap bulan dan ingin menggunakan kemudahan akaun semasa yang dihubungkan dengan akaun pinjaman.  Dengan lebihan ini peminjam boleh membuat pembayaran seberapa banyak ke akaun pinjaman melalui akaun semasa tersebut dan menjimatkan lebih banyak bayaran faedah hasil lebihan pembayaran tersebut.  Selain itu dengan lebihan yang anda lakukan tersebut, anda boleh menggunakannya ketika perlu atau kecemasan berbeza dengan pakej pinjaman bukan fleksi dimana bayaran lebihan tidak dianggap sebagai lebihan untuk pengiraan semula faedah dan baki pinjaman tetapi hanya kekal sebagai pra-pembayaran untuk bulan seterusnya.

Oleh itu, saya melihat pakej pinjaman fleksi sangat sesuai untuk mereka yang biasanya mempunyai lebihan tunai setiap bulan dan bercadang untuk menggunakan lebihan pinjaman ketika perlu (seperti keperluan perniagaan) dan juga memendekkan tempoh pinjaman dari sepatutnya.  Walau bagaimanapun, jika anda hanya sekadar membayar jumlah ansuran yang mencukupi setiap bulan, maka pakej fleksi mungkin kurang sesuai utk anda dan pinjaman bukan fleksi seperti contoh di atas boleh memberikan anda penjimatan lebih kurang 0.6% (kadar faedah) atau berdasarkan contoh pinjaman RM200K di atas ianya adalah ~ RM60 setiap bulan berbanding pinjaman fleksi selain fi komitmen (~RM10, bergantung kepada bank) yg perlu anda tanggung setiap bulan dgn pinjaman fleksi.

Dengan mengetahui serba sedikit mengenai perbandingan ini makan bolehlah anda membuat perbandingan lanjut dan keputusan sama ada ianya sesuai untuk anda atau tidak.

 

Bayar RM400 Sebulan Untuk Rumah PR1MA Berharga RM 200,000

0

Nampaknya rungutan pembeli rumah pertama berkaitan kegagalan mendapatkan pinjaman melalui bank komersil mendapat respons yang baik dari pihak kerajaan.  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan bahawa pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi berkaitan perkara ini.

Menurut beliau, pembeli Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) hanya perlu membayar ansuran bulanan sekitar RM400 dan RM500 sebulan untuk sebuah rumah berharga RM200,000 berbanding bayaran sekitar RM1,800 sebulan di bank komersil.

Tips Hartanah tidak dapat memastikan berapa kadar faedah/keuntungan sebenar yang digunakan untuk memperolehi bayaran sekitar RM400-500 sebulan dan bagaimana pengiraan beliau yang menunjukkan pinjaman RM200,000 di bank komersil menyebabkan pembayaran bulanan sebanyak RM1,800 sebulan.

Berdasarkan pengiraan kasar pinjaman RM200,000, untuk tempoh 35 tahun dan pada kadar faedah 4%  pembayaran bulanan adalah sekitar RM900 sebulan manakala jika pinjaman melalui bank berdasarkan purata kadar pinjaman sekarang BLR (6.6%) minus 2% = 4.6%, bayaran bulanan adalah sekitar RM1,000 sahaja berbanding RM1,800 yang dinyatakan.

Ansuran Bulanan Harga RM200,000, 4%, 35 tahun

Walau apapun, pastinya menarik untuk kita mengetahui butiran lanjut mengenai pembiayaan PR1MA ini yang membolehkan pembeli membayar sekitar RM500 sebulan.  Sama ada itu untuk tempoh beberapa tahun pertama sahaja,  kadar faedah yang sangat rendah (tak mungkinn..) atau tempoh pinjaman yang dilanjutkan melebihi 35 tahun berbanding apa yang dikuatkuasakan oleh Bank Negara (maksimum 35 tahun)…. sama-sama kita nantikan..

Berita lanjut adalah seperti berikut:-

Bayar RM400 Sebulan Untuk Rumah PR1MA Berharga RM 200,000

Pembeli Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mungkin hanya akan membayar antara RM400 dan RM500 sebulan untuk sebuah rumah berharga RM200,000, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding pinjaman bank komersil yang biasanya sekitar RM1,800 sebulan bagi membiayai pinjaman sebesar itu.

