Tuntutan Penghuni Flat Ditolak

0
209

Tuntutan ganti rugi sebanyak RM20,000 oleh penghuni flat Sentul Murni telah ditolak oleh Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia semalam berhubung masalah lif rosak yang dilaporkan sejak beberapa bulan lalu.  Perkara ini sememangnya telah saya jangkakan kerana bagi saya penghuni flat berkenaan tidak mempunyai asas serta hujah yang kukuh untuk membuat tuntutan kerana pihak pengurusan telah melakukan mengikut prosedur yang sepatutnya dan dapat membuktikan bahawa masalah yang wujud adalah berikutan kegagalan pihak penghuni sendiri untuk membuat bayaran yuran penyelenggaraan.

Berdasarkan laporan, penghuni flat tersebut akan membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dan ingin mendapatkan Perdana Menteri sendiri untuk turun padang dan melihat masalah mereka.  Saya tidak tahu sampai bila isu ini akan berlarutan walaupun beberapa Menteri telahpun membuat kenyataan masing-masing. Bagi saya selagi punca utama isu ini tidak diselesaikan selagi itulah  ianya akan berlarutan. Dan isu utamanya adalah tunggakan yuran penyelenggaraan berjumlah beribu-ribu ringgit yang masih gagal dibayar oleh sebahagian besar penghuni flat tersebut.

Jika sebelum ini kerajaan memaklumkan kemungkinan untuk mengambil alih kos penyelenggaraan lif di rumah flat awam.. saya tidak pasti bilakah ianya akan berlaku untuk flat-flat persendirian (oleh pemaju swasta) dan jika pun ianya berlaku.. isu-isu ini mungkin masih tidak dapat diselesaikan selagi mentaliti sesetengah penghuni tidak berubah dalam etika menduduki kediaman yang mempunyai kawasan/harta bersama serta menghargai kemudahan yang ada.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here