“Kalau gaji RM3,000 mana mampu nak bayar RM1,800. Ini berita gembira bila dia masuk pinjaman bersama dengan PR1MA nanti dan skim pinjaman ini akan diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi,” katanya.

Katanya PR1MA bukan sahaja membina rumah untuk rakyat tetapi juga menolong menyediakan pinjaman.

Shahidan yang enggan menjelaskan perkara itu secara terperinci, berkata skim tersebut sebahagian daripada pakej untuk membantu pemohon yang berjaya mendapat rumah PR1MA namun gagal memperoleh pembiayaan bank.

Katanya sebanyak 6,174 unit PR1MA akan dibina di Negeri Sembilan, Selangor (8,872 unit), Kuala Lumpur (4,636 unit), Johor (7,539 unit), Pulau Pinang (2,510 unit), Kedah (1,349 unit), Perak (208 unit), Pahang (1,152 unit), Sabah (9,910 unit) dan Sarawak (1,877 unit).

Beliau juga meminta pemilik tanah yang mahu membangunkan tanah mereka agar menghubungi pemaju PR1MA.

Pembangkang hari ini memandang sinis keupayaan kerajaan untuk membangunkan perumahan untuk rakyat tetapi mereka tidak sedar bahawa projek ini sudahpun bermula apabila anggota perbadanan PR1MA dilantik pada Mac lepas, katanya.

Sasaran bina 80,000 rumah mampu milik boleh dicapai – Shahidan

0

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan kelulusan projek untuk pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dapat dicapai menjelang akhir tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata setakat 30 September projek pembinaan untuk 44,223 unit rumah PR1MA diluluskan di seluruh negara.

Katanya, pelaksanaan projek tersebut memerlukan proses pelbagai peringkat, termasuk mendapatkan kelulusan pinjaman dan mendapatkan tanah dan kawasan yang sesuai.

“Apabila sesuatu projek pembinaan itu diluluskan maka ia boleh dijalankan, pemohon (pembeli) yang memenuhi syarat akan dimaklumkan dan mereka perlu mengikut prosedur biasa dalam pembelian rumah termasuk pinjaman,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Azmin Ali (PKR-Gombak) di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Azmin ingin mengetahui faktor sasaran 80,000 rumah mampu milik yang ditetapkan oleh kerajaan masih belum dicapai sedangkan, kini menghampiri penghujung tahun 2013.

Menjawab soalan Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) sama ada kerajaan bercadang menambah bilangan rumah mampu milik di bawah PR1MA, Shahidan berkata penambahan tersebut bergantung kepada kemampuan industri untuk menampung jumlah pembinaan rumah.

– BERNAMA

Pelan pembangunan projek perumahan mampu milik FELDA di peringkat akhir

0

PORT DICKSON: Pelan pembangunan projek perumahan mampu milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di kawasan yang menempatkan ibu pejabatnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur kini di peringkat akhir, kata Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

“Bagaimanapun, kita sedang membuat beberapa cadangan dan pelan susun atur keatas perumahan generasi FELDA yang dibina di atas tanah berkeluasan 8.1 hektar(20 ekar),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 1Keluarga 1Malaysia anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Telok Kemang hari ini.

Harga rumah itu akan ditetap oleh kerajaan.

Mohd Isa juga berkata projek itu dijangka bermula selewat-lewatnya awal tahun depan dan kawasan berkenaan akan dibangun secara berperingkat mengikut fasa.

– BERNAMA

Rumah PR1MA Akan Dibuka Kepada Mereka Yang Sudah Memiliki Rumah

0

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan bahawa program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan diperluaskan kepada mereka yang sudah memiliki rumah tetapi mahukan rumah KEDUA di ibu negara…

Maksudnya di sini…
Kalau anda dah ada rumah di kampung… dan kena pindah ke Kuala Lumpur, maka anda MASIH BOLEH memohon unit rumah di bawah program PR1MA..

Patut ke tak agaknya ye?  Bukan ke PR1MA ni sasaran untuk pembeli utama.  Bekalan rumah PR1MA yang ada sekarang pun tak cukup dah nak buka pada pembeli rumah kedua?

Atau memang patut dilaksanakan memandangkan mereka yang terpaksa berpindah ke ibukota tidak mampu untuk membeli rumah lain jika tidak diberi peluang untuk membeli unit-unit rumah dibawah program PR1MA?

Satu lagi isu tentang perkara ini ialah syarat rumah yang berkedudukan jauh dari ibu negara (atau ibu negeri??)?  Ini dalah subjektif kerana berapa tafsiran ‘jauh’ itu untuk membolehkan seseorang itu membeli rumah kedua di bawah program PR1MA? Contohnya,  adakah Nilai atau Tanjung Malim dikira jauh dari Kuala Lumpur?  Harap perkara ini dapat diteliti terlebih dahulu oleh kementerian dan pihak berkenaan sebelum dilaksanakan.

Apa pendapat anda?

Berikut adalah berita lanjut berkaitan isu ini:

Rumah PR1MA Akan Dibuka Kepada Mereka Yang Sudah Memiliki Rumah

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) — Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan membuka permohonan kepada mereka yang sudah memiliki rumah tetapi mahukan rumah kedua di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata peluasan syarat permohonan itu dijangka akan meningkatkan permohonan pemilihan rumah PR1MA yang dibuat atas talian daripada 250,000 kepada satu juta permohonan.

Beliau berkata permohonan akan dibuka terutama kepada golongan yang sudah mempunyai rumah di kampung yang berkedudukan jauh tetapi terpaksa bekerja di ibu negara.

“PR1MA bukan setakat memberi rumah tetapi ia sebenarnya membentuk masyarakat. Saya nak pastikan program PR1MA ini akan membentuk komuniti yang aman dan damai,” katanya di lobi Parlimen Rabu.

Sebelum ini antara syarat kelayakan untuk memohon pemilihan rumah di bawah projek berkenaan ialah pemohon tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

— BERNAMA

Melaka kaji semula syarat milikan harta warga asing – Idris

0

MELAKA: Kerajaan Melaka akan mengkaji semula syarat pemilikan harta bagi warga asing di negeri ini dalam usaha menambah pemilikan harta di kalangan warga tempatan terutama anak Melaka.

Mengumumkan demikian hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata cadangan utama yang akan dilihat dalam kajian semula itu ialah menaikkan nilai harta yang dibenarkan untuk dimiliki warga asing daripada lebih RM250,000 pada masa sekarang kepada lebih RM500,000.

Katanya, syarat pemilikan harta yang akan dinilai semula itu melibatkan pelbagai sektor antaranya pertanian seperti tanah dengan luas melebihi 1.6 hektar, perindustrian seperti kilang dan perumahan.

“Sekiranya kita lihat tukaran wang asing RM250,000 itu kira-kira SGD97,000 sahaja agak murah bagi rakyat Singapura hartanah dengan harga begitu…jadi ramai warga Singapura beli rumah di Melaka…sampai harga jadi meningkat dan orang Melaka susah beli rumah.

“Melaka tidak menghalang warga asing memiliki harta malah menggalakkan mereka supaya pelaburan asing sentiasa bertambah…kita lakukan ini supaya lebih ramai orang tempatan khususnya (rakyat) Melaka memiliki harta di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini.

Jussteru, Idris berkata kajian semula itu akan dilakukan dengan teliti supaya syarat yang akan ditetapkan nanti tidak menghalang malah menggalakan pelaburan asing ke negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri mungkin akan mempertimbang pelantikan dua anggota exco dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada MCA melalui kaedah satu tambah satu – melantik seorang dahulu kemudian baru melantik seorang lagi.  Bagaimanapun katanya, sehingga kini MCA masih belum memberikan surat rasmi tentang kesediaan parti itu menerima jawatan itu atau mengadakan pertemuan dengan beliau untuk membincangkan perkara berkenaan. 

“Pertemuan dan berbincang secara tidak rasmi itu sudah banyak kali terutama dengan pengerusi (MCA) negeri (Datuk Gan Tian Loo) kerana kita amat rapat dengan MCA, namun secara rasmi belum lagi,” katanya. 

Pada 20 Oktober lalu, mesyuarat agung luar biasa MCA meluluskan resolusi membenarkan anggota parti itu menerima pelantikan jawatan peringkat kerajaan negeri. 

Melaka mempunyai tiga ADUN MCA iaitu Datuk Lai Meng Chong (Machap), Datuk Ng Choon Koon (Bemban) dan Lim Ban Hong (Klebang). – BERNAMA

RPGT tinggi beri kesan spontan pasaran

0

Semakan semula menaik Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) adalah satu langkah drastik dan mungkin mengakibatkan kesan spontan dalam industri harta, seterusnya menjejaskan sentimen pembeli.

Penaung dan bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Redha), Datuk Ng Seing Liong berkata, peningkatan pada kadar RPGT tidak akan mengurangkan harga harta dan menggesa kerajaan menimbangkan cara lain untuk mengurangkan harga harta.

“Kami tidak fikir dengan menaikkan RPGT, harga harta akan turun secara mendadak.

“Kami selama ini telah menggesa kerajaan bahawa satu-satunya cara untuk menurunkan atau menstabilkan harga harta ialah dengan menyediakan lebih banyak bekalan dalam pasaran,” katanya.

Dalam Bajet 2014, RPGT dinaikkan kepada 30 peratus untuk harta yang dijual dalam tempoh pegangan tiga tahun.

Bagi penjualan dalam tempoh pegangan sehingga empat dan lima tahun, kadar itu naikkan kepada masing-masing 20 dan 15 peratus.

Bagi penjualan pada tahun keenam dan selanjutnya, tiada RPGT dikenakan, sementara syarikat di cukai pada lima peratus.

Sementara itu, Presiden Redha, Datuk Seri Micheal Yam berkata, kenaikan RPGT akan mengekang belian spekulatif, walaupun sebilangan pembeli sebenar mungkin terjejas.

“Mungkin beberapa perincian perlu dibuat. Pasaran umum akan menjual harta mereka lambat sedikit dan ini akan mengurangkan bekalan dalam pasaran,” katanya.  – Bernama

Bajet 2014: RPGT boleh stabilkan pasaran hartanah – Industri

0

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Kenaikan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) dalam Bajet 2014 kepada 30 peratus bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh tiga tahun, dan masing-masing 20 peratus dan 15 peratus bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh empat dan lima tahun, boleh membantu menstabilkan pasaran hartanah di Malaysia.

James Wong, Pengerusi Publisiti Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta, PEPS, Malaysia, berkata sebelum kadar baharu itu diumumkan, pasaran hartanah Malaysia berada dalam keadaan yang tidak sihat.

“Harga rumah melonjak 20-30 peratus pada 2012. RPGT ialah kaedah yang baik bagi mengawal peningkatan harga dan dalam kedudukan yang tidak sihat, yang memberi kesan buruk dalam sektor hartanah,” katanya pada sidang media dalam Komentari Pasca Bajet 2014 di sini hari ini.

Wong berkata PEPS juga gembira dengan penubuhan Majlis Perumahan Negara yang akan membangunkan strategi dan pelan tindakan secara lebih menyeluruh, menyelaras aspek perundangan dan mekanisme harga hartanah selain memastikan penyediaan rumah secara lebih efisien dan lebih segera.

Dalam senarai harapan kami dalam Bajet 2014, PEPS mencadangkan kerajaan menubuhkan Perbadanan Perumahan Kerajaan, bekerja bersama Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), merancang, menyelaras dan melaksanakan perumahan mampu milik di setiap negeri di Malaysia.

“Kami gembira mendengar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan majlis itu, untuk tujuan yang sama,” katanya. – BERNAMA

 

Langkah naikkan RPGT mampu kekang kenaikan harga hartanah

0

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia percaya langkah kerajaan menaikkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) mampu mengekang kenaikan harga hartanah untuk tempoh waktu tertentu, berikutan kenaikan mendadak sektor itu sejak 2010.

Dalam Bajet 2014, hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun, kadar RPGT dinaikkan kepada 30 peratus, manakala pelupusan dalam tempoh empat dan lima tahun, kadarnya dinaikkan kepada 20 peratus dan 15 peratus.

Dalam perkembangan yang sama, OCBC Bank turut menjangkakan langkah menaikkan RPGT berkenaan termasuk harga hartanah minimum RM1 juta untuk warga asing boleh meredakan sentimen kenaikan harga dalam sektor perumahan.

Langkah kerajaan mencegah pemaju daripada melaksanakan Developer Interest Bearing Scheme (DIBS) dengan menghalang bank menyalurkan pembiayaan juga dilihat selaras dengan standard di rantau ini untuk mengatasi inflasi pemilikan aset.

Pemaju hartanah Mah Sing pula berpendapat, kenaikan RPGT disasarkan untuk golongan spekulator hartanah dan tidak memberi kesan kepada pembeli hartanah untuk dihuni atau disewa.

“Untuk jangka panjang, ini boleh mengekang kenaikan harga hartanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Mah Sing berkata, syarikat berkenaan turut berhasrat melaksanakan Skim Pemilikan Rumah Mampu Milik Swasta (MyHome) ke dalam projeknya yang berpotensi dan sesuai dengan skim berkenaan.

Dalam Bajet 2014 yang dibentangkan hari ini, kerajaan akan menawarkan subsidi sebanyak RM30,000 untuk sebuah rumah di bawah skim MyHome dengan penetapan harga maksimum rumah kos rendah RM45,000 sebuah dan RM170,000 sebuah untuk rumah kos sederhana.

Sumber: Utusan Online

Rumah PR1MA siap dlm masa 30 hari

0

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Kebanyakan kita mungkin pernah melihat kilang pemasangan kereta yang sebahagian besar kerja dilakukan oleh robot sebagaimana yang terdapat di kilang pemasangan kereta nasional, Proton.

Bagaimanapun ramai yang tidak sedar industri perumahan di kebanyakan negara, khususnya negara maju telah memasuki fasa tersebut, di mana penggunaan teknologi tinggi dapat menjimatkan masa, kos serta penggunaan tenaga kerja.

Bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan di dalam industri yang berkembang pesat ini, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kini sedang berusaha membawa teknologi dari luar negara termasuk dari Jepun, China, Australia, United Kingdom serta Amerika Syarikat dan disesuaikan dengan keperluan teknologi tempatan.

Rumah yang ingin dibina oleh PR1MA itu adalah berkonsep pasang siap yang mampu dibina dalam tempoh 30 hingga 60 hari tetapi yang lebih penting ia sangat kukuh sehingga mampu menahan gempa bumi.

Rumah tidak lagi dibina di tapak pembinaan, tetapi dibina di dalam kilang dan apabila 90 peratus siap, ia dipindahkan ke tapak untuk menyiapkan 10 peratus lagi kerja pembinaan.

Rumah itu merangkumi jenis banglo sehingga apartmen dan jika mengikut spesifikasi asalnya yang dibina di Jepun, rumah itu mampu menahan gempa sehingga sembilan skala richter dengan anggaran harga antara RM150,000 dan RM300,000.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, untuk mewujudkan kesedaran masyarakat tentang teknologi terkini itu, syarikat yang dipertanggungjawab membina rumah mampu milik negara itu merancang untuk membina sebuah rumah contoh di Putrajaya supaya orang ramai dapat melihat sendiri bagaimana rumah itu dibina dan terjamin dari segi keselamatan serta kualiti.

“Kesedaran ini penting kerana teknologi pasang siap yang digunakan untuk membina rumah sebelum ini sedikit bermasalah dan ia telah menjadi stigma,” katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Oleh kerana PR1MA tidak mempunyai tanah di Putrajaya, syarikat berkenaan akan menyewa sekeping tanah untuk menempatkan rumah berkenaan dan dipindah ke tempat lain jika perlu.

Antara syarikat pembinaan rumah terkenal di dunia ialah sebuah syarikat dari Jepun iaitu Sekisui yang mengikut maklumat dari laman webnya telah ditubuhkan pada tahun 1960 dan telah membina dua juta buah rumah.

Syarikat berkenaan juga telah memperluaskan operasinya ke seluruh dunia dan mempunyai 21,000 orang pekerja, termasuk kilang yang terdapat di Bangkok.

Satu lagi syarikat yang mendapat pengiktirafan dunia ialah Kumpulan Broad dari China yang sedang mencipta rekod dunia membina bangunan tertinggi di dunia yang dikenali sebagai Sky City One setinggi 220 tingkat dalam masa tiga bulan.

Syarikat berkenaan sebelum ini telah mengejutkan dunia apabila membina bangunan 30 tingkat dalam masa 15 hari.

Dalam pada itu kata Abdul Mutalib, bagi memastikan pembinaan rumah mampu milik dapat berjalan dengan segera sementara menunggu pembinaan kilang tersebut, PR1MA telah menukar status 30 projek perumahan pemaju swasta iaitu merangkumi 38,757 kepada projek perumahan PR1MA.

PR1MA, katanya, meletakkan sasaran 80,000 buah rumah dibina menjelang akhir tahun ini dengan menggunakan kaedah tersebut.

-Utusan Melayu